Penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen yang diumumkan kerajaan hari Isnin bukanlah menjadi jaminan bahawa harga tersebut akan kekal pada tahap berkenaan atau akan diturunkan lagi.
Kerajaan membuat keputusan menurunkan harga minyak setelah dinaikkan kepada paras harga RM2.70 seliter Jun lalu,ekoran penurunan mendadak harga minyak mentah dunia di pasaran antarabangsa.
Mengulas sama ada penurunan harga petrol dan diesel akan turun lagi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, rakyat jangan terlalu berharap sangat bahawa harga runcit petrol dan diesel akan diturunkan lagi selepas ini.
Sebabnya menurut beliau, harga minyak mentah di pasaran antarabangsa kini sudah mula menunjukkan trend peningkatan.
Walaupun peningkatan tersebut masih belum lagi ketara tetapi tanda-tanda kenaikan berkenaan memberikan indikasi bahawa harga komoditi berkenaan tidak dapat dijamin kekal pada paras yang sedia ada pada masa kini.
Harga pasaran minyak dunia kini berada di bawah USD50 setong tetapi terdapat petunjuk bahawa harga berkenaan akan melonjak sedikit melepasi paras USD50.
Kerajaan hari Isnin menurunkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen menjadikan harga petrol turun kepada RM1.80 manakala diesel pula kepada RM1.70.
Penurunan harga yang terbaru itu, adalah kali yang keenam dilakukan oleh kerajaan sejak harga runcit kedua-dua bahan bakar berkenaan dinaikkan kepada RM2.70 Jun lalu.
Ditanya adakah penurunan harga ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan, Shahrir menolak andaian tersebut.
“Ini bukan gula-gula politik walaupun pembangkang jadikan minyak sebagai isu politik. Ini adalah janji kerajaan untuk menurunkan harga minyak,” katanya.
Andaian sama juga diberikan apabila kerajaan buat pertama kali menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen sebelum pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.
Namun cakap-cakap bahawa penurunan harga minyak tersebut kerana kepentingan politik akhirnya lenyap apabila kerajaan terus menurunkan harga runcit petrol dan diesel ekoran penurunan harga minyak mentah dunia di pasaran.
“Dulu bila kita turunkan harga sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh, orang kata ini kerana politik tetapi selepas itu bila turun lagi, terbukti kerajaan sebenarnya menunaikan janji,” jelasnya.
Beliau berharap, penurunan harga runcit petrol dan diesel di bawah paras RM1.92 selepas naik kepada RM2.70 Jun lalu akan memberi banyak manafaat kepada rakyat.
Cumanya beliau mengingatkan, walaupun harga petrol dan diesel turun dan rakyat mempunyai lebihan untuk berbelanja, mereka dinasihatkan agar berjimat.
No comments:
Post a Comment