Share |

Sunday 2 November 2008

Mahfuz persoal keputusan mahkamah yang selari dengan SMS Najib

Keputusan mahkamah yang dilihat memenuhi urutan peristiwa sebelum itu, terutama kandungan SMS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tidak membantu memulihkan kepercayaan rakyat kepada institusi kehakiman.

Malah, keputusan itu juga akan menyebabkan integriti Najib semakin dipersoal dan dipertikaikan.

Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar membangkitkan perkara itu mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dari tuduhan bersubahat membunuh ahli perniagaan Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Keputusan mahkamah itu tidak membantu memulihkan kepercayaan kepada institusi kehakiman. Terlalu jelas keputusan itu memenuhi urutan peristiwa sebelum itu.

"Mengapa keputusan itu selari dengan kandungan SMS Najib kepada Shafie yang menyatakan "all is not lost" di awal penangkapan Abdul Razak dahulu?" tanya Mahfuz.

Dalam SMSnya kepada peguam Abdul Razak ketika itu Datuk Shafie Abdullah, Najib memberitahu "Pls do not say anything to the press today. i will explain later. RB will have to face a tentative charge but all is not lost".

Maksudnya, "Harap tidak beri apa-apa kenyataan kepada akhbar hari ini. Saya akan terangkan kemudian. RB (Razak Baginda) terpaksa menghadapi pendakwaan tentatif tetapi tidak semuanya hilang".

Najib tidak menafikan SMS tersebut adalah antara beliau dan Shafie.

"Mempertikaikan keputusan mahkamah tidak diizinkan undang-undang negara ini. Tetapi, rakyat tidak boleh disalahkan jika mereka enggan mempercayainya," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga tidak menolak kemungkinan keputusan membebaskan Abdul Razak itu akan menyebabkan integriti Timbalan Perdana Menteri semakin dipersoal dan dipertikaikan.

"Najib tentu tidak akan menolak peluang untuk menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Tetapi, pernahkah Najib mengambilkira perasaan rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri mereka dikait-kaitkan dengan pembunuhan Altantuya dan keputusan mahkamah yang dilihat selaras dengan kandungan SMS beliau kepada peguam yang sebelum ini terlibat dengan kes itu? Itu belum lagi diambilkira kes Sukhoi, Scorpene dan Eurocopter.

"Adakah Najib fikir mereka bangga dan gembira mempunyai Perdana Menteri seperti itu?" Mahfuz mempersoalkan.

Mengulas lanjut mengenai integriti kehakiman, beliau juga melihat kenyataan Ketua Hakim Negara baru yang dipertikaikan perlantikannya sebagai kenyataan tidak bermakna.

"Hanya cakap sahaja yang boleh didengar tetapi tidak ada perlaksanaan untuk dilihat," kata beliau.

No comments: