Share |

Tuesday, 10 January 2012

Saiful redha dengan keputusan mahkamah

Dalam akaun Twitter miliknya, beliau berkata beliau akan terus tenang, berdoa dan sabar menerima keputusan yang dibuat.

KUALA LUMPUR: Pengadu dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan redha dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mendapati Ketua Pembangkang itu tidak bersalah terhadap dakwaan tersebut.

Mohd Saiful, 26, dalam akaun Twitter miliknya, berkata beliau akan terus tenang, berdoa dan sabar menerima keputusan yang dibuat Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

“Tidak di dunia, namun di Masyhar PASTI. Redha dengan ketentuanNya. Akan terus tenang, doa, istiqamah dan sabar. Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi,” demikian entri akaun Twitternya.

Mohd Saiful tidak hadir semasa mahkamah membuat keputusan itu.

Semasa melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu, Mohamad Zabidin berkata tiada bukti yang menyokong keterangan

Mohd Saiful dan mahkamah tidak boleh bergantung semata-mata kepada keterangan tersebut bagi mensabitkan Anwar.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan keputusan mahkamah itu menunjukkan badan kehakiman negara bebas dan mengeluarkan pendapat serta keputusan tanpa memilih bulu.

“Penghakiman sudah diputuskan…dengan itu sah badan kehakiman negara ini mempunyai reputasi dan pendirian yang boleh disetarafkan dengan keputusan kehakiman negara maju berasaskan kepada ‘rule of law’ atau keunggulan undang-undang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful yang juga bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

- Bernama

No comments: