Share |

Tuesday, 28 January 2014

Kisah Datuk Seri Guruji

(FMT) Selain daripada watak Datuk Guluji, nampaknya ada individu lain yang seolah-olah menggunakan modus operandi sama.
COMMENT

Salah satu isu hangat dalam kalangan kaum India sejak sekitar sedekad lalu adalah mengenai ajaran sesat yang disebarkan secara amat terancang dan amat licik oleh individu yang dipercayai menggunakan ilmu pukau.

Saya menulis makalah bertajuk “Kisah Datuk Guluji” (FMT, 2 Disember 2013) dan “Lagi kisah Datuk Guluji” (FMT, 25 Januari 2014) berdasarkan maklumat yang disampaikan sejumlah individu yang pernah menjadi mangsa seorang penipu yang bertopengkan “guruji” iaitu guru agama Hindu.

Susulan daripada itu, surat pembaca turut disiarkan di FMT pada 6, 7, 10 dan 26 Disember 2013. Ramai juga yang menghubungi saya secara peribadi untuk berkongsi pengalaman sedih menjadi mangsa beberapa orang guruji.

Ternyata “Datuk Guluji” yang didedahkan menerusi makalah saya bukan satu-satunya individu yang menggunakan agama sebagai senjata dan alat untuk menipu orang dan mengaut keuntungan.

Pendedahan besar-besaran mengenai seorang individu bernama Balakrishnan Vellasamy atau “Datuk Seri Guruji” dilakukan secara amat berani oleh akhbar Tamil Malar pada pertengahan Disember 2013.

Susulan daripada pendedahan berani itu, pejabat akhbar berkenaan dilaporkan diserang sekumpulan penyokong tegar Balakrishnan. Saya kurang berpeluang mengikuti kisah itu kerana berada di Hat Yai, Thailand bersama-sama Kughan Nadarajah bagi “Kunjungan Kebudayaan Kavyan” (17-20 Disember 2013).

Makalah bertajuk “Kisah mangsa ‘guruji’ dibukukan” (FMT, 28 Disember 2013) pula ditulis berdasarkan pelbagai maklumat tambahan yang diterima serta pengalaman membaca buku yang ditulis seorang bekas mangsa seorang guruji.

Salah satu persoalan yang timbul adalah mengapa Malaysia Hindu Sangam (MHS) tidak kelihatan mengambil sebarang tindakan tegas membendung pelbagai ajaran sesat yang disebarkan beberapa individu dengan memanipulasi nama agama (istilah dalam konteks Bahasa Sanskrit, bukan Bahasa Malaysia).

Sehingga kini, saya masih menerima pelbagai aduan dan maklumat daripada orang ramai berhubung isu ajaran sesat ini. Ramai juga yang mempersoalkan kredibiliti MHS sedangkan ia badan tertinggi dalam soal agama Hindu di negara ini.

Maka, apabila berpelung bertemu bekas presiden MHS, Datuk A Vaithilingam di kediaman beliau di Petaling Jaya, baru-baru ini, saya tidak melepaskan peluang meminta pandangan beliau berhubung isu hangat ini.

Perbualan kami menggunakan Bahasa Tamil dan berikut adalah transkrip yang saya tulis berdasarkan rakaman sebahagian perbualan itu. Sekiranya timbul sebarang kekeliruan, harap maklum bahawa terjemahan saya mungkin sahaja tidak seratus peratus menggambarkan kata-kata sebenar dalam bahasa asal.

Uthaya: MHS sekarang dilihat diam dalam isu penyebaran ajaran sesat oleh pelbagai guruji yang muncul bagaikan cendawan selepas hujan. Apakah semasa Datuk menjadi presiden MHS (Oktober 1996 – Ogos 2009) pernah timbul isu seperti ini?

Vaithilingam: Saya antara individu yang paling awal mengeluarkan kenyataan menentang ajaran yang disebarkan itu.

Sebenarnya, pada sekitar tahun 1997, seorang individu dari Johor datang bertemu saya selaku presiden MHS dan mengadu telah menyerahkan wang sehingga RM3,000 kepada Balakrishnan.

Mangsa itu mengatakan bahawa apa-apa yang dijanjikan oleh Balakrishnan tidak menjadi kenyataan dan dia mahu wang dikembalikan. Guruji itu tidak mahu memulangkan wang dan mangsa membawa kes ke mahkamah.

Ini adalah kisah lama; sebelum Balakrishnan menjadi “Datuk Seri Guruji” yang kaya-raya dan berpengaruh besar seperti sekarang. Pada masa itu, dia masih menunggang basikal dari tempat ke tempat untuk menyebarkan ajarannya di Johor.

Sekitar dua tahun kemudian, saya mendapat tahu bahawa Balakrishnan telah menghubungi mangsa tadi dan merayu kes ditarik balik. Wang RM3,000 dipulangkan dan kes ditutup begitu sahaja.

Saya lalu membiarkan sahaja kes itu kerana dianggap sudah selesai. Akan tetapi, pada sekitar tahun 2002, aduan kembali diterima oleh MHS daripada beberapa orang.

Mangsa membuat laporan kepada kami bahawa mereka perlu membayar RM730 untuk menyertai suatu kursus motivasi keagamaan anjuran guruji itu.

Hasil maklumat yang diterima, kursus besar-besaran nampaknya diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dan agen-agen kepada Balakrishnan membawa peserta dari seluruh negara.

Apakah tindakan Datuk dan MHS apabila menerima laporan pada kali ini?


Sebagai individu yang memegang jawatan presiden MHS (1996-2009), saya mengadakan sesi perbincangan khas dengan pakar-pakar dari majlis penasihat kami.

Perbincangan khas juga diadakan di Dewan Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur bagi membuka ruang kepada masyarakat berkongsi maklumat, mengemukakan kemusykilan dan mendapatkan penjelasan.

Balakrishnan pula menghantar sekitar 200 ahli kumpulannya ke majlis itu sebagai peserta. MHS menerima kehadiran mereka dengan tangan terbuka. Kami tidak sangka mereka akan menimbulkan kekecohan.

Sebelum sesi pertemuan, saya ada mengeluarkan kenyataan media menyelar tindakan Balakrishnan mengenakan bayaran RM730 kepada para pengikut. Pada pendirian saya, seorang swami, mahaguru, sittar atau guruji tidak akan menetapkan bayaran seperti itu.

Hasil siasatan dan maklumat yang diterima, Balakrishnan mengendalikan sesi ceramah motivasi selama sehari dengan menggunakan khidmat sekumpulan penceramah dan pakar motivasi.

Balakrishnan sendiri hanya muncul sekitar 15 minit dengan memakai kot dan tali leher. Guruji itu akan membaca mantera tertentu dan para hadirin dilaporkan bagaikan dipukau.

Selepas sesi khas 15 minit itu, Balakrishnan akan berangkat pergi. Baki sesi dikendalikan orang lain. Maka timbul persoalan di mana orang ramai tertanya-tanya apakah itu cara sebenar seorang guruji menyampaikan ilmu kepada para pengikutnya.

Maklumat yang diterima daripada sumber tertentu mendedahkan bahawa Balakrishnan pernah pergi ke Indonesia dan mempelajari ilmu pukau yang sangat berkesan. Tentu sahaja perbuatan seperti ini – jika benar – adalah bertentangan dengan ajaran Hindu.

Khabarnya sebagaimana dalam kes Datuk Guluji, peserta kursus Datuk Seri Guruji juga dikenakan bayaran tanpa resit. Apa komen Datuk?

Satu lagi kelemahan dan masalah etika yang dilihat secara nyata pada Balakrishnan adalah bahawa peserta dan pengikut yang membayar RM730 seorang tidak diberikan apa-apa resit atau pengesahan penerimaan bayaran.

Hasil siasatan juga mendapati bahawa syarikat Rajayoga Power Transcendental (RPT) yang digunakan untuk menjalankan kegiatan itu adalah milik Balakrishnan dan isterinya. Ia sebuah perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Anehnya, tiada resit dikeluarkan bagi bayaran yang diterima oleh syarikat perniagaan itu daripada “pelanggan”. Bayangkan bahawa setiap sesi dihadiri seribu orang. Jumlah wang tunai terkumpul dalam satu sesi adalah RM730,000 tanpa sebarang resit dan bukti bayaran diterima.

Katakanlah kos bersih mengendalikan keseluruhan sesi itu di PWTC adalah RM230,000. Maknanya, Balakrishnan mendapat keuntungan bersih tanpa resit dan tanpa dikenakan cukai sekitar RM500,000 bagi setiap sesi yang dikendalikan!

Pada masa sekarang, dia bukan sahaja mengendalikan sesi yang sama seperti itu di beberapa tempat di Malaysia, tetapi juga di Tamil Nadu, India. Khabarnya sudah ada pejabat di London dan Australia. Apa yang pasti, Balakrishnan yang dahulu menunggang basikal kini sudah menjadi jutawan melalui cara ini.

Berbalik kepada sesi taklimat di Dewan Soma, Datuk ada menyebut tentang kekecohan. …

Semasa sesi penerangan di Dewan Soma pada sekitar tahun 2002, lebih kurang 200 pengikut tegar Balakrishnan memang membuat kecoh dan marah-marah. Saya secara tegas mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Balakrishnan adalah seratus peratus penipuan terancang.

Setiausaha MHS pada waktu itu juga menjawab pelbagai pertanyaan dengan berani berdasarkan fakta. Pengikut Balakrishnan yang hadir pada sesi itu nyaris-nyaris mahu memukulnya kerana tidak sanggup guruji mereka dikritik oleh sesiapa. Mereka seolah-olah dipukau dan tidak mampu berfikir secara rasional.

Pihak MHS dan beberapa orang kuat Balakrishnan berjaya meredakan keadaan. Kalaulah pada hari itu berlaku kekecohan yang tidak dapat dikawal atau jika setiausaha MHS dibelasah pengikut Balakrishnan, tentu kes telah menjadi besar.

Malah, secara retrospektif, kalaulah sesuatu yang di luar kawalan telah berlaku di Dewan Soma pada hari itu (sekitar 2002), tentu tindakan mengikut undang-undang sudah diambil ke atas Balakrishnan sebelum dia sempat menjadi jutawan yang berkuasa dan berpengaruh besar seperti sekarang.

Mungkin sahaja RPT tidak akan ada pada hari ini dan tidak akan ada mangsa yang menderita. Tentu ramai yang telah terselamat sebelum menjadi umpama kambing yang merelakan dirinya dikorbankan.

No comments: