Share |

Thursday, 24 October 2013

‘Ketua Pembangkang mesti setaraf dengan menteri’

Layanan kepada institusi Ketua Pembangkang amat ketinggalan berbanding negara lain yang mengamalkan sistem 'Westminister' demokrasi berparlimen yang sama, kata ahli parlimen Pakatan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengiktiraf jawatan Ketua Pembangkang Parlimen dengan menawarkan status bertaraf Menteri Kabinet.

Ahli Parlimen DAP-Taiping Nga Kor Ming berkata, selain pengiktirafan rasmi, jumlah emolumen dan elaun yang dinikmati Menteri Kabinet perlu sama diberikan kepada Ketua Pembangkang.

Sehubungan itu, beliau mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan pengiktirafan itu ketika membentangkan Bajet 2014 pada Jumaat ini.

“Ketua Pembangkang juga perlu diberikan kakitangan pejabat yang cukup bagi membolehkannya menjalan tugas dan memainkan peranan ‘check and balance’ keatas Pusat secara efektif,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, layanan kepada institusi Ketua pembangkang amat ketinggalan berbanding negara lain yang mengamalkan sistem ‘Westminister’ demokrasi berparlimen yang sama.

Bukan saja tiada sebarang peruntukan, Nga berkata pejabat Ketua Pembangkang hanya mempunyai tiga orang pembantu sahaja.

“Ini menyukarkan pembangkang menjalankan pemeriksaan keatas kerajaan khususnya dibandingkan dengan Jabatan Perdana Menteri sahaja yang mempunyai lebih 90,000 orang pekerja dengan jumlah bajet pengurusan melebihi RM4.2 bilion setahun,” katanya.

Di Britain, institusi ketua pembangkang diberi pengiktirafan rasmi, emolumen dan elaun setaraf dengan Menteri, bezanya hanya empat peratus.

Di Australia, selain dari status Menteri dan kakitangan tetap, ketua pembangkangnya diberi peruntukan tahunan serta pasukan petugas seramai 39 orang, begitu juga New Zealand dan Kanada.

Nga menambah, pihaknya menuntut Pusat mengamalkan sistem demokrasi yang adil dengan mencontohi Selangor dan Pulau Pinang.

Di Selangor, Ketua Pembangkang Dewan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) diberi elaun tetap, pemandu, setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan lain-lain elaun berjumlah RM8,620 sebulan.

Manakala di Pulau Pinang, 10 Adun pembangkang daripada Umno diberi peruntukan untuk projek pembangunan kecil sebanyak RM40,000 setahun bermula tahun depan.

No comments: