Share |

Saturday, 26 November 2011

KEADILAN Sedia Terajui Malaysia Tanpa UMNO


Merdeka Review

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berikrar, KEADILAN bersedia untuk menerajui gerakan rakyat untuk memecahkan mitos bahawa hanya UMNO yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Sudah tiada lagi harapan rakyat yang boleh disandarkan kepada UMNO. Tidak ada lagi alasan rasional yang boleh mempertahankan kerakusan serta pengkhianatan UMNO kepada rakyat. UMNO bukan sahaja sudah hilang idealisme perjuangan, tetapi juga sudah muflis nilai serta bankrup moral untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat,” kata Azmin Ali (gambar kiri).

Memilih Johor, negeri di mana lahirnya UMNO, PKR menganjurkan Kongres Nasional Tahunannya di Pulai Springs Resort, Johor Bahru mulai hari ini hingga 27 November. Azmin Ali menegaskan, “UMNO lahir di Johor, maka di negeri inilah saya ingin berikrar di depan pimpinan Angkatan Muda, Wanita dan Srikandi, bahawa KEADILAN akan menerajui Malaysia tanpa UMNO.”

“Apakah perjuangan UMNO yang dibawa untuk membela nasib masyarakat Melayu dan rakyat pada hari ini? UMNO yang dikenal khususnya oleh generasi muda hari ini adalah sebuah parti tua yang anti demokrasi, anti intelektual, anti hak asasi manusia, anti pekerja, sarat dengan politik fitnah dan membudayakan rasuah. Malah UMNO pada hari ini juga anti Melayu.”

UMNO anti Melayu

Memetik nukilan Sasterawan Negara Usman Awang yang pernah mengingatkan tentang pekerti Melayu, “Melayu itu orang yang bijaksana, Nakalnya bersulam jenaka, Budi bahasanya tidak terkira, Kurang ajarnya tetap santun…”, Azmin Ali mempertikaikan, “Apakah UMNO masih membawa pekerti Melayu seperti yang dinukilkan oleh Usman Awang? Jawapannya pasti tidak!”

“Perjuangan UMNO pada hari ini hanyalah perjuangan untuk membela tembolok kerabat dan bukannya rakyat. Budaya politik UMNO pada hari ini adalah berteraskan politik maki hamun, cerca dan fitnah,” kata Azmin Ali.

Beliau bersambung, “Peribadi Melayu yang diwariskan oleh UMNO pada hari ini adalah watak Melayu yang tidak boleh dipertahankan lagi. Malah UMNO-lah yang membunuh ciri-ciri kemelayuan yang dianjurkan oleh Islam. Layakkah perjuangan yang menjulang perasuah dan menghalalkan fitnah digelar sebagai perjuangan Islam? UMNO yang sehingga kini tidak dapat menjelaskan ke mana lesapnya saham milik Melayu-Bumiputera bernilai RM52 bilion dijulang sebagai perjuangan mempertahan ketuanan Melayu?”

Azmin Ali berkata, fitnah, angkuh, zalim dan rasuah menjadi sebahagian dari jasad dan roh UMNO. “UMNO kini menjadi teras kepada politik gelap,” tegasnya, sebelum menyifatkan UMNO sebagai “childen of darkness” (memetik Reinhold Nienuhr), yang anti kepada demokrasi, kebebasan, keadilan sejagat, dan bersekongkol untuk meneruskan hegemoni yang mencengkam kehidupan rakyat.

Sebelum ini, Azmin berkata, “Dalam kekalutan lanskap politik negara yang berada di bawah hegemoni UMNO, politik perkauman sempit menjadi tembok untuk menghalang agenda reformasi daripada mendapat tempat dalam masyarakat.”

“Rakyat disogok dengan pelbagai propaganda jahat untuk mencetuskan rasa takut dan curiga dalam masyarakat majmuk sehingga mereka takut untuk berubah. Meskipun rakyat Malaysia mahukan perubahan, namun mereka tetap terpasung dalam ketakutan dan kebimbangan bahawa kaum mereka tidak lagi akan mendapat keistimewaan,” katanya.

Sempat Azmin Ali mengingatkan, “Pilihan Raya Umum ke-13 adalah Pilihan Raya Umum yang penting buat rakyat Malaysia. Kesemua jentera dan kekuatan harus digerakkan sekarang sebagai penerus kepada momentum yang sedia ada. Sekali lagi kita harus ingat bahawa Pilihan Raya ini bukanlah semata-mata untuk kemenangan KEADILAN tetapi Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk rakyat. Kemenangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bermakna kemenangan rakyat menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO.”

Malah sebelum mengakhiri ucapan perasmiannya Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan dan Wanita, Azmin Ali cuba menaikkan semangat ribuan perwakilan yang hadir, “Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang demokratik! Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang makmur! Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang aman dan harmoni! Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang bebas! Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia Baru milik seluruh rakyat Malaysia!”

Anwar PM ke-7

Di samping itu, Azmin Ali memberi peringatan keras untuk UMNO, “apa pun konspirasi untuk memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim, kami anak-anak muda dan wanita berikrar akan bangkit meruntuhkan tembok kezaliman penjara untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Pakatan Rakyat telah sepakat bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.”

Bagaimanapun, ketika ditanya dalam sidang media sama ada Anwar Ibrahim telah direstui semua parti komponen Pakatan Rakyat sebagai Perdana Menteri seandainya PR memerintah di peringkat persekutuan, Azmin sekadar berkata pimpinan DAP seperti Karpal Singh dan Lim Guan Eng pernah menyatakan sokongan mereka terhadap Anwar dalam isu calon PM, tetapi tidak menyebut pendirian pimpinan PAS.

No comments: