Share |

Friday 30 March 2012

Tribunal AG: Bola berada di kaki Najib

Rakyat terkejut dengan jawapan Perdana Menteri bahawa tidak ada bukti yang kukuh untuk menyiasat salah laku Gani Patail dan Musa Hassan.

Apa kata masyarakat dunia tentang undang-undang di negara ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengambil sebarang tindakan terhadap banyak dakwaan salah guna kuasa melibatkan tiga badan penguatkuasa?

Tiga badan yang dimaksudkan ialah Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau sebelum ini BPR (Badan Pencegah Rasuah).

Sejak bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Ramli Yusuff mendedahkan salah laku mereka dalam ucapannya ketika jamuan malam bagi meraikan ulangtahun kelahirannya pada 29 Februari lalu, tekanan semakin memuncak agar Gani dihadapkan ke tribunal penyiasatan. (Di bawah perlembaan Malaysia Peguam Negara hanya boleh dipecat melalui tribunal, sama seperti hakim).

Apabila Perdana Menteri akhirnya berdepan dengan isu tribunal bagi menyiasat Gani pada 24 Mac lalu, beliau hanya berkata “tidak” dan menambah, ini hanya merupakan satu dakwaan yang tidak berasas, satu tuduhan yang belum dapat dibuktikan. Sebuah tribunal hanya boleh dibentuk sekiranya terdapat bukti yang cukup, katanya.

Rakyat terkejut dengan jawapan Najib ini sedang banyak fakta dan bukti yang menunjukkan salah laku Gani, termasuk beliau bersubahat dengan Musa dan SPRM untuk memerangkap Ramli dan pegawai-pegawainya.

Terlibat dengan kumpulan haram

Mengenai Ramli pula, beliau terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang bermula sejak 2007 apabila beliau menimbulkan kemarahan Musa.

Atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri Johari Baharum, Ramli ketika itu CCID dan para pegawainya sedang menyiasat kegiatan sindiket haram di Johor yang berakhir penangkapan dan pembuangan negeri ketua penjenayah Goh Cheng Poh yang juga dikenali sebagai Tengku Goh.

Penangkapan tersebut menimbulkan kemarahan Musa kerana Tengku Goh adalah kawan baiknya. Musa pernah membantu Tengku Goh membina empayar judinya ketika Musa berkhidmat di Johor sebagai ketua polis negeri, sepertimana yang terdapat dalam bukti hasil siasatan para pegawai Ramli.

Kemudian, satu operasi menyelamat dijalankan di mana Goh dikeluarkan dari tempat pembuangan, dengan Gani dan BPR memainkan peranan utama.

Gani dan Musa adalah kawan rapat, kesetiakawanan di antara mereka terjalin sejak lewat tahun 90an apabila kedua-duanya memainkan peranan penting dalam kes sodomi I Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gani sebagai pendakwa utama dan Musa sebagai pegawai penyiasat.

Bukti daripada Ramli dan kenyataan bersumpah yang diakses dari portal berita Malaysiakini menunjukkan Gani dan BPR bersubahat untuk mendapatkan fail-fail rahsia hasil siasatan daripada Ramli, ekoran dari maklumat-maklumat yang diterima, hasil buruan BPR hingga membawa kepada penangkapan Tengku Goh.

Pemberi-pemberi maklumat ini kemudian diindoktrinasi oleh pegawai-pegawai BPR supaya menukar kenyataan-kenyataan mereka sebelum ini.

Kenyataan-kenyataan baru ini kemudian digunakan untuk membebaskan Tengku Goh dari kawasan pembuangan yang terhad.

Kenyataan-kenyataan ini digunakan untuk mendakwa enam pegawai Ramli di mahkamah atas dakwaan “memalsukan bukti” bagi membabitkan Tengku Goh.

(Pegawai-pegawai yang diindoktrinasi ini kemudiannya membuat kenyataan bersumpah bagi menjelaskan bagaimana mereka telah dipaksa untuk berubah fikiran oleh BPR. Dokumen-dokumen ini diperolehi Malaysiakini, yang kemudiannya menyiarkannya dalam beberapa siri laporan dalam laman webnya tiga minggu yang lalu.)

Ramli sendiri didakwa atas beberapa kesalahan oleh BPR dan Gani. Malah peguam Ramli, Rosli Dahlan juga mendapat layanan yang serupa.

Tuduhan yang direkayasa

Ternyata tuduhan terhadap Ramli adalah palsu belaka apabila mahkamah menolak kesemua bukti tanpa mahkamah perlu memanggil mana-mana pegawai yang dituduh untuk membela diri.

Ramli akhirnya dibebaskan dari segala tuduhan oleh sembilan hakim yang berlainan setelah menjalani perbicaraan di mahkamah sesyen, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.

Agak signifikan dalam kes perbicaraan Ramli, Musa diisytihar oleh Hakim Mahkamah Sesyen di Sabah sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai untuk mendengar kes dakwaan Ramli menyalah guna kuasa.

Manakala BPR juga diberi amaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ramli, kerana bergantong kepada keterangan daripada salah seorang ahli kumpulan haram untuk mendakwa Ramli kerana kegagalan mengiystiharkan hartanya.

Mengenai enam pegawai Ramli yang didakwa dan kemudiannya dibebaskan, kesemua mereka diserah kembali tugas masing-masing dan dinaikkan pangkat.

Ramli secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kerana akur bahawa mereka sebenarnya telah menjadi mangsa.

Perbicaraan atas tuduhan-tuduhan yang dangkal ini, termasuk percubaan mengaitkan bukti dengan afidavit-afidavit adalah bukti yang direkayasa.

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ramli terhadap Gani, Musa dan BPR ada asasnya di mana mereka bersubahat untuk membawa saksi, memalsukan bukti, menjalankan siasatan polis dan menghalang keadilan dari terlaksana.

Peristiwa “mata lebam” Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlaku pada tahun tahun 1998 merupakan satu lagi kes yang memerlukan kepada penubuhan Tribunal bagi menyiasat Gani dan Musa.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim mendakwa kedua-dua Gani dan Musa terlibat memalsukan bahan bukti.

Beliau turut memberi amaran kepada Najib bahawa adalah menjadi satu kesalahan jenayah jika Najib tidak mengendahkan perbuatan keji pemalsuan bukti-bukti berhubung insiden “mata lebam” Anwar.

Kini bola berada di kaki Najib.

No comments: