Share |

Tuesday, 8 September 2009

Kerajaan PR Selangor tak boleh bersandiwara isu Seksyen 23 – Berita Harian

SEPT 7 – Isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 di Shah Alam sepatutnya diselesaikan lebih awal tanpa tercetus sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bagaimanapun, isu ini berlarutan apabila kerajaan negeri gagal menanganinya sebaik mungkin pada peringkat awal lagi.

Kelmarin, sesi dialog bertempat di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, bagi menjelaskan isu pemindahan kuil itu bukan saja tegang, malah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di'boo' lebih 200 penduduk Seksyen 23 yang menyertai majlis itu.

Malah, ada penduduk yang mengacah untuk membaling kasut sebagai tanda protes kepada ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat

(PR) itu. Semua ini menunjukkan kelemahan kerajaan negeri dan Wakil Rakyat terbabit hingga penduduk naik berang dengan sikap mereka yang bukan saja gagal mengambil tindakan lebih awal, malah tidak memberi reaksi langsung sehinggalah isu itu menjadi isu nasional.

Akhirnya, Menteri Besar mengumumkan cadangan pemindahan kuil itu dibekukan sehingga satu lokasi baru lebih sesuai ditemui. Abdul Khalid berkata, cadangan itu terpaksa dikaji semula selepas mendengar rintihan dan protes penduduk Seksyen 23 pada majlis dialog berkenaan.

Sepatutnya, Abdul Khalid atau wakil rakyat di kawasan terbabit, sudah mula melakukan sesuatu apabila sekumpulan penduduk mengadakan bantahan baru-baru ini.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kuil Seksyen 23, Mahayuddin Manaf, dipetik sebagai berkata, sejak Mei lalu hingga sekarang, baru kelmarin kerajaan negeri mengadakan dialog dengan penduduk mengenai isu berkenaan, itu pun selepas masalah ini menjadi isu nasional.

Apa yang kita bimbang ialah isu pemindahan kuil ini berpotensi untuk mencetuskan pergaduhan antara kaum apatah lagi dalam keadaan negara kini yang mudah terdedah kepada isu sensitif membabitkan kaum dan fahaman agama.

Kerajaan negeri juga kelihatan kurang bijak apabila mengadakan dialog terbuka dengan penduduk terbabit, kelmarin.

Sepatutnya, Menteri Besar menjemput wakil penduduk untuk berbincang secara tertutup dan kemudian mengadakan pertemuan sama dengan wakil kaum Hindu.

Selepas itu, adakan sekali lagi pertemuan berasingan untuk menyampaikan keputusan diambil. Berbincang secara tertutup seperti ini boleh mengelak kejadian seperti yang berlaku kelmarin.

Ini tidak bermakna mengadakan dialog terbuka tidak sesuai dan ia bergantung kepada isu serta situasi semasa. Ternyata kini, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu terpaksa mencari jalan penyelesaian terbaik selepas tembelang mereka sendiri pecah.

Pada peringkat awal, kerajaan negeri kelihatan cuba mahu menyembunyikan sesuatu sehingga timbul dakwaan, termasuk kononnya Umno menjadi dalang di belakang tindakan protes oleh penduduk Melayu di Seksyen 23 itu.

Kita berharap selepas ini, tiada lagi isu seperti itu berlaku hingga menggemparkan negara dan semua pihak perlu sensitif kepada soal agama dan kaum.

No comments: