Share |

Friday 25 May 2012

S’gor lancar tabung bantu Ambiga

Tabung itu juga akan digunakan untuk kos guaman terhadap peserta Bersih yang ditangkap termasuk 113 individu yang dikehendaki polis.

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor melancarkan tabung bagi menampung kos saman dan guaman untuk Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga dan sembilan ahli jawatankuasa Bersih yang difailkan kerajaan bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM122,000.

Exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata tabung itu juga akan digunakan untuk kos guaman terhadap peserta Bersih yang ditangkap termasuk 113 individu yang dikehendaki polis semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Tabung itu yang dilancarkan hari ini turut mendapat kerjasama daripada aktivis badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau turut menyeru agar rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang RM1 seorang ke dalam tabung ini.

“Tabung ini juga akan digunakan untuk kos guaman terhadap peserta Bersih yang telah ditangkap atau terhadap 113 peserta dikehendaki pihak polis semasa perhimpunan Bersih 3.0.

“Sebuah Sekretariat juga ditubuhkan bagi mengumpul dana kutipan dari orang ramai dan sebuah nombor akuan bank akan dimaklumkan kepada umum dalam masa terdekat.

“Sekretariat tersebut juga akan melancarkan ‘nationwide roadshow’ bagi menangkis segala tohmahan dan gambaran negatif kerajaan

Barisan Nasional (BN) yang menyalahguna media arus perdana pro-BN terhadap perhimpunan Bersih 3.0 tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Semalam kerajaan memfailkan saman menuntut gantirugi berjumlah RM122,000 terhadap Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga serta sembilan lagi ahli jawatankuasa pemandu gabungan tersebut kerana didakwa gagal mengawal perhimpunan anjurannya pada 28 April lalu sehingga pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian.

Selain Ambiga ahli jawatankuasa pemandu itu yang disaman ialah Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, Haris Fathillah Mohamed, K Arumugam, S Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo.

No comments: