Share |

Friday, 29 November 2013

Penduduk Kg Hakka bimbang keselamatan terancam

Kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap pemaju yang mengatakan insiden tembakan itu berkait dengan pihak penduduk yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah
VIDEO INSIDE

PETALING JAYA: Kumpulan penduduk asal Kampung Hakka hari ini membuat aduan polis berhubung kejadian tembakan di hadapan pejabat pemaju Mega 9 Sdn Bhd, 27 Nov lepas.

Pemaju tersebut sebelum ini terlibat dalam satu pertelingkahan dengan penduduk asal Kampung Hakka mengenai status tanah kampung tersebut yang menyaksikan beberapa buah rumah telahpun dirobohkan

Menurut kumpulan tersebut, susulan daripada kejadian tembakan yang berlaku pada awal pagi hari kejadian, Jawatankuasa Tindakan Penduduk Kampung Hakka telah mengadakan satu mesyuarat tergempar dan sebulat suara membuat membuat satu laporan polis.

“Kami bimbang akan keselamatan penduduk ekoran daripada insiden ini dan mahukan keselamatan penduduk kampung Hakka dijamin. Jawatankuasa kami juga telah mengambil keputusan untuk menubuhkan satu pasukan keselamatan untuk mengawal keselamatan penduduk terutamnya pada waktu malam untuk membuat rondaan kerana kami cukup bimbang dengan insiden ini dan amat risau akan keselamatan kami dan keluarga kami,” jelas kumpulan tersebut melalui satu siaran media.

Mereka juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap pemaju seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan yang mengatakan insiden tembakan itu berkait dengan pihak penduduk yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan pampasan yang diberikan oleh pihak pemaju.

“Kami merasakan ini adalah satu tuduhan fitnah dan mesti disiasat oleh pihak polis yang adil. Kami ingin menyatakan bahawa pihak penduduk mempunyai satu ‘Stay Order’ dari Mahkamah Rayuan dimana rumah kami tidak boleh dirobohkan sehingga kes didengar di Mahkamah Rayuan,”

Jelas mereka lagi, wakil penduduk melalui Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan telahpun membuat satu rundingan dengan pemaju pada 24 Nov lepas.

“Hasil perbincangan adalah amat positif dimana pihak pemaju sedia mendengar tuntutan kami dan sedia untuk berbincang untuk mencari satu penyelesian. Oleh yang demikian tindakan penembakan ini seolah olah satu tindakan untuk sabotaj rundingan yang sedang berlaku antara kami dengan pihak pemaju dan tidak masuk akal jika dikaitkan dengan kami.”

Pada masa yang sama, kumpulan tersebut meminta campur tangan dari Bukit Aman untuk menyiasat perkara ini kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai yang didakwa membantu Mega 9 untuk melaksanakan ‘pencerobohan’ di kampung mereka.

“Hanya satu siasatan yang neutral dan professional dari satu pasukan khas dari Bukit Aman dapat menyiasat kes ini secara telus dan tanpa prasangka.”

Disamping itu, mereka turut mendakwa insiden ini sebagai langkah untuk mengurangkan sokongan rakyat kepada mereka dan usaha untuk mengusir penduduk asal keluar dari Kampung Hakka.

No comments: