Share |

Thursday, 5 March 2009

Tetapkan Pendirian, Teruskan Istiqamah!

Pastinya tidak ramai di antara kita yang masih mengingati ucapan pengebumian oleh Pericles, untuk mangsa-mangsa Perang Peloponnesian. Ucapan tersebut menggugah perasaan dan menyuntik semangat penduduk Athens, kerana ianya bukan sahaja eulogi untuk yang telah mati, malah juga satu bentuk testamen politik; pembedaan di antara Athens dengan negara-negara lainnya, juga di antara negara yang diperintah menurut asas-asas demokrasi dengan yang memerintah memaksakan ketakutan serta kezaliman ke atas rakyatnya.

Maka wajar diingat tanggal 3 Mac 2009, sejarah terukir di Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Peristiwa tersebut dari kebesarannya, menyamai kesan ucapan Pericles di Athens. Dinaungi sebatang pohon, sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Perak pun berlangsung, mengesahkan kedudukan Menteri Besar Dato’ Seri Nizar dan keabsahan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Media tunggangan UMNO-BN cuba mengolah pandangan dengan memperlekeh sidang bersejarah tersebut. Saya tegaskan jangan sesekali cuba memperbodoh rakyat! Sidang tersebut berlangsung dengan penuh kemuliaan, kerana kemuliaan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan tidak sama sekali bergantung kepada dewan yang berhawa dingin dan besar megah! Kemuliaan Dewan kerana ianya menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat.

Ingatlah ketika Rasulullah S.A.W mempersetujui Perjanjian Hudaibiyah di bawah naungan sebatang pohon yang beberapa tahun kemudiannya disusuli dengan kejayaan pembukaan kota Mekah. Saya nukilkan di sini firman Allah S.W.T dalam Surah Al Fath, ayat 18:

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;

Kepada pendokong Pakatan Rakyat, tetapkan pendirian dan terus istiqamah memperjuangkan keadilan, inshaallah Allah S.W.T akan memberikan kita dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.

ANWAR IBRAHIM

No comments: