(Hrkh) - Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim menggesa agar sebuah badan siasatan yang bebas dan telus diwujudkan serta merta bagi menyiasat insiden kematian Kugan Ananthan, seorang pemuda India di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya ketika masih ditahan.
Katanya kejadian ini mengingatkan kepada insiden M. Ulaganathan, juga mati ketika masih ditahan polis malah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu memutuskan bahawa kematian M. Ulaganathan adalah disebabkan kecuaian dan pengabaian melampau pihak polis
"Berulangnya insiden seperti ini pasti menghakis keyakinan rakyat terhadap kewibawaan pihak polis sebagai sebuah institusi keselamatan.
"Bagi memastikan keyakinan rakyat dipulihkan, saya menuntut agar sebuah badan siasatan yang bebas dan telus diwujudkan serta merta bagi menyiasat insiden kematian Kugan Ananthan," katanya dalam satu kenyatan media kepada Harakahdaily.
Katanya foto serta bukti yang menunjukkan adanya kecederaan pada si mati sudah tentu membangkitkan rasa tidak puas hati bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mahukan institusi polis memulihkan kembali kewibawaannya.
Selaku ahli parlimen dan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat beliau komited untuk membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat kelak.
"Beserta dokongan rakan-rakan ahli-ahli parlimen lainnya kami akan mencari jalan untuk meningkatkan tahap profesionalisme pihak polis serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan tersebut.," katanya.
No comments:
Post a Comment