Share |

Friday, 31 January 2014

Selesai segera isu kaum dan agama

Pelbagai pihak kini sedang memerhatikan dengan cemas segala perkembangan yang berlaku di tanah air, yang dilihat sangat membimbangkan.

Ini akibat segala isu yang berbangkit menuju ke arah maraknya api perkauman dan pertentangan agama sedang dibakar oleh pihak tertentu yang mempunyai pelbagai kepentingan dan keadaan ini sangat mencemaskan.

Isu berbangkit yang mana tidak diheret ke lembah perkauman dan pandangan agama sempit? Isu kangkung turun harga, isu kalimah Allah, GST dan keputusan PRU13 lalu di mana ada pemimpin negara menganggap sebagai 'tsunami Cina' berikutan kebanyakan pengundi bandar, khususnya pengundi Cina, menolak calon Barisan Nasional. Semuanya diheret menjadi isu perkauman.

Kini selepas lebih enam bulan PRU13, isu perkauman masih dimainkan dalam pelbagai variasi dan bentuk. Semuanya ini sangat membimbangkan.

Sehubungan itu, NGO Islam mengalu-alukan usaha Pakatan Rakyat untuk duduk bersama Umno/BN bagi membincangkan isu perkauman dengan segera bagi mencari formula terbaik demi memelihara kesejahteraan rakyat negara ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan, berkata saranan Pakatan Rakyat itu wajar disambut oleh BN sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu menjaga kesejahteraan rakyat negara ini.

Katanya, Umno terutamanya wajar menerima cadangan itu kerana sering dilihat membakar api perkauman, jika benar-benar memikirkan kesejahteraan negara.

Beliau berkata, emosi rakyat sedang dibakar dengan api perkauman, maka sebelum ia menjadi tidak terkawal wajar pihak yang terlibat terutama pemimpin parti politik duduk bersama berbincang.

Menurut Abim, cadangan Pakatan Rakyat itu adalah satu tindakan yang menunjukkan kematangan berpolitik dan wajar disambut oleh Umno BN.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Zaid Kamaruddin, berkata walaupun saranan ini 'overdue' tetapi ia satu usaha yang bagus kerana memperlihatkan kemuafakatan parti politik demi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Kelmarin, Majlis Pakatan Rakyat sepakat mengajak Umno BN untuk duduk bersama membincangkan isu perkauman yang dilihat semakin dijadikan modal oleh pihak tertentu bagi menimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat.

Keadaan ini berikutan ada pihak cuba menimbulkan provokasi seperti menimbulkan ancaman berulang peristiwa 13 Mei setelah tidak berpuas hati apabila rakyat mengadakan demonstrasi 'kangkung' sebagai bantahan terhadap kenaikan harga barang di Pulau Pinang. PAS berpendapat masalah perkauman ini mesti diselesaikan segera.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata demonstrasi 'kangkung' itu tiada kaitan dengan isu perkauman sebaliknya adalah isu ekonomi iaitu kenaikan harga barang yang membuatkan rakyat semakin terhimpit.

Sementara itu, jika kita melihat kepada sejarah Melayu itu sendiri, menunjukkan bahawa sejak zaman penjajah lagi, pertentangan bukan saja berlaku di antara Melayu dan bukan Melayu disebabkan hasutan penjajah, tetapi antara sesama Melayu.

Sejarah Melayu memaparkan bahawa 'peperangan' banyak berlaku di antara penduduk daerah di Semenanjung untuk merebut hasil cukai dan lain-lain. Penguasa daerah di zaman itu sanggup mengerakkan para 'panglima'nya menyerang daerah sempadan untuk menguasai hasil.

Oleh itu, tidak hairan jika elemen mempertahankan kaum berlanjutan hingga kini dan kita wajar memahami sejarah Melayu - perwatakan Melayu dengan mengelus kata-kata Hang Tuah 'Takkan Melayu hilang di dunia', sebuah kata-kata yang entah benar, entah tidak disebutkan. Namun, kata-kata ini menjadi sesuatu yang sangat menghibur dan menyenangkan hati orang Melayu.

Persoalannya di sini ialah apakah orang Melayu, walaupun menjadi kaum majoriti di negara ini mampu menghadapi pelbagai cabaran yang ada sekarang untuk bersaing dengan bangsa lain di negara ini dalam pelbagai bidang kehidupan.

Adakah orang Melayu mampu menghadapi cabaran dengan hanya mengelus emosi, nostalgia masa lampau dan menjeritkan suara perkauman tanpa melakukan persiapan untuk bersaing, terutama di segi pendidikan, ekonomi dan politik moden.

Itulah sebabnya adalah tidak wajar kita bermain atau melayani semangat perkauman untuk memastikan kelansungan hidup bangsa Melayu, tanpa berusaha memperkukuh kedudukan orang Melayu di segi yang saya sebutkan itu.

Sehubungan itu, menjadi kebimbangan banyak pihak jika isu perkauman terus dijeritkan, ia akan mengundang bahaya besar kepada negara, kerana kesannya akan menimpa seluruh kaum di negara ini. Islam sendiri dengan tegas menentang sebarang bentuk perkauman, malah Nabi Muhammad sendiri menegaskan bahawa Baginda tidak mengakui umat mereka yang meneriakkan perkauman.

Oleh itu, sangat wajar pelbagai pihak berusaha mengurangkan ketegangan kaum ini dengan mengadakan rundingan dan apa-apa bentuk wacanapun untuk mengatasi krisis yang berat ini.

Saya kira, pimpinan Pakatan Rakyat mengambil sikap yang jujur, ikhlas dan tepat pada masanya, dengan mengajak semua pihak, khususnya antara Pakatan dan Barisan Nasional untuk berbincang mengendurkan ketegangan ini.

Tidak ada siapa atau pihak yang untung dengan mengapi-apikan semangat perkauman kecuali samseng dan petualang politik yang tidak bertanggungjawab, kerana mereka tidak mengambil kira bahaya perkauman itu sendiri.

Pemimpin politik berjiwa besar, yang tidak hanya memikirkan kemenangan pilihan raya partinya saja, tetapi keselamatan negara dan rakyatnya, akan tampil untuk bersama-sama menyelesaikan masalah perkauman ini.

Saya fikir akan ramai lagi NGO dan rakyat prihatin yang akan tampil menyokong usaha mengadakan rundingan menyelesaikan persoalan ini dan nampaknya pemimpin PAS dengan fikiran terbuka sudah sangat bersedia menyokong sebarang usaha ke arah terebut.

Jangan dibiarkan negara ini 'hangus' dibakar oleh api perkauman dan pertentangan agama kerana ia suatu kejahatan. – 30 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: