Share |

Tuesday 30 October 2012

Kamalanathan mahu Ronnie minta maaf

Ekoran dakwaan Liu bahawa Kamalanathan merupakan salah seorang ahli Majlis Perbandaran Selayang yang meluluskan projek kondominium 29 tingkat.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan mahu Exco Selangor Ronnie Liu meminta maaf melalui media ekoran dakwaan Liu bahawa Kamalanathan adalah antara ahli Majlis Perbandaran Selayang yang meluluskan projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves.

“Saya harap Ronnie Liu akan memohon maaf secara terbuka dengan kadar segera. Saya juga sedang merujuk dengan rakan peguam saya,” kata Kamalanathan yang menerangkan bahawa beliau menjadi ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sejak 2004 hingga Disember 2006.

“Dalam tahun 2007 saya tiada hak untuk mengambil bahagian mahupun membuat keputusan di dalam mesyuarat MPS,” tambah beliau sambil merujuk kepada laporan FMT bertajuk “Stop work order for Batu Caves condo project”.

Menurut beliau, dakwaan Liu bertujuan untuk mendapatkan kelebihan politik.

“Beliau hanya ada satu hasrat untuk mencemar nama baik saya dan mendapatkan kelebihan politik. Ini fitnah kelas pertama. Mereka bagus untuk perkara begini,” kata Kamalanathan.

Pemimpin MIC tersebut turut menyoal mengapa kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambil tindakan menghentikan projek tersebut walaupun sudah berkuasa di Selangor.

Kamalanathan menyoal: “Mereka mempunyai empat tahun dan enam bulan untuk memastikan projek tidak terlaksana. Mengapa tidak mengambil tindakan?”

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak membalas dakwaan Liu sebelum ini kerana menghadiri mesyuarat persidangan ahli parlimen Asean di Bangkok.

No comments: