Share |

Tuesday, 13 December 2011

Interlok dan MIC

Sekiranya masih ada perkara yang perlu dibetulkan dalam Interlok, mampukah MIC masuk campur?
COMMENT

Kontroversi novel Interlok Edisi Murid nampaknya masih berada dalam lingkaran syaitan – vicious circle – selepas hampir setahun diperkatakan pelbagai pihak.

Akhbar Makkal Osai pada 10 Disember 2011 melaporkan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sebagai berkata bahawa parti politik itu bersedia memberi kerjasama kepada Kementerian Pelajaran dalam usaha melakukan lebih banyak pembetulan terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dalam novel berkenaan.

Khabarnya, sebelum ini, MIC sudah melakukan lebih 20 pembetulan untuk diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Saya tidak pasti jika 20 pindaan yang dimaksudkan itu sebenarnya sebahagian daripada lebih 100 saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India dalam Panel Bebas.

“Sekiranya masih ada perkara yang belum dibetulkan, MIC akan masuk campur dan melakukan pembetulan,” katanya.

Tidaklah menghairankan jika ramai yang hairan dengan kenyataan itu.

Saya turut hairan memikirkan mengapa MIC perlu tampil menawarkan diri melakukan apa-apa pindaan tambahan pada novel berkenaan yang sudah pun dicetak semula dan diedarkan ke sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Rasa hairan saya adalah berasas kerana MIC mengakui hanya sekitar 20 pindaan dilakukan pada novel edisi murid itu yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Umum mengetahui bahawa Panel Bebas sudah memperakukan secara konsensus untuk melakukan lebih 100 pindaan yang dikemukakan wakil kaum India dalam panel berkenaan pada Februari-Mac 2011.

Seterusnya, pada 23 Mac lalu, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bersetuju bahawa kesemua pindaan itu akan dilakukan sebelum novel dicetak semula.

Perkara sama turut diumumkan di Dewan Rakyat pada keesokannya dan tentu sahaja lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Tindakan licik

Hlm 209Namun, akhirnya, apabila meneliti novel yang dicetak semula (Interlok Kulit Biru), ternyata hanya sekitar
20 peratus kerja-kerja pemurnian dilakukan. Hah, lembu pun boleh dipegang pada tali!

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengeluarkan kenyataan rasmi yang objektif berhubung perkara itu pada 29 November lalu memandangkan masyarakat berhak untuk tahu perkara sebenar.

Keputusan dan pendirian Kavyan adalah bahawa Interlok Kulit Biru (2011) adalah edisi yang lebih baik daripada Interlok Kulit Merah (2010) tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran pada Mac 2011.

Dalam pada itu, pada Jun lalu, berlaku juga tindakan licik dan amat tidak bermoral yang dilakukan pihak tertentu dengan cuba meminda novel Interlok Edisi Murid (kulit merah) menggunakan pelekat.

Pada waktu itu juga, Kavyan menerima aduan daripada ibu bapa dan pelajar, lalu mengeluarkan kenyataan media membantah tindakan penggunaan “pelekat ajaib” itu yang bertentangan dengan janji Menteri Pelajaran.

Sekali lagi, tentu sahaja lembu dipegang pada tali …

Mungkin politikus mudah lupa tetapi saya masih ingat bagaimana pada 23 Mac 2011, Menteri Pelajaran menyatakan bahawa 87 perkara dalam senarai pindaan yang dikemukakan wakil kaum India dalam Panel Bebas bukan secara khusus berkaitan sensitiviti kaum India.

Sebaliknya, kebanyakannya berkaitan kesalahan fakta berhubung budaya kaum India dan agama Hindu. Tentu sahaja kesalahan fakta itu juga wajar dibetulkan kerana secara tidak langsung menyentuh sensitiviti kaum India dan agama Hindu.

Selepas diterangkan, dijelaskan dan dihuraikan – seperti menerangkan kepada kanak-kanak Tadika – akhirnya semua pihak yang terlibat faham hujah-hujah yang dikemukakan.

Namun, tiga bulan kemudian, bak kata peribahasa Tamil, “wahai wanita buta, bukalah pintu”, semua pihak terlibat sudah lupa akan apa yang dijanjikan Menteri Pelajaran kepada rakyat.

Bercakap mengenai peribahasa Tamil, apa yang dipaparkan di halaman 209 sebagai “pepatah Tamil” sudah dibuktikan salah dan perlu dibetulkan.

Namun, pembetulan tidak pula dilakukan dalam Interlok Kulit Biru yang dicetak semula selepas “diperakukan” MIC.

Mungkin juga politikus menganggap kesilapan pepatah Tamil itu sebagai perkara kecil dan kaum India tidak perlu bising. Bak kata peribahasa Tamil, “masakan keldai tahu menghargai bau kapur barus”.

Soalnya, alang-alang novel berkenaan dicetak semula, mengapa tidak segala kesilapan fakta dan kesalahan bahasa dibetulkan sekali gus? Mengapa hanya sebahagian dimurnikan?

Malah, mengapa walaupun selepas lebih 100 saranan pindaan diperakukan Panel Bebas, kemudian dipersetujui Menteri Pelajaran, serta diumumkan di Dewan Rakyat, akhirnya hanya sekitar 20 pindaan (pembetulan) dilakukan?

Itulah antara pertanyaan amat wajar yang diajukan orang awam kepada Kavyan sejak 29 November lalu. Mungkin perlu diajukan terus kepada MIC dan Menteri Pelajaran.

Tidak menjadi isu bagi MIC

Berbalik kepada “janji” MIC yang “bersedia memberi kerjasama kepada Kementerian Pelajaran dalam usaha melakukan lebih banyak pembetulan terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dalam novel Interlok Edisi Murid.”

Soalan mudah yang boleh ditanya budak Tadika sekali pun adalah: Mengapa mahu berjanji sedia melakukan lebih banyak pembetulan sedangkan sudah terbukti gagal memastikan sekitar 100 pembetulan yang dipersetujui sebelum ini dilakukan sepenuhnya?

Apa yang boleh difahami menerusi berita yang disiarkan di akhbar Makkal Osai pada 10 Disember lalu adalah bahawa MIC sudah berpuas hati dengan Interlok Edisi Biru.

Maknanya, kesalahan pepatah di halaman 209 tidak menjadi isu bagi MIC.

Kesilapan yang amat memalukan dalam menggambarkan cara kaum India makan nasi dengan rasam dan saambar di halaman 234 tidak menjadi isu kepada MIC.

Cara watak Malini memanggil bapa dan suaminya juga ternyata tidak menjadi isu kepada parti politik ini.

Malah, ternyata MIC juga memperakukan serta berpendapat bahawa cara kaum India digambarkan di halaman 130 tidak menjadi masalah.

Demikianlah apa yang orang ramai faham menerusi kenyataan presiden MIC di Makkal Osai.

Sehingga artikel ini ditulis, Palanivel belum tampil membuat sebarang kenyataan bahawa wartawan akhbar Makkal Osai tersalah melaporkan kata-kata beliau.

Pada masa sama, dilaporkan bahawa “sekiranya masih ada perkara yang belum dibetulkan, MIC akan masuk campur dan melakukan pembetulan”.

Maka, bayangkan bahawa orang ramai (baca: penyokong) bertemu presiden MIC dan mengemukakan beberapa perkara yang secara terang-terangan belum dimurnikan dalam Interlok Kulit Biru.

Jangan kita lupa bahawa akhbar Makkal Osai sudah melaporkan Palanivel sebagai berkata bahawa MIC bersedia memberi kerjasama kepada Kementerian Pelajaran dalam usaha melakukan lebih banyak pembetulan terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dalam novel Interlok Edisi Murid.

Lalu, bayangkan bahawa MIC mengemukakan senarai baru saranan pindaan kepada Menteri Pelajaran dengan alasan “masih ada perkara yang belum dibetulkan”.

Bayangkan pula saya berada di tempat Menteri Pelajaran.

Sekiranya MIC datang kepada saya dan mengatakan bahawa masih ada beberapa perkara dalam novel Interlok Kulit Biru yang perlu dibetulkan, saya (Menteri Pelajaran) akan bertanya:

“Bukankah kamu yang sudah meluluskan novel ini untuk dicetak semula tempoh hari? Tolong diam!”

Uthaya Sankar SB pernah dilantik menganggotai Panel Bebas Meminda Interlok Edisi Murid. Koleksi bahan berhubung kontroversi ini boleh dirujuk di www.uthayasb.blogspot.com

No comments: