Share |

Friday, 16 January 2015

Allah izinkan gadis Melayu dipeluk artis K-Pop, kata wanita

Seorang wanita berpendapat insiden gadis Melayu berpelukan dengan artis K-Pop adalah dengan keizinan Allah. – Gambar daripada YouTube.Tiga gadis Melayu yang berada di atas pentas dan berpeluk dengan artis K-pop B1A4 dari Korea Selatan tidak akan mendapat peluang sedemikian jika tidak kerana ketentuan Allah, kata seorang pengguna media sosial.

Wanita 20-an yang menyiarkan pendapatnya melalui video berdurasi 5:42 minit itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial lain yang turut berkongsi di Facebook dan YouTube.

Wanita tersebut ketika mengulas insiden yang kini menjadi viral dan mendapat perhatian meluas sehingga pemimpin negara dan badan agama berkata, gadis terbabit berada di atas pentas dengan keizinan Allah.

Katanya, mereka membuat pilihan untuk pergi ke konsert di KL Live Centre dan ia diizinkan Allah.

"Mereka memilih untuk berada atas pentas dan Allah izinkan mereka untuk berada atas pentas," katanya dalam video tersebut.

Kata-kata wanita terbabit bagaimanapun mengundang reaksi negatif pengguna laman sosial yang menyifatkan seolah-olah dakwaannya cuba menyalahkan tuhan kerana membiarkan perkara itu terjadi.

Seorang pengguna Facebook, Zax Baharudin berkata: "Yang baik datang dari Allah, yang tidak baik datang dari kita sendiri, Allah beri kita akal untuk berfikir dan buat pilihan, baik dan buruk adalah pilihan kita sendiri. Nafsu untuk beli tiket mahal dan naik ke pentas adalah pilihan sendiri."

Wanita terbabit pada masa sama menganggap insiden itu sebagai ujian Allah kepada masyarakat terutamanya "keyboard warrior" Melayu yang bertelagah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap sesama sendiri.

Katanya, di sebalik tindakan negatif, masyarakat sepatutnya memberi sokongan kepada gadis terbabit dan bukan hanya menghukum sehingga menjejaskan kehidupan mereka.

"Jadi kalau anda rasa tak mahu ajak mereka kepada kebaikan jangan sesekali jadi punca kepada mereka jauhi kebaikan" katanya.

Pemilik akaun YouTube, FitrihadiTV yang turut memuat naik video itu semalam mengulas, walaupun kebanyakan hujah yang diberikannya agak baik, tetapi mengaitkan insiden itu dengan "keizinan Allah" tidak dapat diterima orang ramai.

"Kebanyakan poinnya agak baik. Namun pada awalnya, beliau mengatakan semua aksi yang berlaku tersebut adalah dengan izin Allah. Ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat tersebut," katanya.

Pengguna akaun Facebook Dewi's Zakaria berkata: "Jangan bermain dengan perkataan 'dengan izin Allah' sebaiknya dalami ilmu sebelum berkata sesuatu. Allah tidak pernah mengizinkn sesuatu perkara yang menuju ke arah laranganNya. Kita manusia diberikan ilmu dan akal bagaimana nak memilih jalan yang lurus atau bengkok".

Ada juga beberapa pengguna Facebook yang mempertahankan kenyataan wanita tersebut, antaranya Zul Helmi Baharom yang berkata: "Moral dalam viral perempuan ini adalah untuk menghentikan cemuhan dan melebihkan doa kepada wanita yg berpeluk agar mereka kembali ke jalan yang benar dan bukan memaki hamun. Perempuan itu juga sudah dapat balasan dan pengajaran. Nabi pun berdakwah dengan cara yang baik, maka tegurlah dengan cara yang baik."

Konsert artis kumpulan dari Korea Selatan itu mula mencetuskan kontroversi ‎di laman sosial sejak hujung minggu lalu, dengan memaparkan adegan peluk dan cium di dahi oleh tiga ahli kumpulan itu bersama tiga gadis Melayu.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan daripada masyarakat Islam terutama badan bukan kerajaan (NGO) yang melabelkan hiburan K-Pop merosakkan akidah remaja Islam dan ada kaitan dengan agenda Kristianisasi.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan akan memohon waran tangkap sekir‎anya gadis Melayu yang didakwa "dicabul" artis K-Pop masih tidak menyerahkan diri secara sukarela bagi membantu siasatan.

Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata, kes itu akan dibawa ke mahkamah dan sekiranya dapati bersalah, gadis Melayu itu perlu menghadiri sesi kaunseling bersama Jawi.

Beliau memberikan tempoh seminggu kepada gadis terbabit untuk menyerahkan diri atau waran tangkap dikeluarkan.

Paimuzi pada Isnin dilaporkan berkata, bahagian penguatkuasaan Jawi sudah membuka kertas siasatan kes mengikut Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tekanan turut diberikan NGO kepada peganjur konsert yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan kepada TGM Events.

TGM Events dalam kenyataan rasmi melalui laman sosial Facebook kemudian meminta maaf atas insiden itu dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam perkara membabitkan soal budaya dan agama ketika interaksi antara peminat dan artis pada masa akan datang.

Penganjur bagimanapun memberi jaminan tidak akan mendedahkan maklumat peminat yang terlibat dan melindungi privasi mereka termasuk aspek fizikal dan psikologi.

"Sebagai syarikat yang sebahagian besarnya diusahakan oleh wanita, kami tidak sekali-kali membenarkan perlakuan cabul atau gangguan seksual seperti yang digembar-gemburkan media," katanya. – 15 Januari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/allah-izinkan-gadis-melayu-dipeluk-artis-k-pop-kata-wanita#sthash.xncSk1nS.dpuf

No comments: