Share |

Friday 6 April 2012

Curi tanah sekolah Effingham, penduduk mahu dialog

Satu memorandum diserahkan kepada Perdana Menteri, antara lain mendesak MIC memulangkan semula sebahagian dari enam ekar tanah rizab pendidikan.

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kesal dengan tindakan MIC mencuri tiga ekar tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Effingham, badan bertindak Return Effingham Land Action Team (Reflax) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen.

Memorandum yang diserahkan kepada pegawai Jabatan Perdana Menteri bagi menuntut satu dialog antara lain bagi mendesak parti itu memulangkan semula sebahagian daripada enam ekar tanah rizab pendidikan yang sepatutnya milik sekolah itu di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Difahamkan, lot 28814 seluas enam ekar dipecah dua kepada lot 50222 yang dimiliki Sekolah Effingham, manakala bakinya dirampas atas nama Presidennya ketika itu, Samy Vellu untuk membina bangunan Ibu Pejabat MIC.

Pengerusi Reflax G Manivanan berkata pihaknya telah pun mengemukakan surat kepada Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel pada 22 Mac lalu namun gagal mendapat respon.

“Sekolah Effingham hanya ada padang 75m, bilik guru yang sempit, kantin yang kecil sehingga terpaksa adakan waktu rehat dua sesi, tiada gelanggang sukan kerana kawasan sekolah tak cukup luas.

“Kita minta MIC tolong pulangkan semula tanah untuk masa depan anak-anak kami,” katanya dalam sidang media di Parlimen semalam.

Katanya, pihaknya juga pernah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun tiada sebarang tindakan dibuat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata mengikut peraturan kementerian pelajaran sekolah rendah sepatutnya mempunyai keluasan sekurang-kurangnya enam ekar, manakala sembilan ekar bagi sekolah menengah.

“Kami sedia beli tanah yang diambil MIC dengan harga premium kerana tanah ini sangat penting untuk penduduk mendapat pendidikan,” katanya.

No comments: