Share |

Tuesday 11 March 2014

ISMA dakwa Anwar mahu hidupkan reformasi kedua

Seluruh perhatian rakyat dialihkan kepada kezaliman pemerintah yang kononnya mahu menyekat Anwar daripada menjadi MB Selangor.

Isma president Abdullah Zaik Abdul RahmanBANGI: Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang yang bakal berlangsung pada bulan ini merupakan konspirasi ciptaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menutup kesalahan liwatnya dan mengalih perhatian rakyat untuk kembali turun ke jalan raya bagi menghidupkan gelombang Reformasi Ke-2.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, sejak awal lagi pihaknya tidak bersetuju dengan peletakan jawatan bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh tanpa alasan yang munasabah.

“Anwar tahu perjalanan perbicaraan kes liwat sejak awal-awal lagi lalu beliau mereka cipta PRK Kajang dengan alasan yang tidak munasabah.

“Kini apabila beliau didapati bersalah, seluruh perhatian rakyat dialihkan kepada kezaliman pemerintah yang kononnya mahu menyekat beliau daripada menjadi MB selangor,” katanya kepada wartawan ISMAweb.

Jumaat lalu tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Seri Anwar bersalah atas tuduhan meliwat dan dijatuhi hukuman penjara 5 tahun serta diperintah membayar wang jaminan sebanyak RM10 ribu.

Sementara itu, Ustaz Abdullah mempertikai kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa mahkamah tidak berlaku adil ke atas Anwar.

“Bila Anwar kalah, mahkamah dituduh zalim dan tidak adil. Mengapa semasa Anwar menang pada 2011 dahulu mahkamah tidak dituduh zalim juga? Tidak logik,” ujar beliau.

Tambahnya, jalan cerita ‘langkah Kajang’ yang bakal membawa Anwar ke Putrajaya menjadi sempurna apabila keputusan mahkamah dikaitkan dengan persepsi bahawa ia merupakan konspirasi Umno.

“Dengan itu keputusan mahkamah dituduh sebagai konspirasi Umno untuk sekali lagi memberi imej bersih kepada Anwar dan sekali lagi mengeksploitasi isu beliau ke jalan raya.

“Demikian sempurna jalan cerita bagaimana ‘langkah Kajang’ boleh membawa Anwar ke Putrajaya,” katanya lagi.

No comments: