Share |

Monday, 10 December 2012

Ambiga dituduh anarkis

Tuduhan tersebut dilemparkan oleh seorang pemimpin NGO, Suara Wanita 1Malaysia.

PETALING JAYA: Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk S Ambiga dituduh sebagai seorang anarkis dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah semalam.

Anarki bermaksud keadaan yang tidak berasaskan undang-undang dan kucar-kacir.

“Ambiga Sreenevasan yang hebat ialah pencetus anarki di Malaysia,” kata Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi forum bertajuk, ‘Seiringkah Mahasiswa dan Siswi Dengan Politik?”, anjuran Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Proton, UUM dan Suara Wanita 1Malaysia. Ahli panel termasuk Pengetua DPP Proton Mazli Mutazam.

Dalam forum tersebut, tayangan video klip Perhimpunan Bersih 3.0 turut dipertontonkan kepada lebih 3,000 mahasiswa.

Ambiga, yang memimpin dua perhimpunan, Bersih 2.0 pada 2011 dan Bersih 3.0 April lalu mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya memenuhi lapan tuntutan bagi memastikan plihan raya berjalan dengan bersih dan adil.

Selain Ambiga, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut dikecam berikutan kenyataannya berkenaan dengan kebebasan beragama baru-baru ini.

“Inilah pejuang belia yang memperjuang kebebasan beragama,” kata Sharifah dan beliau turut mengecam penulis buku Allah, Kebebasan dan Cinta, Irshad Manji.

“Mengapa tiada protes untuk seks bebas?” soal Sharifah sambil menyifatkan tema hak asasi manusia sebagai propaganda Barat.

Semua yang menyertai forum tersebut menerima sehelai baju T SW1M dan sepuluh pemenang cabutan bertuah telah menerima komputer riba nota, Samsung Galaxy.

Kesemua tokoh tersebut dikecam sebagai pihak yang mahu menghuru-harakan negara atas nama hak asasi manusia.

No comments: