Menjelang tiga bulan terakhir memegang jawatan Perdana Menteri, banyak spekulasi yang berlegar mengenai usaha-usaha pembaharuan yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ada pandangan yang sinikal yang mempersoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh tiga bulan sebelum melepaskan jawatannya Mac depan.

Lebih khusus, usaha pembaharuan dalam bidang pencegahan rasuah dan institusi kehakiman melalui pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Kehakiman di Dewan Rakyat mendapat reaksi yang bukan sahaja daripada pembangkang tetapi juga kalangan ahli-ahli parti pemerintah sendiri.

Ada yang mempertikaikan kenapa rang undang-undang tersebut perlu diadakan, adakah ia mempunyai muslihat tertentu dariapda sudut politiknya dan pelbagai andaian lain.

Malah tidak kurang juga yang mempersoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh tiga bulan sebelum bersara.

Menjawab segala persoalan tersebut, Abdullah dengan tegas berkata, beliau tidak akan lari daripada amanah dan tanggungjawab yang digalasnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya akan tunaikan semua tanggungjawab yang ada…selagi saya masih Perdana Menteri saya akan melaksanakan amanah tersebut sampai ke saat terakhir,” ujarnya sambil menegaskan, beliau tidak akan hanya berdiam diri menunggu masa untuk bersara.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas dengan Agendadaily di kediamannya di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur hari Selasa.

“Saya akan terus berada di sini bagi menyelesaikan apa yang telah saya janjikan,” tegas Abdullah lagi.

Pada pertemuan tersebut, Abdullah melahirkan segala yang hasrat dan harapan beliau untuk melihat institusi kerajaan diperkasakan dan mendapat keyakinan semula daripada masyarakat ekoran wujudnya pelbagai persepsi negatif khususnya institusi pencegahan rasuah, kehakiman dan penguatkuasaan.

Abdullah turut ditanya, apakah kekecewaan yang dirasainya dalam usaha melakukan agenda perubahan berkenaan.

Katanya, jika ada pun rasa kecewa terhadap sikap ahli-ahli UMNO dan BN dalam usaha beliau melakukan perubahan sepanjang tempoh menjadi PM ialah mereka terlalu diselubungi dengan persepsi negatif.

”Mereka hanya lihat sesuatu pembaharuan itu daripada sudut negatif sahaja tanpa mahu memahami apa yang tersirat di sebalik hasrat. Segalanya mereka lihat daripada apa yang tersurat sahaja,” jelasnya.

Rasa kecewa beliau itu lebih merujuk kepada sikap yang tidak mahu memahami hasrat serta pandangan negatif yang diberikan terhadap pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Kehakiman di Dewan Rakyat.

Di sela-sela pertemuan berkenaan, Abdullah turut ditanya adakah beliau akan terima jawatan sebagai Menteri Kanan selepas bersara Mac depan seperti yang disuarakan oleh beberapa pemimpin UMNO.

“Biaq pi kat depalah,” ujarnya sambil gambarkan tidak pernah terlintas di fikirannya mengenai perkara itu.

Mengenai adakah beliau akan memantau kerajaan selepas bersara nanti, beliau menegaskan, “saya tidak akan jadi macam itu”.

Malah pada pertemuan berkenaan beliau turut menegaskan, tidak akan mengganggu kerajaan pimpinan baru selepas Mac depan