Share |

Saturday 20 September 2014

Siswa dibelasah di penjara

Ali turut menjelaskan bahawa beliau telah diherdik setiap hari oleh pegawai yang tidak mempunyai sebarang pangkat dan pegawai itu telah memaksa tahanan lain untuk memukulnya.

PETALING JAYA: Ahli keluarga aktivis Ali Abd Jalil, Asiah Abd Jalil memaklumkan bahawa sewaktu lawatannya ke Penjara Sungai Buloh, Ali memaklumkan bahawa beliau telah dipukul oleh salah seorang anggota polis yang bernama ASP Zamri.

Bukan itu sahaja, Ali turut menjelaskan bahawa beliau telah diherdik setiap hari oleh pegawai yang tidak mempunyai sebarang pangkat dan pegawai itu telah memaksa tahanan lain untuk memukul Ali.

Kenyataan itu telah dikeluarkan oleh ahli keluarga Ali di dalam Facebooknya. Status yang dikeluarkan tersebut menyatakan “Lawatan peguam ke Penjara Sungai Buloh. Kali pertama kami dapat access kepada Ali Abd Jalil setelah DUA BELAS hari ditahan.”

“Ali memaklumkan, BELIAU DIPUKUL oleh ASP ZAMRI dan diherdik setiap hari oleh pegawai tidak berpangkat bernama NAZA. NAZA juga mengugut untuk memaksa tahanan lain memukul Ali. Kami tidak akan berdiam diri!” tulis Asiah di dalam Facebook.

Sebelum ini, Ali yang baru dilepaskan dengan ikat jamin kerana dituduh menghasut, ditahan semula oleh polis di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghina Sultan Selangor.

Ali ditahan berikutan tulisan di laman Facebooknya yang didakwa menghina Sultan Selangor berikutan kemelut di negeri itu.

Siswa institut pengajian tinggi swasta itu didakwa melakukan kesalahan menerbitkan penerbitan yang menghasut dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Ia merupakan kali kedua Ali didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 yang sebelum ini dikenakan terhadap ahli politik Pakatan Rakyat (PR), ahli akademik dan wartawan.

Kali pertama, Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menghasut melalui laman Facebook pada Januari tahun ini.

Hakim Ahmad Fairuz Mohd Fuzi menetapkan 10 Oktober ini untuk tarikh bicara dan Ali dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

No comments: