©Utusan Malaysia Oleh Herman Hamid and Faizah Izzani Zakaria
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal kerana sehingga kini empat negeri yang telah diarahkan menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam masih belum berbuat demikian. Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, isu tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan segera berbuat demikian.
‘‘Apa yang saya nampak macam tidak ada apa-apa pergerakan termasuk di Wilayah Persekutuan sendiri kecuali beberapa kenyataan daripada pemimpin negeri-negeri berkenaan yang menyatakan persetujuan mereka.
‘‘Tiada penjelasan diberikan mengapa banyak masa diambil untuk menggubal undang-undang tersebut. Saya pun tidak tahu kajian apa lagi yang hendak dibuat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Pada Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan yang sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.
Pada masa ini semua negeri beraja - Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu serta Melaka sudah menjalankan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing.
Kelantan adalah negeri paling awal berbuat demikian pada tahun 1981 dan paling akhir ialah Johor pada tahun 1991.
Berdasarkan laporan akhbar, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu dikatakan amat mengecewakan kerana hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang berkenaan pernah dilaksanakan.
Antara kesalahan yang disebut pada undang-undang ini ialah memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut atau anggota suatu agama bukan Islam.
Turut dianggap sebagai kesalahan ialah mendedahkan seorang yang beragama Islam di bawah umur lapan belas tahun kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan Islam dan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam.
Sementara itu, Zainul menegaskan apa yang lebih penting pada enakmen itu ialah untuk menjadikannya lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan.
Kata beliau, kekurangan itu dapat dilihat bagaimana setakat ini bukan sahaja masyarakat umum kurang mengetahuinya tetapi di kalangan penguat kuasa sendiri juga tidak begitu arif mengenainya.
``Penguat kuasa enakmen ini bukan penguat kuasa agama tetapi pihak polis kerana ia melibatkan pengawalan terhadap mereka yang bukan beragama Islam,’’ jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa menubuhkan sebuah unit khas dengan menempatkan pegawai dan anggota yang khusus bagi menguatkuasa enakmen itu.
Katanya, melihat kepada perkembangan kebelakangan ini apabila banyak isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam berlaku, tentunya penguatkuasaan undang-undang itu menjadi semakin mustahak.
``Namun perlu ditegaskan bukan tujuan kita untuk meminta ada sesiapa yang ditangkap di bawah enakmen ini. Cuma kita mahu enakmen ini mampu menimbulkan kegerunan yang secara langsung menjadi satu bentuk pencegahan.
``Harus diingat enakmen ini mempunyai asas rapat dengan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 (4) yang membenarkan undang-undang digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam,’’ jelasnya.
Pada perkembangan yang sama, Zainul Rijal menyarankan negeri lain supaya mencontohi Kelantan yang telah meningkatkan hukuman dalam enakmen tersebut.
Katanya, dengan pindaan yang dibuat pada tahun lalu, membolehkan Kelantan mengenakan hukuman denda tertinggi dan penjara paling lama antara negeri-negeri di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.
“Kita tiada kuasa untuk memaksa pihak berkaitan menggubal undang-undang itu kerana kuasa terletak di bawah kerajaan negeri terutama bagi negeri yang beraja.
“Apa yang boleh kita buat adalah kita meminta pihak berkaitan supaya mengambil perhatian perkara ini dengan segera kerana dalam keadaan hari ini, enakmen tersebut perlu diberikan perhatian,” jelasnya.
Beliau menambah, langkah itu perlu demi kepentingan dan masa depan umat Islam negara ini. |
No comments:
Post a Comment