Kajian Merdeka Center yang menunjukkan populariti Tun Dr Mahathir Mohamad mengatasi pemimpin Umno pada masa ini mengejutkan mantan Perdana Menteri itu.
Pemimpin yang paling lama menerajui negara itu mengucapkan terima kasih kepada badan kajian itu sambil berseloroh mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
"Saya nak jadi PM lagi sekalilah. Terima kasih beritahu hasil kajian itu. Saya tak baca," katanya kepada pemberita di Subang Jaya hari ini.
Apabila diberitahu kajian itu dijalankan oleh Merdeka Center, sambil berseloroh beliau berkata: "Saya yang memberi dana kepada mereka."
The Malaysian Insider hari ini melaporkan kajian Merdeka Center mendapati populariti Dr Mahathir mengatasi pemimpin Umno pada masa kini dengan mendapat undian sebanyak 79 peratus mengalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (69%), Tan Sri Muhyiddin Yassin (54%) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (58%).
Dalam sidang media sama, Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak pernah menyatakan bahawa Syiah harus diperangi tetapi kedatangan ajaran tersebut telah membawa perpecahan kepada umat Islam di Malaysia yang rata-rata berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASJ).
"Syiah tak harus datang ke sini. Fahaman berkenaan telah memecah-belahkan umat Islam dan mengundang permusuhan.
"Pengikut ajaran itu membawa tafsiran agama berlainan sehingga boleh mengundang pembunuhan. Di Malaysia, umat Islam mengamalkan ASJ dan bermazhab Shafie.
"Syiah amalan asing di Malaysia dan boleh mencetus perkelahian," katanya yang sebelum ini pernah memberi kenyataan berbeza.
Media pernah melaporkan Dr Mahathir dan bekas Presiden Iran, Sayyid Muhammad Khatami, dalam kenyataan bersama pada Mei tahun ini memohon pengikut kedua-dua fahaman terbesar Islam menghentikan pertelingkahan dan perbalahan yang telah mengorbankan banyak nyawa.
Dua pemimpin berpengaruh dunia Islam itu merayu umat Islam seluruh dunia tanpa mengira fahaman Sunni atau Syiah supaya segera berdamai dan berhenti berbalah serta berbunuhan sesama sendiri.
Menurut mereka, perbalahan yang berterusan itu telah mencemar maruah dan harga diri umat Islam di mata dunia.
"Kami merayu semua Sunni dan Syiah yang sama-sama beriman kepada Allah, kitab suci al-Quran, Nabi Muhammad SAW dan menghadap kiblat yang sama agar menghentikan pertumpahan darah serta-merta.
"Hentikan keganasan, hentikan pertumpahan darah dan hentikan pembunuhan."
Kenyataan satu muka surat itu dibaca oleh Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr Chandra Muzaffar dalam sidang akhbar Pelancaran Rayuan Bersama kepada Muslim Sunni dan Syiah oleh Dr Mahathir dan Khatami di Yayasan Kepimpinan Perdana di Kuala Lumpur.
Kedua-dua pemimpin itu menandatangani dokumen tersebut yang turut merayu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mewakili semua negara Islam tanpa mengira mazhab atau fahaman menubuhkan satu jawatankuasa.
Menurut Chandra, jawatankuasa itu berperanan untuk meneliti dengan lebih mendalam jurang perbezaan antara kedua-dua fahaman itu. - 1 Oktober, 2013.
No comments:
Post a Comment