Share |

Wednesday, 11 January 2012

Punca murtad: Kristianisasi atau diri sendiri?

Himpun mengaku bahawa kajian dan fakta di antara lain, menunjukkan bahawa majoriti punca murtad adalah disebabkan individu terbabit dibelenggu kemiskinan.
FEATURE

Bahagian Pertama

Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah (Himpun) mengadakan himpunan ketiga mereka di Seremban semalam yang dihadiri oleh 3,000 umat Islam sekitar Negeri Sembilan.

Himpunan yang bermula 9.00 pagi itu berakhir empat jam kemudian. Antara barisan penceramah yang menyampaikan ucapan ialah Exco

Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali, Bekas Mufti Negeri Sembilan Datuk Murtadza Ahmad, Pengerusi Himpun Azmi Abdul Hamid dan Timbalan Pengerusi Himpun Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Semua penceramah menyampaikan ucapan dengan penuh bersemangat. Contohnya antara ucapan ringkas pengacara majlis dipetik berkata “Jangan cari pasal dengan Islam. Islam agama rasmi, Islam agama Malaysia”.

Di dalam Stadium Tertutup Kompleks Sukan Paroi, tempat berlangsungnya Himpunan tersebut terdapat banyak kain rentang dengan slogan seperti ‘Melayu di martabat, Islam hebat’; ‘Melayu sepakat, Islam berdaulat’; ‘Jangan permainkan agama Islam’ dan ‘Bersatu mempertahankan aqidah umat Islam dan institusi Raja’.

Intipati hampir kesemua penceramah tersebut adalah untuk memberitahu umat Islam bagaimana umat Islam kini di ancam dengan Gerakan Kristianisasi dan umat Islam perlu mempertahankan agama Islam dan aqidah mereka.

Memperkasa Islam

Dalam email yang pernah dihantar kepada media sebelum ini Himpun berkata perhimpunan itu dianjur untuk memperkasakan Islam, mempertahankan artikel 153 Perlembagaan Negara, cegah murtad dan menghapuskan usaha Gerakan Kristian menegakkan kerajaan Kristian.

Walaubagaimanapun ucapan Murtadza agak berlainan dan amat berbeza dengan ucapan penceramah-penceramah yang lain. Beliau menyentuh isu murtad di kalangan umat Islam dalam konteks hukum itu sendiri dan hujah beliau bersifat intelektual dan akademik.

Beliau melontarkan satu persoalan di luar kotak pemikiran yang setakat ini tidak pernah di sentuh olah mana-mana pihak termasuk pemimpin politik dari mana-mana parti termasuk Hasan sendiri yang merupakan pemimpin politik Islam paling lantang membincangkan isu Murtad dan gerakan Kristianisasi.

“Masa penjajahan dulu tidak murtad, masa sekarang kita murtad,” kata Murtadza.

Persoalan tersebut harus ditanya oleh umat Islam sendiri terutama pemimpin parti kerajaan kerana sejak merdeka selama 54 tahun merekalah yang berkuasa melaksanakan Undang-Undang Syariah, yang menguruskan Jabatan Agama Islam, Baitulmal, Pusat Zakat, masjid dan surau.

Apa yang menarik selain Murtadza, kesemua penceramah yang lain termasuk kepimpinan Himpun itu sendiri mengutarakan permasalahan dan punca utama murtad di kalangan umat Islam.

Sama ada di dalam ucapan mereka, mahu pun di dalam sidang akhbar, Himpun mengaku bahawa kajian dan fakta menunjukkan bahawa majoriti punca murtad adalah disebabkan individu yang terbabit dibelenggu dengan kemiskinan, berasal dari keluarga yang retak dan bermasalah dan juga kes-kes saudara baru yang akhirnya kembali ke agama asal kerana hilang tempat bergantung dan berada dalam keadaan yang terdesak kerana faktor kewangan.

Maka kepimpinan Himpun sedar atau tidak, masalah akar umbi umat Islam murtad adalah disebabkan oleh umat Islam dan agensi berkuasa agama Islam itu sendiri.

Kenyataan Himpun mengenai punca umat Islam murtad amat jelas menunjukkan berlaku kepincangan dalam sistem pentadbiran Jabatan

Agama Islam, Baitulmal, Pusat Zakat, Jawatankuasa masjid dan surau yang tidak menjalankan tugas dengan efektif sehingga mereka yang bermasalah dan tersepit dengan keadaan ekonomi akhirnya mencari bantuan dari pihak gereja.

Faktor Gerakan Kristianisasi hanya berlaku kemudian atau pada tahap kedua. Jika pada tahap pertama kesemua masalah yang membelenggu umat Islam dapat ditangani, tidak ada ruang untuk elemen Gerakan Kristianisasi itu berlaku sama sekali melainkan dalam kes terpencil seperti kes Lina Joy kerana faktor cinta.

Lima fokus

Dalam risalah yang diedarkan oleh Himpun terdapat lima fokus rancangan tindakan:

Apa tindakan terhadap pihak yang cuba memurtadkan umat Islam?
Apa tindakan terhadap pihak yang cuba mencemarkan Islam?
Apa tindakan terhadap umat Islam yang telah dimurtadkan oleh pihak tersebut?
Apa tindakan terhadap umat Islam yang memurtadkan diri sendiri?
Apa tindakan proaktif menangani kes murtad?

Malangnya tidak disebut apa tindakan untuk mencegah murtad atau mengelak murtad itu berlaku terlebih dahulu. Tidak juga disebut apa tindakan untuk mencari jalan penyelesaian apabila seorang umat Islam itu memilih untuk murtad.

Sebaliknya fokus hanya diberikan kepada tindakan apabila kes murtad itu telah pun berlaku bukannya sebelum berlaku.

Trend baru

Sementara itu Setiausaha Agung Himpun, Aminuddin Yahaya berkata berlaku trend baru dalam kes murtad membabitkan remaja perempuan Melayu yang berumur dari 20 hingga 25 tahun.

Aminuddin berkata trend baru itu melalui jaringan facebook.

“Mereka berkenalan dengan pemuda bukan Islam melalui laman facebook. Selepas berkenalan akhirnya mereka jatuh cinta dan murtad kerana mengikuti ajaran agama teman lelaki mereka,“ jelas Aminuddin.

Walaubagaimanapun apabila ditanya pihak media berapa ramai gadis Melayu murtad dengan trend sebegitu, Aminuddin berkata buat masa ini mereka masih belum mempunyai statistik lengkap.

Adalah diharap Himpun berbuat sesuatu untuk membantu dan mendidik umat Islam yang menghadapi kesusahan, kesempitan hidup dan keluarga bermasalah termasuk saudara baru dan orang Asli.

Jika ikhlas Himpun juga harus membantu menangani gejala sosial di kalangan remaja Melayu atau Islam yang ketika ini semakin kritikal.

Gejala bohsia, mat rempit, ketagih dadah, merokok, buang bayi, gay, pengkid, minum arak, hiburan melampau dan seks sebelum bernikah seperti tidak boleh dibendung lagi.

Masalah gejala sosial di kalangan remaja Islam lebih parah berbanding masalah murtad yang masih terkawal. Tiada maknanya Islam atas nama sahaja tetapi amalan dan gaya hidup lebih teruk dari Barat.

Jika Himpun benar-benar mempunyai bukti bahawa memang berlaku Gerakan Kristianisasi maka seharusnya semua bukti dan maklumat itu diberikan kepada Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti untuk diambil tindakan kerana pihak ini yang sebenarnya mempunyai kuasa penguatkuasaan untuk melakukan pendakwaan dan bentuk tindakan.

Tidak salah Himpun menyerahkan tugas memulih akidah kepada NGO-NGO Islam tetapi sudah pasti ruang skop atau sumber NGO itu sendiri terhad dan terbatas.

Seharusnya Himpun, NGO dan Jabatan Agama Islam sendiri harus berganding bahu menyelesaikan masalah yang menyebabkan gejala murtad berlaku dan pencegahan dilakukan agar ianya terkawal.

No comments: