Bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, apabila beliau melakukan reformasi dua institusi penting dalam negara iaitu pencegahan rasuah serta institusi kehakiman, niatnya jelas.

Kata Perdana Menteri, “Buat rumah elok, tiang mesti kuat”.

Tidak sukar mentafsir maksud kata-katanya itu. Ringkasnya, beliau mahu Malaysia mempunyai undang-undang yang boleh memberi keyakinan dan keselesaan kepada rakyat, pelabur mahupun peniaga pada masa depan.

Ini juga bagi membetulkan persepsi kononnya bidang pencegahan rasuah dan kehakiman di negara ini kurang berwibawa.

Sebab itu, Abdullah membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK) 2008 pada sidang Parlimen ini.

Beliau berkata, usaha untuk menambahbaik dua institusi berkenaan melalui perubahan undang-undang dua badan itu adalah janji kerajaan pada pilihan raya umum 2004.

Namun, bukan semua perkara baik diterima dengan mudah. Rang undang-undang SPRM dibahaskan selama dua hari sebelum diluluskan.

Ketika barisan pembangkang mempersoalkan masalah teknikal pelaksanaannya, ada pula cerita-certia dikalangan pemimpin Barisan Nasional (BN),kononnya Abdullah ada muslihat tertentu dengan pembentangan undang-undang itu sebelum peralihan kuasa Mac depan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan Agendadaily di rumahnya di Jalan Bellamy ,Kuala Lumpur Selasa, menolak cakap-cakap bahawa undang-undang baru yang akan berkuat kuasa awal tahun depan diasaskan dalam tempoh tiga bulan sebelum melepaskan jawatan, mempunyai tujuan tertentu.

Dalam pertemuan itu, Abdullah lebih mempersoalkan sikap ahli parlimen pembangkang yang membuang masa ketika membahaskan rang itu dengan bercakap perkara-perkara lama.

“Pembangkang buang masa, mereka patut cakap terus apa yang setuju;;;tak setuju dengan rang undang-undang ini. Bagi tau pindaan, sokong atau tidak. Bukan bercakap benda-benda lama berulang kali,” ujar beliau.

Beliau melihat, perbahasan itu banyak menimbulkan perkara yang negatif.



“Kalau anggap rasuah tak baik, sokonglah SPRM kenapa nak cakap orang tu korup, orang ni salah guna kuasa,” katanya.

.

Abdullah menjelaskan, reformasi ini adalah bentuk modal insan melalui pendekatan Islam Hadhari bagi lahirkan manusia bermoral dan berilmu.

Beliau menjelaskan, SPRM ini merupakan value add pada undang-undang atau peraturan sedia ada.

“Macam ini, baru boleh maju. Macam orang bisnes, kena tambah nilai, baru ada peningkatan dan kejayaan,” katanya.

Perdana Menteri memberi gambaran pembangunan yang perlu ada keseimbangan dengan tidak tertumpu di bandar sahaja tetapi infrastruktur luar bandar perlu ditambah bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Ini sebahagian besar (masalah) dalam pembangunan negara. Macam-macam persepsi rakyat terhadap polis, hakim dan penguatkuasa di negara ini. Buat rumah elok, tiang perlu kuat,” ujar beliau.

Katanya, inilah kekuatan dan integriti dalam pelaksanaan pencegahan rasuah serta kehakiman supaya beri keyakinan kepada rakyat.

“Kita kena fahami apa yang tersirat, bukan yang tersurat sahaja,” tegasnya.

Menurut beliau, ianya juga dapat memperlihatkan kepimpinan kerajaan dan Melayu yang adil kerana kewajipan orang Islam adalah menghakimi secara adil dan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja.

Abdullah turut menekan betapa perlu mengubah minda supaya tidak lagi melihat rasuah hanya di sektor awam sahaja sebaliknya usaha melawan rasuah perlu memasuki sektor swasta.

Katanya, penyakit dalam jiwa serta persepsi terhadap masalah ini mesti dihilangkan.

Beliau mengakui punca dakwaan rasuah di negara ini serius disebabkan ada pihak mudah mencipta persepsi sedemikian.

“Masalahnya, kita mudah cipta persepsi…tuduh kerajaan, pemimpin dan menteri korup.

Ini semua pemikiran negatif – macam-macam bermain dalam kepala,” jelasnya.

Baginya, akta pencegahan rasuah 2008 bukankah sesuatu yang perfect.tetapi Ketua Pembangkang yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasannya mengakui apa yang ada kini lebih elok daripada akta BPR 1997.

Bagaimanapun, Abdullah tidak hairan jika pembangkang sentiasa menolak cadangan-cadangan atau idea dikemukakan kerajaan kerana pemikiran mereka memang begitu.

“Mereka dok fikir PM macam-macam, PM rasuah, PM salah guna kuasa dan macam-macam lagi..Kenapa tidak fikir yang positif…PM boleh buat kerja lagi,” kata beliau,

Perdana Menteri berkata, sikap dan pemikiran pembangkang hari ini tidak sehebat seperti ketika Tan Sri Lee Lam Thye dan Tan Sri Tan Chee Koon menjadi pemimpinnya.

Mengenai Suruhanjaya Perlantikan Hakim, Abdullah berkata, isu utamanya hanyalah soal pelantikan, bukannya siapa bakal dilantik.

“Kita cadangan kaedah pemilihan yang ada ketelusan…sama ada terima atau tidak, itu kuasa prerogatif atau hak muthlak PM…dan tak akan korbankan prerogatf PM dengan pelantikan hakim yang tidak layak” jelasnya.

“ Dulu (akta) 1997..kini kita tambah nilai atau penambahbaikan.. jangan sikap buruk sangka dengan halang apa jua rancangan kerajaan. Jangan kita terperangkap dalam pemikiran negatif pada kerajaan,” pinta beliau.

Perdana Menteri yakin kedua-dua suruhanjaya itu apabila dilaksanakan kelak akan membawa perubahan dalam bidang berkenaan,

Persidangan Dewan Rakyat, petang Selasa meluluskan rang undang-undang itu dengan pindaan kecil pada Fasal 36(1)(b), bagi meminda perkataan Pendakwa Raya kepada Pegawai Pesuruhjaya.

Rang Undang-Undang Suruhajaya Pelantikan Hakim pula masih dibahaskan.

Pada pertemuan itu juga, Abdullah menegaskan beliau akan tunaikan semua tanggungjawab yang ada selagi masih Perdana Menteri dan akan melaksanakan amanah tersebut sampai ke saat terakhir.