Akta Hasutan yang diguna pakai sejak 1948 itu sebenarnya bukan untuk melindungi kaum Melayu namun ia bagi keselamatan kaum Cina dan India, kata badan bukan kerajaan (NGO) Perkasa.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, pandangan yang mendakwa akta itu digubal untuk kepentingan kaum Melayu adalah salah sama sekali kerana golongan itu adalah majoriti.
"Sebenarnya Akta Hasutan ini demi melindungi kaum Cina dan India, tak lindungi kaum Melayu.
"Kaum Melayu adalah majoriti. Sekiranya berlaku konflik, ia tidak menjejaskan Melayu tetapi kepada kaum bukan majoriti," katanya pada forum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, Ibrahim juga mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memansuhkan ISA.
Katanya ISA dapat dikekalkan sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya ke-12 (PRU12) hingga gagal mengekalkan kuasa majoriti di Parlimen.
Ibrahim juga berkata, keputusan Najib untuk memansuhkan akta tersebut bagi membuktikan beliau cuba menjadi seorang demokrat dalam menjaga keamanan negara.
Katanya, Najib perlu mengambil contoh seperti negara Singapura dan Amerika Syarikat yang mengamalkan undang-undang hampir sama bagi mengekalkan kemanan.
"Presiden Singapura Lee Kuan Yew pun sehingga kini mengekalkan ISA. Bila ditanya adakah Singapura akan mengikuti jejak Malaysia, beliau tetap akan menggunapakai akta tersebut," katanya.
Pendakwaan besar-besaran mengikut Akta Hasutan menyaksikan bantahan hebat daripada pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi.
Najib pertama kali berkata akan memansuhkan Akta Hasutan pada 2012 dan mengulangi semula pendiriannya pada 2013 sebagai langkah tranformasi.
Akta tersebut bakal diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.
Bagaimanapun keputusan memansuhkannya mendapat tentangan daripada ahli Umno sendiri yang mahu mengekalkan akta tersebut. – 20 September, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akta-hasutan-perlu-untuk-lindungi-keselamatan-cina-dan-india-kata-ibrahim-a#sthash.9ZEezU6l.dpuf
No comments:
Post a Comment