Share |

Tuesday, 23 September 2008

Beranikah Abdullah isytihar pilihan raya mengejut?


Secara tradisinya, dua pihak yang sering beradu kuasa dalam politik Malaysia adalah Umno dan PAS.

Namun, di sebalik apa jua manifesto kedua-dua parti itu dalam 12 pilihan raya umum lalu, mengenai siapa yang lebih mampu mempertahankan hak dan kekuasaan politik Melayu dan kedaulatan Islam, penyokong, pengundi dan ahli-ahli parti berkenaan akan merasa kehilangan besar jika Umno atau PAS yang berkuasa di sesebuah negeri.

Bagi rakyat, khususnya orang Melayu, sama ada PAS atau Umno yang menang, ia tetap merupakan kerajaan Melayu. Siapapun yang menang dan memerintah, ia tetap situasi menang-menang dan mencerminkan kuasa dominan politik Melayu.

Pemimpin parti mungkin melihat kuasa politik dari sudut berbeza. Namun bagi rakyat yang waras, ia berkaitan dengan siapakah yang patut diberikan amanah dan prestasi pula diukur sejauh mana mereka yang dipilih boleh memberikan keselesaan buat rakyat.

Peningkatan asas sokongan PAS dan penghijrahan pengundi dan penyokong dari Umno ke PAS dari masa ke masa berlaku atas pelbagai faktor ? yang terbesar ialah kemampuan Umno dalam menggalas tanggungjawab terhadap orang Melayu dan Islam semakin dilihat tidak lagi berkesan dan kemampuannya kian dipertikaikan.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, lanskap politik Malaysia terubah dengan kejayaan KeADILan yang relatifnya baru dalam senario proses pemilihan elektoral memperolehi 31 kerusi Parlimen (20 daripadanya dimenangi calon Melayu). PAS mendapat 23 kerusi, DAP 28.

Dengan kemungkinan setidak-tidak 30 Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan, menjadikan jumlah kerusi Pakatan 112 berbanding BN 110, maka BN tidak lagi berkuasa di peringat Persekutan.

Perkiraan inilah yang menguatkan hasrat Dato' Seri Anwar Inrahim mengambil alih kerajaan.

Walaupun ia tidak berlaku pada 16 September lalu, namun tidak mustahil ia akan berlaku pada satu tarikh lain memadangkan ada Ahli Parlimen BN yang dikatakan berada di ambang meninggalkan parti masing-masing kerana tidak berpuas hati dengan kelemahan kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mendahului proses menterjemahkan protes rasa tidak puas hati ini sehingga mengucapkan selamat tinggal kepada BN ialah Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar dari BN pada 17 September 2008.

Juga di sebalik semua penafian Abdullah dan pemimpin kanan Umno-BN mengenai peralihan kuasa itu, ramai melihat keputusan SAPP sebagai bermulanya satu chain-reaction yang bakal menyaksikan lebih banyak komponen BN atau Ahli Parlimennya yang menuruti jejak langkah parti itu.

Ramai menanggap rancangan peralihan kuasa tajaan Anwar ini satu ancaman sahih yang diyakini oleh BN sendiri di sebalik pelbagai penafian, bermula saat pengumuman 49 Ahli Parlimen Backbenchers BN membuat lawatan ke Taiwan menjelang 16 September.

Tentu sekali ramai yang tidak mempercayai bahawa tujuan mereka ke negara tersebut adalah semata kerana mempelajari pertanian. Malah ramai berkongsi pandangan bahawa penahanan beberapa individu termasuk seorang Ahli Parlimen DAP ada kaitan dengan rancangan Anwar itu.

Walaupun perkaitan sedemikian tidak begitu jelas, yang pasti beberapa pemimpin Umno termasuk yang berjawatan menteri tidak bersetuju dengan penahanan wartawan Sin Chew Daily. Keadaan ini sudah tentu menambahkan lagi luka kesatuan pemikiran, pandangan dan keputusan dalam Umno yang amat utuh satu ketika dulu.

Yang Razali Kassim, felo kanan di S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Techonological University, Singapura berpendapat: "Keadaan darurat boleh diisytiharkan, atas sebab bahawa negara (Malaysia) sedang memasuki satu tempoh ketidak-stabilan berpanjangan. Kerajaan telah mengkaji opsyen darurat sejak kemelut pilihanraya 8 Mac. Ketua Turus Angkatan Tentera telah membangkitkan ? dua kali ? mengenai keadaan huru-hara ini dan meminta kerajaan supaya bertindak. Adalah sesuatu luar biasa bagi seorang jenderal tinggi untuk berkata demikian."

Keputusan Abdullah bertukar portfolio dengan timbalannya Dato? Seri Najib Abdul Razak yang menyaksikan beliau menjadi Menteri Pertahanan mengundang spekulasi selanjutnya kepada pandangan di atas.

Tulisan tersebut turut juga menyentuh tentang kemungkinan sebuah pilihan raya umum mengejut, "... Sekiranya BN akan kehilangan kuasa mengapa tidak sahaja mengadakan pilihan raya sekali lagi untuk cuba mengubah gelombang? Itu, bagaimanapun, mungkin akan membuktikan satu strategi berisiko bagi BN. Lagipun, kali ini BN mungkin akan tersingkir terus."

Kebarangkalian BN kehilangan kuasa jika satu pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat adalah tinggi memandangkan ramalam kemenangan moralnya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu tidak menjadi, malah Anwar menang lebih besar.

Walaupun ketika menjawab soalan media pada 16 September lalu Abdullah mendakwa masak dengan cara dan strategi politik Anwar, namun beliau mungkin terlupa betapa menerusi semua jawatan dalam parti dan kerajaan yang pernah disandang bekas TPM itu ketika dan sebagai pemimpin yang amat popular, Anwar dapat memahami mindset pemimpin Umno dan budaya yang melahirkan mindset sedemikian serta insight kepada cara Umno dan kerajaan BN bergerak dan bertindak dalam menghadapi krisis.

Anwar sesungguhnya memiliki kemampuan mempengaruhi keadaan. Kehadiran semula beliau dalam senario politik Malaysia menghantui Umno dan sedikit sebanyak memberikan impak perpaduan dalam PAS sendiri.

Politik Malaysia berada dalam keadaan paling kelam-kabut dan tidak stabil. Debu politik pilihan raya umum masih belum mendak walaupun sudah berlalu hampir lapan bulan.

Sementara semua ini berlaku, golongan yang menyandarkan harapan berlakunya peralihan kuasa terus meyakini Anwar boleh melakukan satu keajaiban politik dan seterusnya urus-tadbir kerajaan yang serba-sempurna dalam keadaan majoriti mudah yang paling minima. - mks.

Shirzat Lifeboat

No comments: