(Harakah) – PAS mencabar MCA agar bertindak keluar daripada BN ekoran penentangan berterusan parti itu terhadap penerimaan positif Umno dalam isu hudud.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno secara jelas menyatakan persetujuan dan mahu bekerjasama dengan PAS ke arah perlaksanaan hukum Islam itu.
“Kalau MCA tidak bersetuju dengan Umno, mungkin MCA bertindak keluar daripada BN.
“Sekarang ini kita tengok macam mana respons dia,” katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut hari ini.
Terdahulu beliau turut menghadiri pertemuan dengan wakil Kerajaan Kelantan bersama PKR dan DAP berhubung isu itu.
“Hasil perbincangan hari ini kita membuat kesimpulan bahawa perlu banyakkan penjelasan berkenaan hudud ini.
“Buat masa ini untuk menerima atau tidak terpulang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bagi kita pada waktu ini adalah memberi penjelasan sebaik mungkin,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan pusat sedia membantu Kelantan dalam usaha melaksanakan undang-undang Islam itu.
Terbaru semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan satu jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan dibentuk sebelum PAS membentang usul pelaksanaan hukum hudud di Perlimen nanti.
Muhyiddin berkata ini penting bagi membolehkan isu berkenaan dibincang terlebih dahulu dengan membabitkan banyak pihak yang pakar mengenainya.
Bagaimanapun hari ini, MCA yang juga sekutu Umno melalui sayap pemudanya mengugut akan membina benteng manusia di bangunan parlimen bagi menghalang ahli parlimen PAS masuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian (private bill) berkaitan undang-undang jenayah syariah.
Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata, parti itu akan mencuba sedaya mungkin untuk menghalang PAS daripada membentangkan RUU itu atas dasar “untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan”.
Chong mendakwa, rang undang-undang itu perlu dihalang sebelum terlambat kerana ia kononnya memberi kesan yang amat besar kepada rakyat bukan Islam di negara ini.
No comments:
Post a Comment