Share |

Thursday, 3 January 2013

Kaum Cina hanya berminat dengan jawatan atasan, kata pengerusi SPA

PUTRAJAYA, 2 Jan — Salah satu faktor masyarakat Cina tidak berminat untuk memohon jawatan dalam perkhidmatan awam adalah kerana mereka lebih cenderung memilih jawatan atasan berbanding sektor perkeranian, kata pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Mahmood Adam dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Mahmood membentangkan laporan SPA bagi tahun 2012 merangkumi jumlah permohonan, perlantikkan dan tindakan tatatertib ke atas penjawat awam.

Sepanjang tahun 2012, hanya sebanyak 2,630 orang daripada masyarakat Cina dilantik mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam daripada jumlah keseluruhan 47,335 orang yang dilantik.

“Banyak faktor, sebagai contoh masyarakat Cina mereka lebih berminat dalam kumpulan atasan.

“Jika kita lihat jumlah pemilihan tadi iaitu kumpulan A yang terdiri daripada siswazah universiti, masyarakat Cina lebih fokus kepada bahagian itu kerana mereka mahu perlantikkan dengan cepat,” kata beliau selepas ditanya wartawan.

Walaupun terdapat peningkatan 11 peratus kaum Cina yang dilantik ke perkhidmatan awam jika dibandingkan pada tahun 2011, Mahmood berpendapat ia masih rendah dan pelbagai kempen perlu digiatkan bagi menarik mereka menyertai perkhidmatan awam.

“Sebagai contoh ialah kaum Cina tidak berminat di bahagian perkeranian.

“Jadi kita kena beritahu mereka kerana kerani juga memiliki gaji yang tinggi. Purata gaji kerani adalah antara RM1,700-1,800 yang bagi saya adalah satu angka yang besar,” terang beliau lagi.

Menurut Mahmood lagi, kumpulan Bumiputera masih lagi mencatatkan jumlah tertinggi dilantik mengisi kekosongan jawatan perkhidmatan awam pada tahun lepas dengan sejumlah 33, 427, peningkatan sebanyak 59 peratus (20, 976) daripada jumlah tahun 2011.

Manakala kaum India yang dilantik adalah sebanyak 2, 354 dan lain-lain kaum (Bumiputera Sabah dan Sarawak) sebanyak 8, 924.

Selain itu, SPA juga mencatatkan sebanyak 132 kes tindakan tatatertib manakala 563 kes rayuan tatatertib dicatatkan pada tahun 2012.

Pada Disember lepas, Senator Dr Ariffin SM Omar mengkritik Putrajaya kerana mengambil terlalu ramai Bumiputera berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan mencadangkan supaya bilangan penjawat awam daripada pelbagai kaum ditambah.

Senator DAP tersebut turut memberitahu bahawa sikap kerajaan yang mengawal dan menguasai perkhidmatan awam adalah punca kepada berlakunya banyak rasuah dan penyelewengan dalam sektor perkhidmatan tersebut.

“Yang ditimpa rasuah ialah kerajaan bukan perkhidmatan awam yang terpaksa mengikut arahan kerajaan,” kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa monopoli oleh sesuatu kaum dalam perkhidmatan awam bukan suatu corak pentadbiran yang baik tetapi hanya akan menimbulkan pelbagai permasalahan, di samping menyatakan cadangan lebih banyak pengambilan kaum lain dalam sektor tersebut boleh mengelak daripada gejala rasuah dan salah laku.

No comments: