Share |

Tuesday 3 April 2012

Majlis Peguam sambut baik tidak gubal Akta Hubungan Kaum

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 31 Mac - Majlis Peguam menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak menggubal Akta Hubungan Kaum bagi membendung isu-isu perpaduan di negara ini.

Bagaimanapun menurut Presidennya, Lim Chee Wee, kerajaan perlu membuat rundingan terlebih dahulu bersama pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jika akta itu diperlukan pada masa akan datang.

"Jika kerajaan membuat pendirian bahawa akta itu diperlukan satu hari nanti, maka kandungannya perlu didedahkan terlebih dahulu untuk dirundingkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada forum bertajuk 'Undang-Undang Hubungan Kaum - Maju atau Terkebelakang?' yang dianjurkan Majlis Peguam di sini hari ini.

Pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu bahawa rang undang-undang Akta Hubungan Kaum tidak akan dibentangkan memandangkan akta seumpamanya telah pun wujud seperti Akta Hasutan 1948.

Jelas Chee Wee, keputusan terkini kerajaan itu merupakan kali keempat dibuat selepas cadangan bagi mewujudkan akta itu diumumkan pada September 2008.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu memperluaskan bidang tugas Suhakam untuk menyiasat dan memberi cadangan bagi memperbaiki keharmonian antara kaum tanpa perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa atau suruhanjaya lain.

''Skop tugas Suhakam boleh diperluaskan untuk memantau dan menyiasat aduan rakyat mengenai diskriminasi berdasarkan bangsa dan agama,'' katanya.

''Bagi tujuan ini, bilangan pesuruhjaya Suhakam perlu ditambah berbanding tujuh orang pada ketika ini,'' katanya.

No comments: