Share |

Wednesday, 22 July 2009

Kematian Teoh mengingatkan kita pada penggunaan C4 di hutam Shah Alam

Oleh Lim Hong Siang

Misteri kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor kekal sebagai misteri walaupun telah dikebumikan pada hari ke-5. Siasatan polis yang 60% selesai walaupun memberi jawapan kepada soalan tertentu pada peringkat awal, namun juga menimbulkan kesangsian baru yang sukar dijawab.

Pertikaian terhadap SPRM

Dakwaan pihak SPRM bahawa Teoh Beng Hock telah dibebaskan pada jam 3.45pagi, 16 Julai, dan Teoh meminta untuk tidur di pejabat mencungkil keraguan, antaranya:-

1. Sekira-nya Teoh telah di- bebaskan, mengapa dompet, telefon bimbit dan dokumen penting yang lain masih berada di tangan SPRM?

2. Selepas membebaskan Teoh, mengapa SPRM membiarkan Teoh bebas bergerak di pekarangan pejabat SPRM?

3. Mengapa Teoh tidak menghubungi saudara mara mahupun Ean Yong Hian Wah untuk menghantar khabar bahawa dia berada dalam keadaan selamat, tetapi memilih untuk terus tidur di pejabat SPRM?

4. Kereta Teoh berada di tempat meletak kereta. Mengapa Teoh memilih untuk tidur di pejabat SPRM, dan bukannya pulang ke rumah?

5. Mengapa SPRM tidak menghubungi keluarganya, atau EXCO Selangor dengan segera setelah mendapati kematian Teoh pada jam 1.30 tengah hari, 16 Julai?

6. Tan Boon Wah, Ahli Majlis Perbandaran Kajang yang turut disiasat dibenarkan pulang pada jam 1.35 tengah hari, 16 Julai. Teoh dikatakan mati pada pukul 8 pagi, ditemui mayatnya pada 1.30 tengah hari, namun Tan tidak mengetahui apa-apa ketika dibebaskan dari SPRM.

Pertikaian terhadap polis

1. Mayat Teoh ditemui pada jam 1.30 tengah hari, 16 Julai. Pegawai SPRM dikatakan telah mengenalpasti identiti Teoh pada ketika itu, namun mengapa polis gagal mengesahkannya, sehingga jam 5 petang?

2. Mengapa pihak polis Selangor "kembali" ke pejabat SPRM untuk mengumpul bukti, hanya pada hari ke-3 selepas tragedi kematian Teoh?

3. Mengapa polis mengambil telefon bimbit Teoh dari pihak SPRM pada hari keesokan tragedi berlaku, dan bukannya pada hari kejadian berlaku?

Laporan awal mencentus persoalan baru

Menurut siasatan peringkat awal, Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan bahawa mendiang jatuh dari tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM. Malah, laporan awal pakar patalogi mendapati bahawa Teoh meninggal dunia kira-kira 4 hingga 5 jam sebelum mayatnya ditemui di tingkat lima, koridor luar bangunan Plaza Masalam.

Dengan kata lain, Teoh mungkin meninggal dunia antara jam 7.30 atau 8.30 pagi, 16 Julai. Soalan yang ditimbulkan daripada ibu mendiang adalah, mengapa mayat Teoh tidak ditemui pada ketika itu (waktu pagi), sedangkan terdapat orang yang melalui tempat tersebut, pada hari yang bukan merupakan cuti awam?

Malah, seandainya Teoh jatuh dari tingkap tingkat ke-14, bahagian pejabat tersebut perlu dikenalpasti. Sama ada tempat di mana Teoh jatuh itu merupakan ruang tamu, pantri, bilik soal siasat, bilik mesyuarat dan sebagainya, adalah petunjuk penting dalam siasatan.

Kontradiksi hujah

Selain itu, hujah yang tidak selaras dan saling kontradiksi, terutamanya berkenaan telefon bimbit Teoh telah mengungkit pertikaian.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mendakwa bahawa SPRM telah berbohong dalam perkara ini. Teo Nie Ching memetik hujah Timbalan Pesuruhjaya SPRM Selangor, Abu Kassim Mohamed yang pada mulanya mendakwa SPRM telah memulangkan telefon bimbit, dokumen penting dan kunci kepada Teoh, selepas tamatnya soal siasat.

Namun, polis telah berjaya mendapatkan telefon bimbit Teoh daripada pihak SPRM, setelah perkara ini dipersoalkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat dan khalayak umum.

"Bunuh diri" dipertikai

Di samping itu, kemungkinan Teoh membunuh diri juga disanggah, terutama apabila keluarga Teoh memaklumkan bahawa mendiang merancang untuk mendaftar perkahwinan pada 17 Julai.

Pakar dalam bidang psikologi kriminal merangkap penyiasat persendirian, Loke ketika ditemuramah media cetak bahasa Cina, berkata orang yang bunuh diri biasanya akan meninggalkan warkah, mahupun wasiat, sebelum membunuh diri. Malah, secara umumnya, menurut Loke, orang yang memilih untuk membunuh diri tidak memakai kasut.

Teoh ketika ditemui mayatnya, dengan tangan kanan yang dalam genggaman, dan berpakaian kasut.

Terbunuh, dibunuh atau bunuh diri?

Walau bagaimanapun, sama ada Teoh dibunuh, terbunuh atau membunuh diri, soalan muktamad yang wajib ditanya dalam setiap kes kematian adalah, apakah motifnya?

Soalan ini tidak terjawab untuk banyak kes di Malaysia, dari kes kematian dalam lokap, sehinggalah kematian dalam hutan yang diletupkan dengan C4.

No comments: