Sepanjang bulan Oktober, saya telah menahan diri dari menulis tentang politik. Saya terlalu muak melihat keadaan politik Malaysia sehinggakan saya berasa ingin menjauhkan diri dari segala-galanya. Kini tiba bulan November [2008]. Dan sekarang ini, saya terfikir saya patut mengulas tentang perkara ini.
Biasanya, saya mampu menggenggam sesuatu konsep dengan baik, memahaminya, membezakannya dari konsep-konsep yang seakan-akan searus dengannya, mengenalpastikan nilai-nilai positif dan negatifnya dan menggunakannya. Akan tetapi, saya tidak boleh sama sekali memahami konsep Ketuanan Melayu, walaupun saya telah mencuba dengan sedaya upayanya. Hendak mengenalpasti unsur-unsur konsep ini pun tak terdaya.
Kini saya terasa ragu-ragu – adakah saya telah hilang kewarasan saya? Saya sudah hilang akal, mungkin itulah sebabnya. Ataupun mungkin konsep seperti ini tidak pernah wujud. Mungkin sebab itulah saya tidak dapat mengenalpasti apa ia 'Ketuanan Melayu'.
Sepanjang masa saya belajar di sekolah kerajaan, dan kemudian di universiti kerajaan, dan termasuklah tempoh setahun yang saya belajar di sebuah universiti Mat Salleh, saya tidak pernah menemui konsep Ketuanan Melayu di dalam mana-mana sukatan pelajaran saya. Ini memang menghairankan sebab Sejarah merupakan matapelajaran kegemaran saya. Lebih pelik lagi, saya bukan sahaja telah mengambil kursus Perlembagaan Persekutuan Malaysia, malah saya juga telah mengambil kursus Undang-undang Pentadbiran Awam Malaysia serta kursus Perbandingan Undang-undang Perlembagaan sebagai kursus tambahan. Dan tidak ketinggalan juga kertas Pembelajaran Politik yang ditawarkan oleh fakulti Ekonomiyang ditawarkan oleh fakulti Ekonomi – itu saya ambil untuk acah sahaja.
Aneh betul. Tak pernah saya temui konsep ini sepanjang waktu persekolahan saya. Tiada. Tak pernah!
Ini mesti kerana saya yang tak hadir semasa kelas syarahan ataupun kelas tutorial tatkala perkara Ketuanan Melayu diajar atau dibincangkan (atau kemungkinan besar saya terlena, kot). Ataupun, mungkin perkara ini tidak pernah diajar atau dibincangkan.
Sekiranya ia tidak pernah diajar atau dibincangkan, penjelasan yang paling munasabah adalah kerana konsep Ketuanan Melayu ini tidak wujud sama sekali. Inilah yang difahami oleh minda logik saya. Saya tidak boleh memikir secara tidak logik tentang persoalan ini kerana saya adalah seorang yang berfikiran logikal. Mungkin YB Zulkifli Nordin mempunyai pandangan yang berbeza. Saya kurang pasti. Mungkin dia ada pandangannya sendiri. Dan juga pandangan-pandangannya yang lain. Sebab dia tu orang bijak.
Maaf, saya terpesong tadi.
Jadi, kalau Ketuanan Melayu tidak pernah diajar atau dibincangkan selama pendidikan saya sepanjang 18 tahun, walaupun saya telah mengambil kursus-kursus di mana perkara seperti ini sepatutnya lazim menjadi topik perbincangan, boleh saya simpulkan konsep ini tidak pernah wujud. Tetapi kalaulah benarpun ianya wujud, maka ini bermaksud bahawa kepentingannya dan relevennya kepada sejarah dan undang-undang kita terlalu kurang sehinggakan ia tidak dipedulikan sama sekali.
Berikutan itu, bagaimana pula konsep ini berjaya menyelinap ke dalam pentas sosial dan politik kita kebelakangan ini? Dr Mahathir telah memberikan kata duanya. Zaid Ibrahim telah mengatakan bahawa konsep ini telah gagal.
Shahidan Kassim telah menegur Zaid dan meminta beliau bertaubat kerana telah berkatakan demikian. Syed Hamid Albar pula meminta Zaid memohon maaf dan telah memanggil Zaid seorang penderhaka bangsa! Shahidan meneruskan serangannya dengan menyatakan yang Zaid patut keluar dari Melayu dan beliau sepatutnya insaf dan bertaubat!
Soalannya, sekiranya Zaid 'berbangsa Melayu' (dan adakah ini betul? Awak bagaimana? Saya pula?) macam mana hendak keluar Melayu? Bagaimana caranya hendak mengenyah-Melayukan diri? Ataupun Shahidan sedang merujuk kepada konsep bangsa Melayu seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia?
Di dalam Perlembagaan Malaysia seorang Melayu ditakrifkan sebagai seorang yang:
i) mengamalkan adat dan cara hidup Melayu
ii) beragama Islam, dan
iii) bertutur dalam Bahasa Malaysia (ataupun Bahasa Kebangsaan ataupun Bahasa Melayu yang kemudiannya bertukar menjadi Bahasa Malaysia dan kemudiannya ditukarkan kepada Bahasa Melayu semula dan kini dikenali sebagai Bahasa... tak tahulah saya).
Berikutan daripada takrifan sebegitu, rasanya Zaid boleh mengenyah-Melayukan dirinya dengan tidak melakukan seperti yang disifatkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Mari kita merenung sebentar. Perhatikan syarat yang pertama di atas. Seseorang itu berbangsa Melayu sekiranya beliau mengamalkan adat dan cara hidup Melayu. Itu seperti mengatakan yang seseorang itu berbangsa Inggeris jika beliau berbangsa Inggeris. Macam mana nak tahu apa itu adat Melayu dan cara hidup Melayu apabila perkataan 'Melayu' sendirinya belum lagi ditafsirkan?
Adui...
Dulu Melayu membawa keris merata tempat. Kini tiada seorang pun Melayu yang waras akan membuat sedemikian. Apakah ini bermakna yang tiada lagi Melayu di dunia ini? Dulu Melayu boleh melawat para jiran pada bila-bila waktu tanpa membuat temu janji. Kini kebanyakan Melayu bandar amat segan membuat sedemikian. Malah, 'rumah terbuka' hari raya kini hanya 'terbuka' kepada tetamu yang dijemput sahaja. Adakah ini bermakna yang Melayu bandar bukan lagi berbangsa Melayu? Saya kurang pasti, hanya setakat bertanya sahaja.
Berbalik kepada Zaid dan Shahidan Kassim. Soalan saya: Macam manakah Zaid boleh mengenyah-Melayukan dirinya? Kemudian, dikatakan Zaid patut 'bertaubat'. Taubat menyifatkan perbuatan yang berkaitan dengan agama. Seseorang itu bertaubat sekiranya telah berdosa. Jika begitu, ingin saya bertanya lagi. Sejak bilakah ia menjadi dosa untuk mempertikaikan atau mencabar keberkesanan Ketuanan Melayu?
Shahidan juga berkatakan yang Zaid patut meninggalkan rumpun Melayu. Biar betul. Biasalah … ingat lagi tak kata-kata YB ini di dalam Dewan Rakyat tidak lama dahulu? “Jika pendatang-pendatang ini tidak suka berada di sini, mereka patut tinggalkan negara ini!” Bijaknya. Perbahasan yang amat memberangsangkan. Hebat sekali hujahnya! Caya la, Shahidan.
Baiklah, katakanlah kita terima yang konsep Ketuanan Melayu ini merupakan suatu kenyataan. Dan mari kita andaikan yang Perlembagaan Persekutuan kita adalah berlandaskan konsep seperti tersebut ini.
Soalan pertama: Apakah gunanya jika Melayu digelar Tuan di dalam segala-galanya tetapi pencapaian orang Melayu masih ketinggalan di dalam semua bidang di dalam negaranya sendiri?
Soalan kedua: Bagaimana hendak menyelaraskan fahaman ketuanan ataupun dominasi kaum Melayu dengan fahaman Umno dan pemimpin-pemimpin kita yang menyatakan bahawa Melayu masih harus bersandarkan subsidi dan layanan istimewa untuk menolong mereka berjaya (ini digelarkan oleh Dr Mahathir sebagai "tindakan afirmatif")?
Soalan ketiga: Apabila memperkatakan Ketuanan Melayu atau dominasi Melayu, Melayu sebenarnya mendominasi ataupun menjadi Tuan ke atas apa dan siapa?
Pada zaman dulu, konsep 'dominasi' membayangkan penggunaan kekuatan fizikal untuk mengawal sesuatu. 'Ketuanan' pula adalah keadaan dimana sesuatu menjadi tuan kepada segala yang lainnya. Dalam fahaman sosial-politik, Ketuanan Melayu bermaksudkan bahawa Melayulah yang ditabalkan dan diteruskan sebagai kuasa teragung di dalam masyarakat dan negara. Di dalam sejarah, kita harus kembali ke era Kesultanan Melaka semasa tahun 1400-an untuk menemui contoh-contoh ketuanan atau dominasi oleh Melayu, itupun kalau kuasa sebegitu benar-benar wujud.
Ketibaan Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris dan seterusnya Jepun telah memusnahkan kesemua status ketuanan sosial-politik Melayu dan raja-raja mereka. Sejarah menunjukkan yang pihak Inggeris telah memaksa Raja-raja kita bersetuju mengambil penasihat-penasihat Inggeris, di mana nasihatnya mesti diterima dan dilaksanakan oleh Raja-raja. Perkembangan ini telah menghapuskan segala cebisan unsur dominasi atau ketuanan pihak Melayu ke atas masyarakat dan negara. Jika kesannya di dalam arena sosial-politik telah dirasai serta-merta, kesannya ke atas ekonomi bakal terasa juga.
Pihak Jepun sebaliknya lebih bertoleransi kepada status raja-raja Melayu dan kaum Melayu secara amnya. Akan tetapi ini adalah kerana pihak Jepun memerlukan sokongan daripada kaum Melayu (paling tidak pun perlu diterima oleh mereka). Ini adalah kerana kaum Cina jauh lebih giat bertempur menentang tentera Jepun di Malaya. Semangat mereka dilahirkan dari permusuhan di antara negara Cina dan Jepun yang sudah bersejarah panjang. Oleh itu, layanan istimewa telah diberikan kepada kaum Melayu dan juga raja-rajanya oleh penjajah Jepun.
Semua itu berubah dengan kembalinya British. Malayan Union yang diwar-warkan oleh pihak British bakal menjadikan raja-raja Melayu, dan kaum Melayu setakat rakyat biasa sahaja dan setara dengan rakyat lain kerana pihak British lebih cenderung menubuhkan sebuah negara demokrasi berasaskan kerangka Westminster. Akan tetapi nilai-nilai British ini kurang disenangi oleh kaum Melayu yang menuntut hak asal dominasi dan ketuanan seperti yang difahami dahulukala.
Di sinilah lahirnya tuntutan untuk sebuah 'kontrak sosial'. Ia berdasarkan andaian yang sebuah perjanjian di antara kaum Melayu dan pihak British telah dimaktubkan – seperti sebuah perjanjian Magna Carta zaman moden – di mana kaum Melayu akan bersetuju memberi kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India selagi hak-hak istimewa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu dikekalkan. Justeru itu peruntukan-peruntukan dalam Artikel 152 dan 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan telah diwujudkan.
Jika kita menerima kewujudan sebuah 'kontrak sosial' – dan saya tidak syak yang ianya benar-benar wujud – semestinya konsep dominasi Melayu atau Ketuanan Melayu tidak harus wujud lagi. Sepatutnya konsep seperti ini telah digantikan oleh peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaaan Malaysia dan juga 'kontrak sosial' yang [sekian ini] giat dipertahankan sebagai perjanjian suci dan yang dipeluk ketat oleh ahli-ahli politik kita.
Yang pastinya, pertubuhan sebuah negara Persekutuan berdemokrasi ala Westminster adalah bertentangan dengan konsep dominasi Melayu atau Ketuanan Melayu kerana kedua-dua konsep ini langsung tidak sehaluan dan mustahil dikembarkan.
Banyak yang telah diperkatakan mengenai kontrak sosial ini. Fokus utamanya adalah pada hak-hak kewarganegaraan yang telah dianugerahkan oleh kaum Melayu ke atas kaum bukan Melayu (ada yang menggelarkan kaum bukan Melayu ini sebagai 'pendatang'). Akan tetapi, tiada seorang pun yang sanggup melihat kontrak sosial ini dari pandangan kaum bukan Melayu.
Yang pasti, kaum bukan Melayu juga mempunyai harapan mereka sendiri apabila menerima kontrak sosial ini. Sebenarnya, kontrak sosial ini adalah perjanjian di antara dua pihak – kaum Melayu dan kaum bukan Melayu – di mana kedua-duanya mempunyai hak masing-masing yang harus dipertahankan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.
Justeru itu, tidakkah ia munasabah untuk mengatakan bahawa apabila kaum bukan Melayu telah memeterai kontrak sosial ini dengan kaum Melayu, mereka berhak menjangka yang mereka tidak akan ditundukkan di bawah Ketuanan Melayu dan semua rakyat adalah dianggap setara di bawah undang-undang dan tiada segmen rakyat yang dianggap sebagai tuan kepada segmen yang lain?
Saya berfikiran sepatutnya begitu.
No comments:
Post a Comment