Share |

Wednesday, 7 May 2014

‘PAS mahu hudud di Kelantan sahaja’

Oleh kerana PAS terus memimpin di Kelantan, maka PAS memilih Kelantan sahaja

PETALING JAYA: PAS mempertahankan keputusannya untuk terus memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kerana parti itu berterusan memerintah negeri itu.

Menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu menyambut baik reaksi positif semua pihak yang menerima perjuangan mereka ini dan pada masa yang sama, bersedia memberikan penjalasan secara terbuka ataupun tertutup kepada mana-mana pihak yang masih meragui hukum tersebut.

“Marilah kita menjelas dan menyatakan Islam adalah rahmat kepada seluruh manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru semua umat Islam untuk menerima kewajiban melaksanakan syariat tanpa menuding jari dan memperlekehkan mana-mana pihak.

Tambah Abdul Hadi lagi, terdapat sesetengah pihak enggan memahami kesempurnaan Islam dan hukumnya itu yang tidak menghalang kemampuan akal dan membelakangi hak asasi manusia.

“Ada yang lebih bersimpati terhadap penjenayah, tanpa peduli terhadap mangsanya. Atau lebih melihat hak asasi binatang lebih daripada hak asasi manusia yang sebenarnya.

“Sebenarnya kita wajib mengambil hikmah dari para perunding kemerdekaan negara yang mewujudkan Perlembagaan yang memberi ruang adanya hak hukum syariat dan undang-undang jenayahnya, sehingga menolak dakwaan halangan perlembagaan terhadap wujudnya berbagai-bagai undang–undang dalam masyarakat majmuk,” katanya lagi.

Bagi mengutarakan kebimbangan orang bukan Islam terhadap pelaksanaan hukum tersebut, Abdul Hadi memetik ayat Surah Al-Maaidah ayat 42 yang bermaksud “Oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil,”

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menegaskan hudud bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat.

“Wajib difahami, bahawa undang-undang jenayah Islam lebih bersifat mendidik daripada menghukum, kerana adanya syarat-syarat yang sangat menyusahkan bagi menjatuhkan hukuman Qisas dan Hudud yang dinaskan dan lebih banyak ruang kepada hukuman Takzir yang lebih ringan dan dengan mendidik.

“Dalam masa yang sama hakim diminta mencari jalan untuk membebaskan, sama ada daripada kefahamannya sendiri atau bantuan para peguam, dengan meneliti segala keterangan saksi dan lain-lain,” katanya lagi.

Kerajaan Kelantan pada 2 April lalu mengambil keputusan untuk membawa usul persendirian ke parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang dilulus sejak 1993 dapat dilaksanakan.

Permainan politik

Sementara itu Bernama melaporkan dari Johor Baharu, Pakatan Rakyat (PR) sedang menuju kehancuran sebagaimana Barisan Alternatif (BA) tidak lama dahulu berikutan kedegilan PAS untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan, menurut seorang bekas pemimpin DAP Johor.

Norman Fernandez , bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor berkata kedegilan PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak lebih hanyalah satu permainan politik untuk menarik kembali sokongan masyarakat Melayu.

“Apa yang dikhuatiri ketika ini adalah Pakatan Rakyat adalah seperti sedang “retak menanti belah” disebabkan kedegilan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

“Jika ia berlaku (perpecahan), ia akan mengulangi perpecahan yang berlaku pada Barisan Alternatif pada 2004 yang berpunca apabila PAS mahu mewujudkan Negara Islam di Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Norman yang merupakan seorang peguam berkata, PAS terpaksa menimbulkan isu hukum hudud ketika ini kerana parti itu ketandusan idea tentang cara paling berkesan untuk menarik sokongan masyarakat Melayu.

Umno, menurutnya lebih berjaya berbanding PAS dalam menarik sokongan dan membela nasib masyarakat Melayu.

“PAS sebenarnya ketandusan idea untuk menarik sokongan orang Melayu. Ia tidak ada idea tentang cara untuk membangunkan Kelantan dan kini terpaksa bergantung kepada isu hukum hudud,” kata Norman.

Beliau menjangkakan PAS akan kehilangan sokongan masyarakat Cina yang banyak membantu calon-calonnya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas, jika ia meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud.

Oleh itu, katanya PAS sepatutnya mengugurkan hasratnya untuk memperkenalkan hukum hudud di negara ini sebagaimana dilakukan oleh DAP yang mengugurkan konsep “Malaysian Malaysia” selepas menyertai PR.

No comments: