Share |

Friday, 23 December 2011

Khir Toyo didapati bersalah

Beliau dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu barangan berharga dengan balasan diketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7 di sini empat tahun lepas.

Beliau dihukum setahun penjara mulai hari ini. Mahkamah juga mengarahkan tanah dan banglo Dr Khir dirampas.

Dr Khir bagaimanapun mendapatkan arahan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan rampasan harta sehingga rayuannya dikemukakan.

Dr Khir dijangka memfailkan rayuan berkenaan.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

25 saksi pendakwaan

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 6 Jun lepas, 25 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Pada 8 Ogos lepas, Mohtarudin memerintahkan ahli politik itu membela diri atas pertuduhan itu pada keputusan di akhir kes pendakwaan.

No comments: