Share |

Saturday, 14 December 2013

Ekonomi masih dimonopoli bukan Bumiputera, kata Naroden



Daripada 70 peratus (atau 1.96 juta) kaum Bumiputera ini hampir 100,000 orang atau hanya lima peratus sedang melibatkan diri dalam perniagaan secara kecil dan Mikro (PKM)

KUCHING: Kaum Bumiputera masih jauh di belakang dalam bidang ekonomi di negeri ini, dan ia masih dimonopoli oleh kaum bukan Bumiputera.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Haji Mohd Naroden Majais berkata, jika dilihat pecahan penduduk negara ini mengikut kaum daripada 28 juta penduduk, 60 peratus adalah kaum Bumiputera dan 40 peratus kaum bukan Bumiputera, di Sarawak daripada 2.8 juta penduduk, 70 peratus kaum Bumiputera dan 30 peratus bukan Bumiputera.

“Daripada 70 peratus (atau 1.96 juta) kaum Bumiputera ini hampir 100,000 orang atau hanya lima peratus sedang melibatkan diri dalam perniagaan secara kecil dan Mikro (PKM), hanya 45,000 orang (atau 2.3 peratus) sedang giat dalam perniagaan dalam Kategori Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Seminar Mengenai Peluang Bumiputera Dalam Peruntukan Saham Khas MITI dan Analisis Pelaburan Dalam Syarikat Berhad di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Katanya, jika dilihat kaum Bumiputera adalah kaum yang terbesar dan kaum Bumiputera penyumbang kumpulan ‘pekerja’ dan kumpulan pasaran terbesar dalam Pembangunan Ekonomi Negeri.

“Oleh itu, program-program memperkasa kaum Bumiputera ini harus kita laksanakan untuk menseimbangkan jurang perbezaan ini dengan tidak menjejaskan keistimewaan kaum-kaum lain,” ujarnya.

Katanya, dengan keseimbangan jurang perbezaan itu nanti kerajaan ingin melihat semua rakyat akan dapat memaanfaatkan kesejahteraan, keharmonian serta kestabilan politik yang sedang dinikmati selama ini dengan lebih bermakna lagi.

“Jadi, untuk mengurangkan ketidak seimbangan antara kaum ini kaum Bumiputera harus lebih agresif dalam merebut segala peluang-peluang yang telah disediakan oleh Kerajaan baik dari segi latihan generik dan latihan kemahiran teknikal, bantuan-bantuan kewangan, promosi, pemasaran dan sebagainya,” jelasnya.

Katanya, semua program itu adalah semata-mata untuk memperkasakan masyarakat perdagangan dan perindustrian Sarawak supaya lebih banyak mencebur diri dalam apa jua jenis perniagaan untuk meningkatkan pendapatan diri dan seterusnya menyumbang kepada Pertumbuhan Ekonomi Negara dan Negeri.

“Adalah menjadi harapan seminar yang penuh keilmuan ini amat penting bukan serta memberi pengetahuan peluang-peluang pelaburan serta saham-saham di bawah peruntukan MITI dan agensi-agensinya,” tambahnya.

Malah, katanya, seminar seperti itu penting bagi menyampaikan hasrat kerajaan untuk mengajak lebih ramai rakyat Sarawak khususnya kaum Bumiputera supaya turut serta menyertai program pelaburan yang dianjurkan kerajaan.

“Kita ingin memastikan lebih ramai kaum Bumiputera memiliki ekuiti dan saham dalam peruntukan yang disediakan oleh kerajaan, ini selaras dengan visi dan misi Perdana Menteri melalui pengumuman beliau dua bulan yang lalu supaya lebih ramai Bumiputera memegang Ekuiti dalam Ekonomi Negara,” katanya.

Menurutnya lagi, masyarakat tidak ada pilihan lain melainkan memperkasakan kaum Bumiputera supaya mereka berupaya melihat segala peluang-peluang yang ada dan seterusnya berjaya mengambil bahagian dalam Pembangunan Ekonomi Negara.

“Dengan ini jurang perbezaan dari segi Pendapatan, Pemilikan Ekuiti dalam Hartanah, Bangunan Perumahan dan Komersial dan seterusnya dalam Pembangunan Ekonomi melalui perniagaan akan dapat dikurangkan,” katanya.

No comments: