Sinar Harian
by SYAHREDZAN JOHAN
by SYAHREDZAN JOHAN
Baru-baru
ini, negara dikejutkan dengan berita tentang pasangan warga Malaysia
yang ditahan di Sweden. Mereka ditangkap kerana isu pukul anak bagi
mendidik anak tersebut untuk bersolat. Anak-anak mereka, empat orang
kesemuanya, ditempatkan di sebuah rumah jagaan sementara.
Penulis
tidak arif tentang undang-undang Sweden. Apa yang penulis tahu
datangnya daripada laporan yang disiarkan dan sedikit kajian melalui
internet. Menurut maklumat, Sweden telah lama mengharamkan sebarang
jenis hukuman fizikal ke atas kanak-kanak dan pasangan tersebut
ditangkap mengikut undang-undang Sweden tentang perkara itu.
Setiap
negara berdaulat bebas menggubal undang-undang mereka sendiri. Itulah
alasan yang sering kita gunakan untuk menjustifikasikan undang-undang
sedia ada. Mana-mana orang luar juga wajar mengikut undang-undang
tempatan. Ini juga sering digunakan apabila kita mengambil tindakan
terhadap warga asing. Tidak timbul isu bahawa kerana mereka warga
Malaysia, undang-undang Sweden tidak boleh diguna pakai.
Juga
mengikut laporan, semua tindakan pihak berkuasa Sweden sehingga kini
adalah mengikut undang-undang Sweden. Tidak ada dakwaan yang sebaliknya.
Jadi, sekiranya semua tindakan pihak berkuasa adalah mengikut
undang-undang, atas dasar apa boleh penahanan mereka dicabar? Jika
tindakan pihak berkuasa Sweden adalah ‘betul’ di sisi undang-undang, apa
lagi tindakan yang boleh diambil?
Di sini hak asasi manusia memainkan peranan.
Pada
pendapat penulis, isunya bukan kebebasan beragama. Kebebasan beragama
tidak merangkumi kebebasan untuk memukul anak atas sebab ingin mendidik
agama. Juga, sukar untuk berhujah bahawa mana-mana ibu bapa mempunyai
‘hak’ untuk menghukum kanak-kanak secara fizikal. Apatah lagi apabila
dibandingkan dengan hak kanak-kanak itu sendiri untuk dilindungi
daripada tindakan fizikal daripada sesiapa pun.
Tetapi
adalah menjadi hak asasi seorang manusia, tidak kira di mana, untuk
tidak dikenakan tahanan, tangkapan atau pembuangan secara arbitari atau
sewenang-wenangnya. Juga, terdapat hak untuk dianggap tidak bersalah
sehingga dibuktikan kesalahannya di dalam perbicaraan yang terbuka dan
yang mana dia diberi kesempatan untuk membela diri.
Di
Sweden, seseorang yang disyaki melakukan kesalahan boleh ditahan reman.
Menurut laporan, mereka telah ditahan sejak bulan lepas. Mereka akan
dibawa ke mahkamah untuk dilanjutkan reman setiap 14 hari, dan tarikh
penentuan reman seterusnya adalah pada akhir bulan Januari. Berbeza
dengan Malaysia, reman ini boleh dilanjutkan seberapa banyak kali tanpa
ada tempoh maksimum.
Pada
ketika ini, pasangan tersebut tidak dihadapkan ke mahkamah atas apa-apa
tuduhan. Oleh itu, sekiranya mereka terus ditahan dan reman mereka
dilanjutkan, ia seperti menghukum mereka sebelum mereka didakwa,
dibicarakan, diberi peluang membela diri mahupun kesalahan mereka
dibuktikan. Bukankah ini bertentangan dengan hak asasi manusia?
Berbeza
dengan Malaysia, hak asasi manusia boleh diguna pakai sebagai alasan
untuk mencabar sesuatu tindakan secara asasnya mengikut undang-undang.
Ini kerana, hak asasi melangkaui undang-undang tempatan dan tidak boleh
dinafikan, disekat atau dicabul oleh undang-undang tempatan. Kes-kes
dari Sweden juga boleh dibawa ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.
Di
samping itu, keinginan anak-anak pasangan tersebut juga wajar diambil
kira. Sekiranya mereka tidak mahu dijaga oleh penjaga bukan Islam
contohnya, pihak berkuasa Sweden wajar melaksanakan keinginan mereka,
melainkan terdapat sebab-sebab yang perlu dan munasabah demi kepentingan
mereka untuk tidak berbuat demikian.
Ya,
hak asasi manusia, yang begitu dimomokkan oleh sesetengah pihak, yang
dikatakan merupakan konsep Barat yang tidak sesuai atau serasi dengan
kita di Malaysia, bahkan diperangi habis-habisan, hak asasi inilah yang
boleh diguna pakai oleh pasangan tersebut, yang ditahan kerana mendidik
anak mereka tentang kepentingan bersolat.
*Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment