Share |

Wednesday, 12 December 2012

MIC NS tampil diri mahu selesai isu Gatco

Parti komponen BN ini mahu menyelesaikan krisis hak milik tanah perladangan peneroka Kampung Serampang Indah yang berlanjutan sejak 30 tahun lalu.

SEREMBAN: MIC Negeri Sembilan hari ini mengumumkan bahawa MIC Negeri Sembilan bersedia menampil diri untuk menyelesaikan krisis hak milik tanah perladangan peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) yang berlanjutan sejak 30 tahun lalu.

Dalam kenyataan media eksklusif kepada FMT sebentar tadi, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Dato’ T Rajagopalu berkata seramai 283 peneroka asal Gatco telah ditawarkan empat ekar tanah perladangan. Sementara 115 peneroka peringkat kedua yang membeli tanah perladangan daripada peneroka asal telah ditawarkan dua ekar tanah perladangan.

“Kos penanaman getah semula akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sama ada melalui Risda atau Felcra.

“Kerajaan juga akan menanggung kos mengukur semula tanah perladangan tersebut untuk diagih-agihkan kepada peneroka mengikut kategori peneroka Gatco.

“Selain daripada itu Kerajaan Negeri Sembilan juga telah melanjutkan tempoh pajakan (leasehold) tanah perladangan Gatco yang sepatutnya berakhir pada tahun 2042 ; untuk tempoh 99 tahun lagi.

“Dalam mesyuarat MIC negeri yang diadakan malam tadi yang turut dihadiri oleh wakil peneroka Gatco; kami juga telah memutuskan agar surat tawaran hak milik tanah perladangan Gatco harus diberikan kepada peneroka dengan kadar segera.

“Justeru itu esok, saya dan delegasi MIC Negeri Sembilan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan selepas beliau selesai mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri.

“Saya akan memohon kepada Menteri Besar untuk menyegerakan pemberian surat tawaran hak milik tanah perladangan peneroka Gatco”, kata Rajagopalu.

Boleh miliki 8 ekar tanah

Berhubung isu ada peneroka Gatco yang tetap mahukan lapan ekar tanah perladangan, Rajagopalu berkata MIC Negeri Sembilan akan melantik sebuah syarikat Jurunilai untuk menilai pasaran semasa setiap ekar tanah perladangan tersebut.

“MIC Negeri Sembilan akan menanggung kos perunding Jurunilai untuk mengetahui nilai sebenar setiap ekar seperti yang dituntut oleh sebahagian peneroka tertentu.

“Selepas itu saya akan berunding dengan Syarikat Thamarai Holdings untuk urusan jual beli tanah perladangan tersebut.

“Maka mana-mana peneroka yang ingin memiliki lebih daripada empat ekar tanah perladangan, maka mereka perlu membayar nilai atau harga pasaran semasa tanah di situ untuk empat ekar tanah selebihnya.

“Peneroka yang mampu, boleh membeli enam, tujuh atau lapan ekar tanah perladangan setiap seorang mengikut kemampuan masing-masing,” jelas Rajagopalu.

Penantian 30 tahun berakhir

Sementara itu penantian 19 keluarga di Kampung Keretapi dan 30 keluarga di Kampung Melur; masing-masing di Jempol selama 30 tahun berakhir pagi tadi apabila Rajagopalu dan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ VS Mogan (MIC) menyerahkan Surat Hak Milik (Borang 5A) kepada penduduk tersebut di Dewan Besar Pejabat Daerah Jempol.

“Selepas saya berunding dengan Menteri Besar, seramai 13 keluarga India dan enam keluarga Melayu dari Kampung Keretapi menerima se ekar tanah kediaman setiap seorang.

“Seramai 26 keluarga India dan empat keluarga Melayu dari Kampung Melur juga menerima se ekar tanah kediaman setiap seorang.

“Kerajaan Negeri juga memberikan se ekar tanah lagi untuk pembinaan kuil untuk kemudahan penduduk beragama Hindu dari kedua-dua kampung tersebut.

“Penduduk cuma perlu membayar premium tanah sebanyak RM566.00 setiap tahun dan tempoh pajakan (leasehold) tanah kediaman tersebut adalah 99 tahun”, ujar Rajagopalu lagi.

No comments: