Jika program ini dibenarkan berlangsung, dikhuatiri negara mula bersedia menerima segolongan rakyat yang berfikiran hubungan sejenis dan terlarang adalah hak asasi mereka.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menghantar nota bantahan kepada Ketua Polis Negara (KPN) mendesak supaya permit program Seksualiti Merdeka 2011 dibatalkan.
Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris dalam nota tersebut berkata langkah itu perlu bagi menghalang beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia yang cuba merancakkan aktiviti diluar tabii dan tidak bermoral yang jelas bertentangan dengan mana-mana agama anutan masyarakat Malaysia.
Katanya jika program ini dibenarkan berlangsung, dikhuatiri negara mula bersedia menerima segolongan rakyat yang berfikiran hubungan sejenis dan terlarang adalah hak asasi mereka.
“Polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlulah mengambil langkah drastik dan tegas seperti menghalang dan membatalkan semua permit yang telah dan sedang diproses bagi menghalang perjalanan program ini,” katanya kepada pemberita di hadapan pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Bimbang golongan muda yang mudah terpengaruh, Irwan juga mendesak supaya Peguam Negara mengambil tindakan tegas mendakwa dalang yang kononnya memperjuangkan hak asasi yang sememangnya ingin merosakkan moral dan cara pemikiran bakal pemimpin negara pada masa akan datang.
Sementara itu, beliau turut menyelar kehadiran Penganjur Bersih 2.0 yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk S Ambiga bagi merasmikan program itu.
Katanya, Ambiga dilihat sama seperti penjenayah lain kerana tindakannya yang tidak menghormati Perlembagaan dan sering menyemarakkan kemarahan masyarakat Melayu.
“Walaupun ISA dimansuhkan tapi tolong siasat dan tolong tangkap pengkhianat ini,” katanya yang mendakwa Ambiga masih mempunyai ‘rekod hitam’ polis berhubung penglibatannya dalam Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman ACP Ramli Yusof ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan menyerahkan nota bantahan ini ke pejabat KPN.
Namun beliau tidak memberi jaminan sama ada polis akan mengambil sebarang tindakan terhadap isu ini.
“Kita akan kaji dulu jika wujud sebarang kemungkinan untuk isu ini disiasat sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Seksualiti Merdeka merupakan program tahunan menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.
Bertemakan “Queer Without Fear”, program ini diadakan di The Annexe Gallery Pasar Seni di sini bermula hari ini sehingga 13 November depan manakala Ambiga dijadual akan merasmikan program ini pada 9 November depan.
No comments:
Post a Comment