Share |

Saturday, 7 January 2012

Umno bantah benarkan perhimpunan penyokong Anwar

Keputusan itu memalukan kerana berpuluh laporan polis dibuat membantah perhimpunan tersebut.

PETALING JAYA: Tidak sampai 24 jam, polis membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di tempat parkir kereta mahkamah tinggi Kuala lumpur, Umno Cheras mahu ia dikaji semula.

Ketua bahagian Datuk Syed Ali Alhabshee menyifatkan keputusan itu memalukan kerana berpuluh laporan polis dibuat membantah perhimpunan tersebut.

“…tiba-tiba polis Kuala Lumpur berikan kebenaran. Kita nak minta KDN dan Bukit Aman mengkaji semula keputusan tersebut demi ketenteraman awam,” katanya.

Beliau mendakwa keputusan Polis Kuala Lumpur itu juga dikhuatiri akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan umum kononnya kerajaan begitu takut kepada tekanan penyokong Anwar.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Salleh dilaporkan sebagai berkata kebenaran diberikan setelah beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Dalam nada kecewa, Syed Ali khuatir keputusan itu akan memberi ruang kepada pembangkang mencanangkan seluruh negeri menerusi ceramah politik kononnya pihak polis berada dalam cengkaman mereka.

Hakim akan membuat keputusan terhadap kes liwat Anwar dengan pembantunya, Mohd Saiful Azlan Bukhari Isnin ini.

No comments: