Share |

Friday, 12 December 2008

NOKTAH SEBENTAR

Hishamuddin Rais

Hari ini kita terus membaca dan diberitahu bahawa dunia kapitalis sedang dilanggar krisis yang maha besar. Krisis ekonomi yang sebesar ini belum pernah dialami oleh dunia kapitalis selama 200 tahun ini. Krisis kali ini lebih buruk dari zaman meleset tahun 1929.

Kita hanya membaca zaman meleset yang berlaku pada tahun 1929 di Amerika Syarikat. Kita tidak mengalaminya. Apa yang kita tahu hanya melalui surah sejarah tidak lebih dari itu. Apa yang kita lihat hanyalah gambar-gambar hitam putih tentang zaman itu. Apa yang kita hayati hanyalah filem-filem yang cuba menggambarkan suasana dan drama di zaman itu.

Zaman meleset di Amerika berlaku 80 tahun dahulu.

Lapan puluh tahun dahulu Tanah Melayu masih di bawah penjajah British. Getah baru sahaja sampai dari Brazil pada tahun 1902. Sistem ekonomi kapitalis belum melebar. Jual beli duit ringgit belum menjadi budaya. Malah banyak warga langsung tidak memiliki duit. Bertukar-tukar barang masih lagi budaya ekonomi. Masyarakat konsumer yang kita lihat disekeliling kita hari ini masih belum wujud.

Rumah kita di kampung memakai lampu damar, kita memasak dengan kayu dan mengambil air dari perigi. Kita ke sawah setahun sekali. Di pekan lampu jalan memakai lampu minyak pam. Kereta satu benda yang ajaib – kalau bernasib baik kereta melintasi kampung kita – kita berkumpul berkerumun untuk melihatnya.

Saya sendiri belum wujud pada tahun 1929. Apa yang saya tulis ini hanyalah menyambung surah dari arwah ibu dan ayah saya. Zaman ini telah lama berakhir. Hari ini kita melihat zaman ini sebagai Zaman Dahulu, kita panggil zaman ini Zaman Lampau atau Zaman Tok Kaduk. Apakah ini tepat?

Sebelum menjawab soalan itu kita wajib melihat apakah budaya yang sedang kita anuti hari ini.

Untuk ujian pertama sila buka almari kain baju dan lihat berapa banyak kain baju yang terkumpul dan tidak pernah kita usik-usik. Malah kita terlupa bahawa kita memiliki kain baju ini. Kemudian sila pandang rak kasut. Berapa banyak kasut yang terkumpul.

Jika kain baju bergantang-gantang dan kasut semakin membusut maka tandanya kita sedang menghayati dan merayakan budaya konsumer – budaya yang lahir dari sistem ekonomi kapitalis. Budaya konsumer ini telah sampai ke tahap akhiran kerana sistem ekonomi kapitalis tidak lagi berkemungkinan untuk berkembang melainkan menguncup dan akhirnya meleset.

Jangan dengar cakap cakap para politikus yang memerintah. Mereka sedang berbohong. Kerja dan tugas mereka hanyalah berbohong dan menipu. Jangan percaya bahawa kita semua selamat dari krisis ekonomi ini. Jangan percaya bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Tidak mungkin kalau semua negara dalam dunia ini telah mengakui bahawa negara mereka sedang menghadapi krisis mana mungkin hanya Malaysia terselamat. Ini mustahil. Ini pembohongan. Ini betul-betul macam Razak Baginda berkata yang Najib tidak mengenal Altantuya. Bohong.

Fakta : Amerika Syarikat rakan niaga terpenting Malaysia telah memasuki zaman meleset bukan pada tahun 2008 tetapi tahun lalu 2007. Ini fakta resmi kerajaan Amerika Syarikat. Negara Iceland telah jatuh muflis. Tiga syarikat kereta yang terbesar dalam dunia – Ford, General Motors dan Chrysler – telah jatuh muflis.

Di UK syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar – beli satu kereta dapat satu percuma. Ini kerana tidak ada lagi pembeli yang ingin membeli kereta. Di Malaysia pada ketika ini kita boleh beli kereta tanpa duit pendahuluan. Ini hanya permulaan. Akan sampai masanya apabila kereta dari kilang Proton akan tinggal terbengkalai.

Satu demi satu bank besar dan syarikat mata wang gergasi telah tutup kedai.

Harga minyak sawit kita telah jatuh. Harga minyak mentah telah juga jatuh. Bila harga minyak sawit dan harga mentah jatuh ertinya pendapatan negara kita kurang. Tahun lalu Indek Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur naik hingga ke 1,300 mata. Lupa? Bukankah Abdullah Badawi merasa amat bangga dan mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi kita cermerlang, gemilang dan terbilang?

Hari ini Indek Komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum. Apakah kalau indek naik maknanya ekonomi baik. Jika indek turun tidak ada seorang menteri pun yang mengeluarkan kenyataan seolah olah mereka semua telah jadi rabun dan buta.

Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami ianya bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun hadapan.

Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknnya kalau dulu kita boleh beli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit. Duit ringgit kita rupa dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya.

Noktah sebentar untuk bertanya apakah ada jalan untuk menghadapai krisis ini?

Pasti ada. Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia. Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain melainkan kita menanam tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk di eksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh.

Di Amerika dan di Eropah – berjuta juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit mereka tidak beli barang. Apabila mereka tidak beli barang – kilang kita yang membuat barang akan di tutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang kerja dan kita pula tidak ada duit. Inilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis.

Lingkaran setan ini dapat kita putuskan jika kita kembali berbakti kepada bumi. Bumi bukan untuk di runtuh rantahkan. Bumi adalah untuk kita bercucuk tanam dan menanam tanaman untuk makanan. Kita wajib memisahkan diri kita dari terjerut dalam sistem global ekonomi kapitalis yang memaksa kita menjadi konsumer.

Noktah sebentar dan lihat kembali Zaman Tok Kaduk dahulu. Tidak ramai yang memiliki duit dan ringgit. Mereka bertukar tenaga bantu membantu – bergotong royong. Mereka hidup bukan sebagai konsumer. Mereak hidup sebagai manusia.

Kini telah muncul kembali di banyak tempat di Amerika dan di Eropah dimana warga-warga menolak pengunaan duit resmi dan menggunakan duit mereka sendiri. Ini untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam ekonomi konsumer. Mereka menjalankan perniagaan tukar menukar. Mereka mahu menjadi manusia yang merdeka bebas dari belenggu sistem ekonomi kapitalis.

Satu pekara yang wajib kita semua sedari. Pada tahun tahun 30'an apabila ekonomi Amerika dan Eropah meleset, apa yang muncul? Perang Dunia Kedua bermula. Dalam sistem ekonomi kapitalis perang adalah jalan pintas untuk kaum pemodal menjual barangan mereka. Dalam masa yang sama perang akan memusnahkan apa yang telah mereka buat. Buat kemudian musnahkan. Buat lagi dan musnahkan lagi. Ini cara untuk memastikan kilang akan terus bergerak.

Perang menjanjikan industri senjata berkembang. Industri senjata adalah satu-satunya industri yang menjadi pasak dan menjana ekonomi sistem kapitalis. Dalam perang kemusnhan akan berlaku. Kapal terbang hancur, kereta kebal musnah, peluru dan bom di letupkan – semua ini perlu diganti dan dibuat lagi.

Industri perang adalah industri terbesar - numero uno - untuk Amerika Syarikat. Amerika Syarikat, atau lebih tepat di Wall Street adalah sarang dimana kaum pemodal multinasional berkumpul dan merancang. Pada ketika ini di kilang-kilang industri perang sedang menggunung dengan peralatan senjata yang belum terjual atau belum musnah.

Justeru – kemungkian perang besar akan bemula tidak boleh di ketepikan. Sejarah telah menunjukkan apabila kaum pemodal dilanggar krisis maka tidak dapat tidak mereka akan merancang perang. Perang di Iraq, di Afghanistan, Kosovo, Somalia dan di Sudan ini masih belum mencukupi untuk memusnahkan senjata-senjata yang telah sedia di buat. Kerana itu perang wajib diluaskan ke Iran, Pakistan dan India. Apa yang berlaku di Bombay baru-baru ini adalah sebahagian dari perancangan perang yang lebih luas.

Noktah sebentar dan mari kita melihat diri kita sendiri. Apakah kita telah terperangkap dalam sistem dan budaya yang dimunculkan secara terancang oleh kaum pemodal internasional? Apakah kita diperangkap untuk terus menjadi hamba sebagai pengguna dan konsumer untuk membeli barangan yang kini telah menyempit bilik kita sendiri.

Jawapannya – sila buka kembali almari kain baju dan lihat apa yang ada di dalamnya. Jawapannya di hadapan mata.

No comments: