Share |

Sunday 10 August 2014

Khalid akan mengadap Sultan

Saya menerima keputusan parti untuk membatalkan keahlian saya walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memaklumkan kepada baginda mengenai perkembangan terbaru terhadap dirinya serta mendapatkan nasihat dari baginda.

Menurutnya, hingga isu ini selesai mengikut prosedur yang betul berpandukan peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, beliau akan meneruskan memberi khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuannya.

“Saya menerima keputusan parti untuk membatalkan keahlian saya walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Khalid juga memaklumkan bahawa di dalam surat jawapannya kepada Lembaga Disiplin beliau telah menyatakan bahawa sesungguhnya beliau keliru dengan butir-butir pertuduhan yang mahu dikenakan terhadapnya.

Malah, Pengerusi Lembaga Disiplin gagal menyatakan secara khusus peruntukan mana di dalam Perlembagaan parti yang telah beliau cabuli.

“Saya juga ingin menyatakan walaupun saya telah memohon penangguhan sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin dengan mencadangkan tarikh 15 Ogos 2014 sebagai tarikh yang sesuai tetapi tiada jawapan balas diberikan.

“Sebaliknya, Lembaga Disiplin tetap meneruskan sesi pendengaran tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan dari pihak saya. Saya tidak diberi peluang atau proses yang adil untuk menjawab semua tuduhan terhadap saya mengikut tatacara yang teratur dan betul. Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti,” ujarnya.

No comments: