Share |

Thursday, 7 June 2012

‘Baca buku ini sebelum ia diharamkan’

ULASAN BUKU: Sebuah memoir yang membuktikan bahawa perjuangan dan demonstrasi adalah “harus” dalam keadaan tertentu.
FEATURE

Buku berbentuk memoir ini sudah saya miliki sejak 23 Februari 2012 tetapi kembali menarik perhatian apabila ada pihak tertentu tampil mengeluarkan kenyataan bahawa demonstrasi (tunjuk perasaan) dan perhimpunan dilarang dalam agama Hindu.

Memoir Bahasa Tamil bertajuk “Thalamaithuvam Or Uyirpporaatham” (2007) boleh diterjemahkan ke Bahasa Malaysia sebagai “Kepimpinan: Suatu Perjuangan Antara Hidup dan Mati” dan menyajikan pengalaman SV Lingam, seorang tokoh kaum India yang disegani tetapi kurang diberi perhatian dalam sejarah tanah air.

Buku kulit tebal dengan lebih 150 halaman ini saya sifatkan sebagai suatu bahan dokumentasi sejarah yang wajar diberi perhatian oleh semua pihak; khususnya masyarakat India-Hindu yang buat masa ini agak keliru berikutan kenyataan presiden Malaysia Hindu Dharma, Dr NS Rajendran dan presiden Hindu Sangam, RS Mohan seperti dilaporkan Bernama pada 18 Mei 2012.

Lingam pula menceritakan secara terperinci dan mendalam – berserta fakta dan dokumen rasmi sebagai sokongan – mengenai penglibatan beliau dalam pelbagai tunjuk perasaan, perhimpunan dan mogok lapar sejak tahun 1960-an.

Beliau yang menjadi ahli MIC sejak 1958, iaitu semasa berusia 16 tahun, menganjurkan mogok lapar selama empat hari pada tahun 1964 dan selama sebelas hari pada 1966. Kedua-dua mogok lapar itu adalah umpama perjuangan “ahimsa” Mahatma Gandhi serta selaras dengan hukum “dharma” yang dituntut dalam ajaran agama Hindu; iaitu demi keadilan, hak dan maruah rakyat.

Pada tahun 1969, Lingam berpindah dari Durian Tunggal, Melaka dan kembali ke tempat kelahirannya iaitu Shah Alam, Selangor. Walaupun berubah tempat tinggal, beliau tidak pernah berundur daripada memimpin sekelompok masyarakat – khasnya kaum India yang tertindas – untuk terus memperjuangkan apa yang menjadi hak mereka mengikut undang-undang.

Buku ini disertakan juga dengan foto-foto lama dan keratan akhbar yang menjelaskan tujuan dan kesan perjuangan Lingam secara bersendirian dan berkumpulan.

Walaupun catatan berupa memoir dilakukan dari sudut pandangan pengarang, beliau tidak lupa memasukkan juga sumbangan dan pandangan pelbagai pihak lain dalam perkara-perkara tertentu.

Buku ini pasti membantu rakan-rakan dan kenalan Lingam untuk mengimbau kenangan silam di mana mereka sama-sama terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memperjuangkan maruah dan hak pekerja ladang dan bakal guru sekolah Tamil.

Memoir “Thalamaithuvam Or Uyirpporaatham” turut memuatkan kata-kata aluan daripada Datuk Seri S Samy Vellu, Datuk G Palanivel, Tan Sri KR Somasundram, Datuk G Sankaran dan anehnya kata-kata semangat daripada presiden Hindu Sangam waktu itu, Datuk A Vaithilingam dan Rajendran sendiri yang sudah pun menjadi presiden Malaysia Hindu Dharma pada waktu itu.

Semasa meneliti halaman demi halaman buku ini, saya semakin yakin bahawa memoir ini merupakan suatu dokumen sejarah yang “terlepas” daripada pandangan umum. Namun, buku ini yang terbit pada 2007 belum terlewat untuk dipomosi dan diperkenalkan kepada kepada orang ramai.

Sekiranya buku “The Malaysian Indian Dilemma” (2009) karya Janakey Raman Manickam mendokumentasikan bahan-bahan sejarah berbentuk arkib yang sukar diperoleh, buku “Thalamaithuvam Or Uyirpporaatham” pula mengumpulkan pengalaman peribadi seorang individu yang sentiasa berjuang sejak usia remaja demi menegakkan hak, keadilan dan kebenaran.

Saya menyarankan supaya orang ramai (India-Hindu) membaca memoir ini sebelum, misalnya, Hindu Sangam dan Malaysian Hindu Dharma menggunakan kuasa yang ada untuk mengeluarkan “fatwa” mengharamkan buku ini.

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut mengenai buku-buku yang diulasnya.

No comments: