Akhbar Umno, Utusan Malaysia memberitahu rakyat negara ini, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan mengemudi pembangkang ia akan menjadi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah.
Menurut penulis yang menggunakan nama Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini, untuk survival dan demi imej pergerakan pembangkang, penasihat itu patut dipecat segera.
Bagi penulis itu, imej Anwar yang menghadapi isu moral yang amat serius sudah tidak mampu dibaiki lagi walaupun menggunakan lampu ajaib.
"Buatlah 1001 demonstrasi terhebat sekali pun, pembangkang tidak akan ke mana selagi ada kelibat dan bayang Anwar," tulis Awang Selamat.
Anwar mula menjadi ikon utama pembangkang dan kemudiannya Pakatan Rakyat (PR) sejak tahun 1998 apabila beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pilihan raya 2008, buat pertama kalinya pembangkang berjaya menafikan kuasa dua pertiga kerajaan BN di Parlimen dan berjaya menguasai lima negeri di samping Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam pilihan raya 2013 baru-baru ini, PR pimpinan Anwar di samping berjaya lagi menafikan kuasa dua pertiga BN juga berjaya mendapat undi popular rakyat Malaysia.
Namun, melalui sistem yang ada, first past the post, BN kekal sebagai kerajaan walaupun hanya kerajaan minoriti.
Sehari dua ini BN melalui jenteranya termasuk media dan polis sedang berkempen, pembangkang sedang menyusun himpunan untuk menggulingkan kerajaan melalui himpunan 31 Disember ini.
Padahal ia hanya himpunan yang dianjurkan oleh anak-anak muda yang mahu mendesak kerajaan agar menurunkan harga barangan dan perkhidmatan yang bakal naik mendadak mulai 1 Januari 2014 ini.
Antaranya kenaikan tarif elektrik, kadar tol, tambang bas sekolah yang kesemuanya dikawal kerajaan BN. Sebelum ini kerajaan telah menaikkan harga minyak dan bakal mengenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula selepas ini.
"Awang hairan dengan pembangkang. Strategi mereka sangat salah dan bercelaru. Selagi parti-parti pembangkang terbabit dengan demonstrasi haram dan menghasut rakyat merusuh, selagi itu mereka tidak akan mendapat simpati majoriti.
"Nasihat Awang, tanamkanlah keyakinan kepada rakyat terlebih dahulu dengan membawa pendekatan politik yang sihat, disegani dan budiman," tulis Awang Selamat sebagaimana yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.
No comments:
Post a Comment