Share |

Thursday, 20 February 2014

Mahathir takut Anwar jadi MB yang cemerlang, kata Manivanan

Beliau menambah ketakutan yang Mahathir sedang lalui bukanlah ketakutan yang biasa-biasa.

PETALING JAYA: Ahli parlimen Kapar, G. Manivanan bertanya siapa yang sebenarnya takut dengan Langkah Kajang, adakah Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Langkah Kajang yang dicanang-canang sebagai langkah sumbang Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) nyata hanyalah omongan yang sebenarnya mengoncangkan parti yang memerintah itu.

Menurut beliau, bekas orang ‘nombor satu’ Umno itu menggambarkan ‘ketakutan’ beliau sekiranya Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor kerana ini akan menyerlahkan kewibawaan dan kepintaran bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Mahathir yang menunjangi kerajaaan ketika zaman ledakan reformasi, menyedari kekuatan dan keupayaan yang dimiliki oleh Anwar Ibrahim yang boleh mematahkan plot politik Umno dan mereka hilang punca dengan strategi terkini politik yang bakal menjadi batu asas kepada kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Katanya lagi, strategi politik Anwar Ibrahim ini akan kembali membuka ruang kepada rakyat terutamanya generasi muda untuk mengenali sosok dan kebolehan serta kemampuan pemimpin ini.

Beliau menambah rekod cemerlang beliau terutamanya ketika mengemudi Kementerian Kewangan daripada 1991-1998, yang disebut era emas kewangan Malaysia adalah sesuatu yang Mahathir tidak mahu berulang kembali di Selangor, seterusnya menjadi kayu ukur Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pertama dari Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa Mahathir takut provokasi-provokasi keagamaan dan perkauman yang sengaja diwujudkan oleh Umno kebelakangan ini akan tenggelam dan terpadam dengan penghargaan dan kefahaman rakyat tentang demokrasi yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim.

Katanya, ditakdirkan Anwar Ibrahim menang di Kajang, dan seterusnya menjawat kerusi Menteri Besar Selangor seperti yang diramalkan oleh Mahathir, maka segala rancangan sulit Umno untuk merampas Selangor Darul Ehsan melalui pintu belakang akan menemui jalan buntu.

“Dalam memperkatakan perkara-perkara buruk berkaitan Fitnah Liwat II dan sebagainya , Mahathir adalah individu yang sebenarnya cukup mengetahui bahawa Anwar Ibrahim pasti akan menang di DUN Kajang dan seterusnya mendaki hierarki politik sekali lagi,” ujarnya.

G. Manivanan berkata kenyataan Mahathir bahawa calon-calon lain akan hilang deposit, jelas menggambarkan Mahathir mengakui Anwar Ibrahim telah cukup bersedia sebelum turun bertanding di Kajang.

“Mahathir secara terbuka juga menegaskan bahawa BN harus bertanding di DUN Kajang, tanpa mengira komponen mana yang menghantar calon. Tindak tanduk Mahathir ini sebagai satu respon ketakutan yang luar biasa dan jelas memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN yang mungkin berkira-kira untuk tidak menghantar calon seperti pengamatan beberapa analisis politik tempatan,”dakwa beliau.

Beliau menambah ketakutan yang Mahathir sedang lalui bukanlah ketakutan yang biasa-biasa.

“Beliau mempunyai asas yang kuat untuk menjadi gentar dan takut serta telah memulakan gendang perang untuk menghalang kemaraan Anwar,” katanya lagi.

No comments: