Share |

Friday 25 July 2014

Perkasa Selangor lancar tabung bantuan Kiki

Kami membantu Kiki kerana dia berani mengaku kesalahannya dan dengan rela hati memohon maaf secara terbuka tanpa paksaan.

PETALING JAYA: Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata tabung bantuan Siti Fairrah Ashyikin dilancarkan bagi membantu wanita ini kerana beliau seorang yang unik.

Melihat kepada kes Ashyikin atau dikenali dengan panggilan Kiki, membuat Perkasa Selangor terpanggil untuk membantunya.

“Kami membantu Kiki kerana dia berani mengaku kesalahannya dan dengan rela hati memohon maaf secara terbuka tanpa paksaan.

“Kiki juga dilihat sebagai bijak kerana menerima hukuman daripada pihak polis dan memberi kerjasama yang baik sepanjang kes tersebut,” katanya ketika dihubungi FMT.

Tambahnya lagi, beliau tidak mahu mempertikaikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan denda RM5,000 dan hukuman melakukan khidmat sosial selama 240 jam dalam tempoh tiga bulan kerana mengetuk sebuah kereta yang menggesel dengan keretanya menggunakan pengunci stereng.

“Pendapat saya, Kiki mempunyai sebab tersendiri kerana tidak akan ada orang yang marah tanpa sebab dan tidak mustahil terdapat provokasi sebelum Kiki bertindak sebengis itu.

“Jika kita lihat video itu juga, ia tidak menunjukkan rakaman penuh kejadian kerana tidak dirakam dari awal,” jelasnya.

Katanya lagi, Kiki juga menunjukkan sikap yang terpuji kerana memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis dan dapat mengelakkan dari berlakunya perselisihan kaum.

Beliau juga menegaskan Perkasa Selangor akan membantu pihak lain sekirannya terdapat kes yang unik seperti kes Kiki ini.

“Kita membantu selaras dengan prinsip Perkasa untuk membela bangsa Melayu berdasarkan perlembagaan undang-undang negara,” ujarnya.

Apabila diminta untuk mengulas berkenaan kenyataan Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mempersoalkan Kiki dimarahi atas sebab perkauman, beliau menjawab itu hak masing-masing.

“Setiap orang ada pandangan tersendiri dan dia mempunyai hak untuk menyuarakannya.

“Saya merasakan, Zainuddin mungkin tidak dapat mengawal perasaan marahnya apabila melihat kes Kiki itu dan beliau harus berani bertanggungjawab ke atas kenyataan yang ditulis di blognya.”

Sementara itu orang ramai yang berhasrat ingin membantu boleh menghubungi terus Setiausaha Kehormat Perkasa Selangor, Tuan Mohd Idrus Ali Ahmad di talian 01128153249,” ujarnya.

No comments: