Anak mendakwa Felda menawarkan jumlah bayaran RM500,000 sekiranya peneroka bersetuju memajak 10 ekar tanah mereka untuk tempoh 30 tahun.
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat pujukan daripada pihak pengurusan Felda agar peneroka memajak tanah milik mereka.
Berdasarkan maklumat, Anak mendakwa Felda menawarkan jumlah bayaran RM500,000 sekiranya peneroka bersetuju memajak 10 ekar tanah mereka untuk tempoh 30 tahun.
Cara pambayarannya adalah RM500,000 itu diberikan mengikut pecahan iaitu RM100,000 dibayar kepada peneroka (dengan bayaran RM5,000 sebulan), RM150,000 dimasukkan ke dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF), manakala selebihnya digunakan untuk pengurusan peneroka sepanjang tempoh 30 tahun.
Menurut Anak, pengurusan Felda sudah memulakan taklimat sejak Raya Aidilfitri Ogos lalu di beberapa kawasan penempatan Felda, antaranya Felda Kemahang, Felda Sungai Tengi dan Felda Teloi Timur dan ada peneroka yang bersetuju dengan tawaran berat sebelah itu.
“Berdasarkan maklumat ini saya bimbang tanah saya akan dilibatkan dengan penggadaian. Saya yakin hasrat utama Felda adalah gadai tanah peneroka kepada pihak bank untuk mendapatkan pinjaman.
“Kalau tanah sendiri telah dipajak dan perjanjian penyelenggaraan juga diserah hak, maka apa gunanya terus memajak tanah peneroka kalau bukan disalah guna.
“Saya bimbang kesan gadaian sekiranya pinjaman dibuat daripada pihak bank dengan disandarkan pajakan peneroka, maka bank boleh melelong tanah peneroka sekiranya Felda gagal membayar balik pinjaman yang dipajak,” kata peneroka Nazara Muda dalam laporan polisnya.
Laporan itu dibuat Nazara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini tengahari tadi, ditemani Presiden Anak Mazlan Aliman, Penasihat Ekonomi Anak Dr Rosli Yaakop dan peguam Haris Abdullah.
Bagaimanapun, keraguan utama timbul apabila wujud sekatan kepentingan dalam surat pajakan tanah yang ditentukan kerajaan negeri selaras dengan Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) di bawah Tanah Rizab Melayu.
Syarat pajakan tanah
Mengikut syarat pajakan tanah kerajaan negeri Pahang, tanah yang dikurniakan tidak boleh dijual, digadai, dipajak, dicagar atau dipindah milik dengan apa cara sekalipun termasuk menggunakan segala surat perjanjian yang bertujuan untuk melepaskan atau menjual tanah tanpa penguasa negeri.
Syarat itu juga menyebut, jika kebenaran diberikan maka penjualan, gadaian, cagaran, pajakan atau pindah milik itu hanya boleh dibuat kepada tidak lebih dua orang sahaja.
Selain itu, tanah yang dikurniakan itu juga tidak boleh dilakukan sama seperti di atas melainkan bersekali dengan hak milik (lot ladang) yang berpegang dengan hak milik lot rumah.
“Namun Felda masih berdegil untuk mendapatkan pajakan tanpa menghiraukan sekatan tersebut.
“Pada hemat saya, sekatan tersebut adalah untuk menjaga kepentingan peneroka tanah agar tidak tergadai,” kata Nazara dalam laporan polis.
Beliau sehubungan itu mendesak pihak berkuasa menyiasat proses pengambilan tanah peneroka.
Katanya, ada satu perancangan daripada Felda yang akan menjejaskan kehidupan peneroka dan bersedia mengemukakan saksi yang hadir taklimat jika diperlukan.
Jelajah ‘Selamatkan Felda 2.0′
Sementara itu, Mazlan ketika ditemui diperkarangan luar IPD berkata, Anak akan mengadakan jelajah ‘Selamatkan Felda 2.0′ memberi penerangan kepada peneroka tentang muslihat di sebalik tawaran tersebut minggu depan yang akan bermula di Jengka, Pahang.
Katanya, peneroka bakal kehilangan tanah sekiranya Felda gagal melunaskan pinjaman pajakan mereka setelah tamat tempoh tersebut sekaligus membuka risiko tanah tersebut dilelong.
Mazlan juga mendesak agar Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan juga Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad memberikan penjelasan mengenai dakwaan tersebut.
No comments:
Post a Comment