Share |

Thursday 1 December 2011

‘Anjur Himpunan Bersih 3.0′

NGO WargaAMAN desak diadakan Bersih 3.0 bagi meneruskan momentum Bersih 2.0.

KUALA LUMPUR: Angkatan Warga Aman Malaysia (WargaAMAN) yang mewakili lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO kaum India mendesak agar Himpunan Bersih 3.0 segera dianjurkan bagi meningkatkan peluang Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya.

Setiausahanya S Barathidasan berkata cadangan diadakan Bersih 3.0 ialah untuk meneruskan momentum Bersih 2.0 yang telah berlangsung pada 9 Julai lalu bagi menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya bagi mewujudkan sebuah sistem yang lebih bersih dan adil.

Beliau berkata terdapat perubahaan senario politik hasil rentetan daripada kejayaan Bersih 2.0 dan pihaknya merasa terpanggil supaya Himpunan Bersih 3.0 diadakan.

“Beberapa tindakan pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri dilihat begitu terdesak untuk melaksanakan perubahan demi menjaga survival pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Perkembangan positif ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi membolehkan lebih banyak perubahan dilakukan oleh kerajaan,” tegasnya.

Oleh itu katanya, WargaAMAN percaya sekiranya gerakan menuntut pilihan raya bersih dan adil diteruskan dengan pembawaan yang konsisten, peluang untuk lapan tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan sangat besar.

Beliau mengecam peranan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Oktober lalu.

Bagi beliau, PSC merupakan alat untuk meredakan tuntutan Bersih dan mengalihkan rakyat daripada memberi fokus terhadap tuntutan
pilihan raya bersih dan adil.

Menurut Barathidasan, WargaAMAN bertindak sebagai pendesak terhadap kerajaan agar melaksanakan kesemua lapan tuntutan sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 diadakan.

“WargaAMAN juga bertindak memberi kesedaran dan pelajaran kepada rakyat mengenai sistem pilihan raya di Malaysia di samping mendedahkan isu-isu yang berkaitan,” ujar beliau.

No comments: