Share |

Saturday, 24 October 2009

Transkrip Perbahasan Rang Undang-Undang Etika Hakim

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Saya bangun untuk membahaskan Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008. Ini ada kaitan dengan soalan saya hari pertama sidang Parlimen ini menyentuh tentang isu integriti institusi-institusi utama dalam negara kita dan kita dapati dalam jawapan Timbalan Menteri masih dalam sindrom penafian. Etika ini ada kaitan dengan integriti dan saya juga agak dalam keadaan yang lebih sukar kerana berdiri di sini membahaskan isu hakim dan seperti mana ramai teman saya di Pakatan Rakyat sentiasa terpaksa berdepan dengan hakim. Kita akui tidak semua hakim yang tercemar dengan isu perilaku yang salah menjadi boneka ataupun rasuah dan ramai yang mempunyai integriti tetapi yang kita bicara pada hari ini ialah soal sistem salah satu tunggak utama dalam Perlembagaan Negara kita. Yang kita bicara hari ini etika hakim adalah satu isu yang ada kaitan dengan Perlembagaan Negara.

Saya juga hendak rujuk kepada jawapan bertulis semalam oleh Menteri berkaitan dengan isu yang heboh selama hampir satu dekad atau lebih iaitu jawapan Menteri kepada Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Bagan, tentang tindakan ke atas syor-syor Suruhanjaya Diraja mengenai Pita Lingam. Jawapannya bahawa Peguam Negara dapati tidak ada kes dan tidak ada pendakwaan yang perlu.

Tuan Yang di-Pertua, yang menganggotai suruhanjaya yang diangkat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kabinet ini bukan bertaraf budak suruhan. Mereka terdiri dari kalangan pemuka yang mempunyai pengalaman yang besar termasuk pengerusinya Tan Sri Haidar Mohamed Noor, Pendaftar kemudian Hakim Mahkamah Persekutuan.

Mereka dalam laporan suruhanjaya itu menyatakan laporan itu terperinci menemu duga semua yang terlibat tetapi yang ternyata yang terlibat itu semua tokoh besar. Bekas Presiden UMNO, Setiausaha Agung UMNO dan peguam ini. Apakah mungkin kita hendak bicara soal etika hakim yang dipertahankan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat? Serta kewibawaan hakim apabila hakim didapati
oleh suruhanjaya termasuk Ketua Hakim Negara bersubahat, bersekongkol menjadi alat perkakas kepada peguam Datuk V K Linggam dengan rekod yang sedemikian dan peguam Datuk V K Linggam untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua bukan perkara baru. Berkait dalam Laporan Perwaja, audited Pricewaterhouse Report, tentang claim dia yang
exorbitant, yang berlebih lipat ganda.

Kemudian dalam kes Ayer Molek. Jadi ada yang mengatakan ini kes lama tapi ini saya jelaskan jawapan semalam maknanya bongkarlah, keluarkanlah apa bahan pun, tubuhlah suruhanjaya, gambar video keluar pun masih dalam sindrom penafian. Kata Datuk V K Linggam, looks like me, talkes like me,
probably walks like me but that is not me.

Ini ingatkan saya lagu P. Ramlee look like an angel, talk like an angel but you are devil in disguise.

Tuan Yang di-Pertua: Elvis Presley.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Elvis Presley, Tuan Yang di-Pertua ingat ya? Jadi kalau begitu apakah dengan wujudnya etika ini akan ada political cloud, political will untuk mengambil tindakan? Serah balik kepada Peguam Negara. Peguam Negara dengan rekod dan integritinya untuk siasat dan semuanya pass. Walaupun laporan itu Laporan Suruhanjaya
Diraja dengan jumlah anggota ahli-ahli yang dianggap oleh kabinet paling kanan dalam dunia kehakiman dan laporan ahli-ahli yang paling kanan dalam dunia kehakiman dianggap tidak berharga kerana Peguam Negara mengatakan no case, no further action. Ini bukan rules of law. Ini law of the jungle.

Yang Berhormat Bukit Gelugor menyebut tentang Bowman Investigations Report, dengan izin, a UK based private investigation agency has raised a number fresh allegations regarding the New Zealand holiday of Chief Justice, Tun Mohd Eusoff Chin and prominent lawyer Datuk V K Linggam in 1994. Bangkit lagi tahun 2009. Ini tersebar di seluruh dunia. Tanya
kerajaan, tanya peguam negara no case, no evidence because ternyata Datuk V K Linggam seorang peguam yang maha berkuasa. Jadi letak etika. Sebab itu orang kata kalau hendak menang kes jangan kira fakta dan jangan kira undang-undang, kira lawyer sahaja, peguam dan hakim.

Ada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan ini fitnah. Ini pandangan yang serong walaupun tidak disebut dengan begitu nyata tapi Yang Berhormat Batang Sadong pun kata kita harus positif. Janganlah singgung, janganlah pertikaikan dan Yang Berhormat Sri Gading sebut janganlah bohong dan fitnah dan hakis keyakinan dengan sengaja. Sebab itu saya memilih di sini untuk menyebut berdasarkan fakta bukan sahaja kenyataan saya.

Bukan soal tadi disebut Yang Berhormat Kubang Kerian pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas tahun 1995, kes Insas Berhad, dan Anor versus Ayer Molek Rubber Company Berhad yang melibatkan peguam Datuk VK Lingam dan rumusan, something is rotten in the House of
Denmark. Court in Hamlet kerana bangunan Denmark pada masa itu tempat Mahkamah Sivil bersidang. Oh, tidak mengapa itu lama.

Kemudian skandal percutian 1995. 1996, Hakim Dato’ Ahmad Aidid pernah dating menemui saya dan membawa surat itu kepada Perdana Menteri kerana tuduhan salah laku dan rasuah. 112 tuduhan terhadap hakim-hakim, 39 tuduhan rasuah, 21 tuduhan salah guna kuasa, 52 tuduhan salah laku misconduct dan amalan tidak bermoral. No further action. 2007, rakaman video klip. Tuan Yang di-Pertua ingat bila saya dedahkan kali pertama,
saya diserang dengan begitu kuat oleh Menteri-menteri mengatakan, “Ah! Ini satu lagi penipuan dan fitnah.” Akhirnya suruhanjaya ditubuhkan.

Alhamdulillah dengan segala tekanan terhadap suruhanjaya itu disahkan ianya bukan fitnah tetapi nyata dengan bukti dan diusulkan supaya
tindakan diambil terhadap tokoh-tokoh yang terlibat. Sebab itulah jawapannya semalam Yang Berhormat Menteri tidak ada kes.

Akan tetapi yang baru VK Lingam ini, bukan melibatkan hanya Tun Eusoff Chin. Ia melibatkan Ketua Hakim Negara, Tun Haji Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim. Suruhanjaya bagi pengakuan dilepaskan kerana undang-undang negara ini yang sepatutnya satu tetapi ada two sets of laws. Satu untuk orang kaya atasan, satu untuk rakyat dan pengkritik kerajaan. 1Malaysia, dua undang-undang.
Dibangkitkan sekali lagi, ini kenyataan agak bias sebab itu wajar kita teliti kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh orang-orang yang dianggap
punyai kewibawaan dalam bidang ini. Tun Suffian, Tuanku Sultan Azlan yang berulang kali menegaskan, Tun Sufian tentunya jauh lebih keras dan juga Tuanku Sultan Azlan. Tun Suffian pertamanya mengatakan dengan izin, I had predicted that our judiciary would take a whole generation to recover from the assault. Now that more than twelve years have elapsed, I doubt if the judiciary would recover in a generation from today. Memangnya dua dekad.

Judges who joined in downing their bosses or their boss have been rewarded by promotion. Judges who did not have been cowered into silence. Pidato beliau itu banyak diikuti. Saya tidak bermaksud menambah cuma hendak menyatakan bahawa beliau pernah mengatakan bahawa seandainya begini corak badan penghakiman, beliau tidak sanggup berdepan dalam mahkamah,
berdepan mereka apatah lagi sekiranya beliau tidak bersalah. Tuanku Sultan Azlan Shah tidak sampai dua tahun yang lalu mengatakan di antara lain
dengan izin, “the mere existence of court and judges in every ordered society proves nothing. It is their quality, their independence and their powers that matter.” Dia tekankan soal impartiality, dia tekankan soal perception masyarakat tentang terhakisnya kewibawaan dan kewibawaan atau
integriti badan kehakiman. Tuanku Sultan Azlan Shah bukan sahaja sebagai Sultan tetapi juga sebagai bekas Ketua Hakim Negara. Baginda menambah, “It is sad that public confidence in judiciary is based on four evaluating criteria, independent, impartiality, fairness of trial, integrity of the adjudicator”.
Ini empat perkara. Bila ditanya bagaimana penilaian? Tuanku Sultan Azlan Shah menjawab, sadly, malangnya I must acknowledge, Beta mengakui, “there has been some disquiet about our judiciary over the past few years and in more recent past. In 2004, I have stated that it grieved me having been a member of the judiciary whenever I had allegation against the judiciary and the erosion of public confidence in judiciary.”

Inilah yang di antara lain menyebabkan kita kata, itulah sebab kita hendak kemukakan etika ini, Jawatankuasa Etika. Ini saya tidak sebut International Bar Association, Centre for the Independent of Judges and Lawyers, International Commission of Juries, Commonwealth Lawyers Association, Union International De Avoca. Jadi sekarang kata rumusan mereka ialah
bahawa powerful executive di negara kita telah mengambil tindakan sehingga mengorbankan ciri- ciri kebebasan demokrasi negara kita. Berikut daripada itu ada beberapa laporan yang dibangkitkan.

Saya tekankan kita boleh tubuh jawatankuasa. Kita boleh sebut dengan nama
etika. Etika itu akhlak. Akhlak ini istilah Quran. Dengan beberapa kekurangan tidak apa kalau kita baiki. Katalah Yang Amat Berhormat Timbalan Menteri ada kekuatan hari ini, dia boleh bawa pindaan yang bagi satu jawatankuasa etika yang cukup menyeluruh.

Akan tetapi apakah ada keupayaan di pihak jawatankuasa untuk mengambil tindakan yang wajar. Dato’ Param Cumaraswamy dengan track record beliau di Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu meneliti soal kebebasan hakim, menulis kepada Ketua Hakim Negara Dato’ Mohd Fairuz pada Julai 2007.

Laporan kepada Dato’ Abu Kassim, pada ketika itu Timbalan Pengarah BPR. Sampai sekarang tidak ada tindakan. Saya tidak akan membaca semua rekod-rekod yang saya bawa di sini. Baru-baru ini timbul krisis Perak. Keputusan hakim dalam isu ini dibahas kerana mempertikai peruntukan Perlembagaan 72(1) yang menyebut dengan jelas, ‘Sahnya apa-apa
perjalanan dalam mana-mana dewan negeri tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

Tuan Yang di-Pertua jangan nampak terlalu yakin kerana kalau mahkamah berbuat begini kepada Dewan Negeri Perak, saya bimbang kalau Parlimen juga kebebasan dan integritinya dipertikaikan. Artikel atau Perkara 72(1) Perlembagaan bila dilanggar tidak boleh dipertahankan. Lord Denning menyebut may not the judges themselves sometime abuse or misuse their
power. It is their duty to administer and apply the law of the land. If they should divert it or depart from it and do so knowingly they themselves would be guilty of misuse of power.

Maka mengikut Dato’ N.H Chan umpamanya di antara lain. Dato’ N.H Chan ini menarik Tuan Yang di-Pertua. Dia yang memutuskan dalam kes Ayer Molek yang memberi satu keputusan yang cukup keras terhadap hakim peringkat rendah dan penyelewengan yang dilakukan atas tindakan peguam VK Lingam yang diselamatkan oleh Peguam Negara dan Kerajaan Barisan Nasional hari ini. Jadi kalau ini yang berlaku ke mana kita sekarang? Maka kita berdepan dengan isu kewibawaan sebahagian dari hakim-hakim kanan dan hakim-hakim dan yang diperlukan ialah suatu komitmen yang jelas, yang kita hendak dengar dari Yang Berhormat Timbalan Menteri, kalau Timbalan Menteri uzur sekejap ialah apakah kelulusan Jawatankuasa Etika Hakim ini benar-benar menjamin untuk mengangkat dan menambah keyakinan sistem perundangan dan badan kehakiman yang terhakis?
Sampai bila bukti siapa lagi, hendak tunggu bekas Ketua Hakim Negara berapa orang, Sultan berapa orang dan laporan peringkat antarabangsa berapa banyak untuk meyakinkan kita bahawa something is rotten in the house of Denmark untuk kita ambil tindakan yang sewajarnya.

Jadi, ini penegasan yang kita perlukan kerana dalam undang-undang yang kita kemukakan hari ini ada kelemahan yang besar. Tuan Yang di-Pertua, apabila kita bicara soal badan kehakiman dan etika, kita terpaksa melihat beberapa dokumen penting dalam negara- negara yang agak maju, yang mempunyai sistem dan badan kehakiman yang bebas dan berwibawa.

Maka kita rujuk umpamanya di antara lain, The Bangalore Principles of Judicial Conduct 2002. Ini kerana dipersetujui oleh Ketua-ketua Hakim Negara, dibahaskan dan diterima sekarang sebagai satu dokumen yang cukup penting. Kalau kita ambil daripada sistem perundangan United Kingdom, dia kata mungkin tidak sesuai, ada baiknya disebut Bangalore, kerana sidangnya di Bangalore.

Namun, apa yang ditekankan etika tidak bermakna kalau badan kehakiman itu tidak dapat pertahankan prinsip kebebasan. Etika tidak bermakna kalau kewibawaan hakim-hakim dalam menjalankan tugas itu tidak dapat dijamin. Ini termasuk isu-isu lain yang dirumuskan sebagai propriety, equality, competence and diligence. Ada dokumen yang begini, tetapi apabila
kita lihat cadangan, ini cadangan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Jangan orang sebut dalam keadaan gawat soal integriti badan kehakiman, jangan tidak ada undang-undang, ada! Maka Menteri pun datang, bagi jaminan dan kita akan tangani dan ada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional pun kata, tengok, kita dengar dan kita ambil tindakan. Akan tetapi, ambil ikhtiar sedikit, baca undang-undang kita, fasal-fasalnya berbanding dengan semua peruntukan yang ada di negara-negara yang sudah maju dan pertahankan prinsip kebebasan badan kehakiman ini. Kalau nampak banyak sangat hendak diteliti, termasuk dengan sistem di United Kingdom yang agak terlalu tebal, baca sekurang-kurangnya Bangalore Principles of Judicial Conduct 2002 kerana bagi saya, ia memberikan rumusan yang cukup padat.

Fasal empat dalam peruntukan yang ada sekarang ini, yang memberikan kuasa, bidang kuasa dalam perkara yang berhubung tata kelakuan dan tatatertib semua hakim, selain dari pemecatan. Akan tetapi, jawatankuasa tidak jelas, punyai kuasa menghukum, mengambil tindakan yang wajar kerana sifat jawatankuasa sekadar siasatan dan bukan bentuk perbicaraan.
Ini yang disebut di fasal 4 yang agak perlu dijelaskan oleh Menteri.

Apakah jawatankuasa-jawatankuasa terhadap apa-apa salah laku atau pelanggaran mana-mana peruntukan Kod Etika Hakim oleh seseorang hakim. Maka penjelasan secara sah menurut undang-undang, saya kira perlu kerana bentuk hukuman, apakah penggantungan tugas, pelucutan keistimewaan, amaran atau denda. Fasal 8 memaktubkan prosiding jawatankuasa secara tertutup. Apakah dalam semua kes ia harus tertutup? Kalau kesnya itu fitnah atau sengaja mengaibkan atau bukti itu lemah,
maka kita tidak mahu menyinggung ia.

Apa dalam kes yang cukup nyata, dalam kes sepertimana dalam penghakiman N.H Chan atau dalam keputusan usul Suruhanjaya Diraja pita
rakaman VK Lingam? Apakah prosiding itu juga harus rahsia? Kita lebih pentingkan keadilan untuk hakim, dan kita persetankan keadilan untuk rakyat. Sistem ini harus telus, saya hanya akui kalau dianggap satu surat layang menyerang hakim, maka kita adakan tribunal secara terbuka. Saya tidak fikir wajar kerana kita harus juga menjaga maruah para hakim, tetapi ia mesti dijelaskan supaya dalam kes-kes yang nyata, tidak ada usaha untuk melindungi.

Fasal 9 adalah mengenai siasatan. Peruntukan dalam rang undang-undang menyebut bahawa prosiding jawatankuasa merupakan satu siasatan mengenai pelanggaran mana-mana peruntukan Kod Etika yang akan dirujuk kepada Ketua Hakim Negara. Soalnya, mengapa dihadkan secara mutlak kepada seorang Ketua Hakim Negara dalam semua kes? Apakah pula
prosedur jika ia membabitkan Ketua Hakim Negara? Walaupun ada disebut tentang tribunal, tetapi tidak dijelaskan.

Fasal 15 tentang keputusan jawatankuasa ini muktamad, tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula atau dibatalkan. Saya kira aneh kerana keputusan jawatankuasa, apatah lagi melibatkan hakim harus memberikan kelonggaran, kebebasan kepada hakim untuk mencabar. Saya tidak fikir wajar untuk kita mengandaikan keputusan itu muktamad kerana tidak boleh berdasarkan pengalaman kita yang banyak dan kenyataan Tun Suffian, Sultan Azlan, puluhan laporan bahawa keputusan-keputusan itu masih banyak yang boleh dipertikaikan, apatah lagi dengan bukti-bukti dikemukakan sebelum ini.
Jadi, kebijaksanaan keputusan kita mempertahankan fasal 15 yang menghalang hakim mencabar keputusan, saya fikir tidak wajar dan harus membolehkan mereka mengemukakan rayuan. Mekanisme untuk membetulkan keputusan pincang, penganiayaan atau diskriminatif
yang disebut oleh Yang Berhormat Kubang Kerian, saya tidak akan ulang. Apakah mekanisme untuk membetulkan kezaliman dan ketidakadilan sedemikian? Menteri boleh tutup mengatakan kita sudah bayar ganti rugi. Mengapa kita bayar ganti rugi kalau dia tidak salah? Kita bayar kerana pastinya dia sudah diaibkan. Mengapa tidak dipohon maaf dan dibetulkan keputusan itu? Ini yang disebut integriti, bukan sahaja hakim, tetapi melibatkan pemerintah itu sendiri. Tidak bersedia akui bahawa kita telah berlaku curang, membiarkan hakim yang tidak bersalah digugurkan, 15 tahun kemudian datang, bayar ganti rugi sedikit, kes tutup.

Jadi, sebab itu Tuan Yang di-Pertua, selagi asas dan prinsip utama ini tidak
dipertahankan, pembahagian kuasa, pengiktirafan hak asasi semua rakyat dan juga suatu peruntukan yang saya minta Menteri memberikan penjelasan. Mengapa kita dalam kerajaan sekarang bimbang sangat untuk mengesahkan ICCPR, International Covenant of Civil and Political Rights? Ini kerana ia juga akan menjamin bukan sahaja integriti para kehakiman, tetapi juga ada kaitan dengan rakyat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

No comments: