Share |

Tuesday 25 February 2014

PAS perlu tangani isu Melayu dan Felda jika mahu ke Putrajaya

Antara dakyah untuk menakut-nakutkan orang Melayu ialah, jika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, hak orang Melayu akan terhakis.

taufekKUALA PILAH :PAS perlu menangani isu-isu yang melibatkan orang Islam, Melayu dan masyarakat Felda jika PAS mahu ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Bercakap dalam Konvensyen PAS Negeri Sembilan di Hotel Melang Inn, Kuala Pilah kelmarin, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mohd Taufek Abdul Ghani berkata isu-isu yang membelenggu orang Melayu dan masyarakat Felda perlu ditangani dan diurus secara professional dengan memperkasakan Lajnah Penerangan, Jabatan Penyelidikan dan Strategik PAS Negeri Sembilan supaya rakyat khususnya orang Melayu dapat difahamkan dan akhirnya mengundi PAS dan Pakatan Rakyat.

“Walau macam mana sekali pun, PAS harus menembusi kubu kuat Umno di kawasan majoriti Melayu khususnya Felda, kampung tradisi dan kawasan luar bandar jika berhasrat membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan dan seterusnya menuju ke Putrajaya (Kerajaan Pusat).

“Antara dakyah yang paling popular dimainkan oleh Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu ialah, jika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, maka orang Cina akan menjadi Perdana Menteri, seterusnya hak orang Melayu akan terhakis.

“Walaubagaimanapun sokongan rakyat bukan Islam khususnya pengundi Cina juga perlu dikekalkan bahkan harus ditingkatkan melalui penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di peringkat kawasan dan menerusi kerjasama Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PKR dalam program-program yang dianjurkan.

“Berhubung dengan sokongan pengundi India, satu kajian dan tindakan oleh DHPP, Lajnah Perpaduan Nasional, Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya akan kita segera laksanakan,” kata Mohd Taufek.

Sementara itu dalam sessi perbahasan, perwakilan PAS Jelebu, Khairul Azidi meminta PAS Negeri Sembilan melipatgandakan usaha di kawasan Felda kerana sokongan kepada Umno di kawasan Felda sangat kuat.

“Kita buat program penerangan ‘Jelajah Oren’ dan kita mengetengahkan isu-isu peneroka Felda seperti hutang tanam semula peneroka yang sangat tinggi dan beberapa lagi isu membabitkan peneroka termasuk isu saham Koperasi Permodalan Felda.

“Tetapi kita dihalang daripada masuk ke kawasan Felda sehingga ada ahli kita dicederakan dan cermin kenderaan pacuan empat roda kita dipecahkan.

“Oleh itu sesuatu harus dilakukan untuk menarik sokongan peneroka Felda dan Generasi kedua serta ketiga untuk menyokong kita,” katanya.

No comments: