Share |

Friday, 11 November 2011

Pembeli rumah kos rendah kena tipu

Mereka dijanjikan rumah kos rendah untuk dibeli atas kuota politik yang dipercayai didalangi oleh individu tertentu.

SHAH ALAM: Hasrat para pembeli yang mahu memiliki rumah kos rendah hanya tinggal mimpi apabila didakwa dianiayai oleh mereka yang bertugas di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Para pembeli sebelum ini dijanjikan rumah kos rendah untuk dibeli atas kuota politik yang dipercayai didalangi oleh individu tertentu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli-pembeli Rumah Kos Rendah, Mohamed Durrany Izam, seramai 686 pembeli rumah kos rendah menemui seorang pemimpin PKR dikenali sebagai Yatim Datuk Abu Bakar.

Katanya, Yatim memaklumkan bahawa beliau merupakan pegawai khas Menteri Besar Selangor yang juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Beliau (Yatim) menawarkan unit rumah kos rendah bernilai RM42,000 dengan deposit lima peratus atau RM2,100 dan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM297 sebulan tanpa faedah.

Durrany turut meluahkan rasa kecewa kerana aduan yang dibuat kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin tidak dilayan.

“Kami pernah mengadukan masalah ini kepada Faekah tetapi tidak dilayan dan beliau tidak memberi jawapan yang memuaskan. Beliau suruh kami buat pinjaman bank tapi kami dari golongan berpendapatan rendah sudah tentu tidak mampu,” ujarnya.

Memorandum berkenaan diserahkan kira-kira jam 4.00 petang semalam kepada pegawai khas Menteri Besar Selangor, Noramin Ahmad yang berjanji untuk menyerahkannya kepada Menteri Besar.

Salinan memorandum berkenaan turut diberikan kepada Setiausaha Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBC), Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Datuk Shamsuddin Lias.

Tiada orang tengah

Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor Iskandar Samad menafikan beliau melantik Yatim sebagai orang tengah untuk mengendalikan permohonan rumah kos rendah ini.

Sebaliknya, jelas beliau perkara itu dilaksanakan oleh LPHS secara terus tanpa pihak ketiga dari Pejabat Menteri Besar.

Iskandar mendedahkan bahawa LPHS telah membuat empat laporan polis berhubung tindakan pihak ketiga yang menuntut bayaran untuk permohonan rumah kos rendah ini.

“Laporan polis dibuat dari 14 Oktober 2010 hingga 5 Oktober 2011 berhubung dengan kegiatan orang tengah yang mengambil deposit sebanyak RM2,500 untuk sebuah rumah. Pakatan Rakyat tidak terlibat dalam angkara ini.

“Kes ini berpanjangan kerana tidak ramai tampil ke depan untuk buat laporan polis kerana mereka turut rasa bersalah kerana memberi sogokan untuk dapat rumah,” kata Iskandar dalam sidang media selepas tamat persidangan Dun di sini.

Beliau berharap dapat bertemu dengan para pembeli berkenaan untuk mencari jalan terbaik dalam masa yang terdekat ini.

No comments: